Sunday 8 September 2013

Entri 21: Entri Kurang Bermanfaat


Berbalik kepada persoalan berbangkit.... (tiba-tiba)

Baiklah, baiklah. Mari menjadi waras semula.

Bismillah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mempunyai blog, tetapi saya rasa saya langsung tidak layak digelar penulis blog. Sebabnya saya jarang menulis entri baru dan update blog.

Cik Isteri yang gigih selalu sahaja minta saya tulis entri baru. Pernah sekali, beliau minta saya tulis entri berkenaan makaroni goreng hanya semata-mata saya sedang makan makaroni goreng. Mungkin beliau menyangka saya tidak update blog kerana tiada idea. Jadi, kononnya beliau mahu memberikan idea spontan supaya sekurang-kurangnya blog ini tidak bersawang.

No, no!

Saya jarang update blog bukan kerana tiada idea.

Bukan juga disebabkan malas, kerana saya paling benci bermalasan. Sehari tidak produktif akan membuatkan saya menyesali masa yang saya sudah buang dengan sia-sia. Masa itu tidak akan kembali, tahu? Sepertimana makanan yang kita tidak habiskan dan buang ke dalam tong sampah dengan begitu kijam, dan apabila kita terasa lapar pada masa tiada makanan, kita rasa begitu menyesal kerana membuang makanan itu! Huh! Huh! Huh!

Saya juga tidak tahu punca saya jarang update blog. Mungkin saya tiada bakat menulis blog, justeru saya rasa berat untuk menulisnya. Walhal banyak perkara bersarang dalam kepala, tetapi semua itu saya curahkan ke medium lain seperti novel, status FB, dan paling kerap, dan paling membahagiakan, saya curahkan kepada Cikpuan Isteri yang sudi mendengar siang dan malam.

Pada akhirnya, blog hanya menjadi pilihan terakhir untuk saya berkongsi cerita. Mungkin sebab itulah... kot.

Wassalam.

Friday 19 July 2013

Entri 20: Gatal tangan

Tangan saya gatal saat ini. Kedua-duanya, kiri dan kanan.

Saya baru mengenali nama Neil Gaiman. Beliau penulis tersohor yang sudah menerbitkan begitu banyak buku yang hampir semuanya bestseller. Contohnya komik Sandman dan novel Ocean at the End of the Lane. Ya, dia juga menulis komik DAN novel, sama seperti saya, tetapi setakat itu sahajalah persamaan kami. Antara lain, banyak karya beliau sudah diadaptasi kepada filem, antaranya adalah Stardust dan Coraline.

Saya juga sedang membaca novel Ramlee Awang Murshid. Novel yang ditulis pada tahun 2009, tetapi sudah cukup membuatkan saya kagum terhadap penulisannya. Itu belum lagi saya baca novelnya yang terbaru. Pasti lebih menyengat. Huh!

Gatal. Tangan saya gatal.

Tangan saya gatal untuk menulis!

Kali terakhir saya menulis novel adalah beberapa bulan lalu. Komika #2. Sejak itu hanya menulis komik dan skrip. Oh, dan juga entri blog.

Kini, saya sedang dalam proses mengumpul idea, inspirasi, kekuatan, dan motivasi. Kali ini, saya mahu tulis sesuatu yang lain. Sesuatu yang lebih mencengkam emosi dan imaginasi. Sesuatu yang dapat menghimpit RAM dan Neil Gaiman hingga mereka terasa sesak nafas.

Saya mahu menulis sebuah novel yang disasarkan kepada orang dewasa, ini pertama kali.

Kalian-kalian, Tuan RAM dan Tuan Neil Gaiman, terima kasih kerana memberikan saya inspirasi. Saya akan gunakan kekuatan ini bagi memberikan cabaran kepada tuan-tuan berdua.

Tunggu, ya! Tunggu!

Yang benar,
Nazry Salam


Friday 5 July 2013

Mengapa One Piece best, komik tempatan pula tak best?

Pasti ramai pembaca komik tertanya-tanya soalan itu; mengapa komik luar negara seperti One Piece dan Naruto sangat seronok dibaca, manakala komik tempatan pula membosankan (bukan saya kata begitu) dan tidak sehebat komik-komik luar?

Soalan daripada saya pula; mengapa kereta Ferrari 355 lebih berkualiti daripada Proton Saga BLM?

Jawapan bagi kedua-dua persoalan ini adalah kos!

Di Jepun, kos bagi menghasilkan sekeping manuskrip komik popular adalah sangat besar, jauh lebih besar daripada sekeping manuskrip komik tempatan.

Mari kita buat sedikit matematik bagi membuktikannya. Data-data saya ambil daripada komik Bakuman, jadi mungkin kurang tepat, tetapi lebih penting adalah poinnya.

Pengiraan Kos Sehelai Manuskrip Komik Jepun

Dalam sebulan, jumlah halaman manuskrip yang dilukis pelukis komik Jepun = 4 minggu x 18 halaman = 72

Kadar bayaran bagi pelukis baru (belum pelukis senior lagi, seperti Oda) adalah RM300 per halaman.

Jadi, jumlah bayaran bagi 72 halaman = RM300 x 72 = RM21,600.

Buat pengetahuan, pelukis komik Jepun dibantu oleh beberapa orang pelukis pembantu sama ada separuh ataupun sepenuh masa. Katalah, bilangan pembantu = 2 orang.

Gaji bulanan pembantu adalah RM10,000 (sekali lagi, nilai ini diambil daripada Bakuman, pastinya sudah diconvert)

Gaji 2 pembantu = RM10,000 x 2 orang = RM20,000

Kos bulanan bagi 72 halaman manuskrip adalah RM20,000 + RM21,600 = RM 41,600

(Ini belum masuk kos lain, seperti alatan dan sebagainya. Tetapi, mungkin kos ini kurang signifikan, jadi kita abaikan dalam pengiraan.)

Jadi, kos bagi satu halaman manuskrip = RM41,600/72 = RM577.77 iaitu menghampiri RM580 per halaman.

Ini boleh dikira minimum. Saya yakin, kos bagi satu halaman manuskrip komik One Piece lebih RM1,000!

(Tetapi, nilai bagi satu halaman OP jauh lebih tinggi disebabkan royalti yang super duper lumayan, tetapi nilai tidak diambil kira dalam pengiraan, yang penting adalah kos pembuatan)

Mari kita kembali ke Malaysia.

Pengiraan Kos Sehelai Manuskrip Komik Malaysia

Matematik di ruang ini sangat ringkas. Pekomik tempatan selalu melukis manuskrip sendirian tanpa pembantu. Mereka dibayar antara RM30 hingga RM300 per halaman. RM300 per halaman itu pun adalah sangat jarang sebenarnya.

Jadi, kos bagi sehelai manuskrip komik di Malaysia antara RM30 hingga RM300 sahaja!

Lebih menarik, kos bagi penghasilan satu halaman manuskrip komik solo Komik-M adalah RM0! Sebabnya, pengkarya dibayar secara royalti, jadi tiada bayaran lump-sum. Sebab itu kosnya adalah RM0.

Sudah jelas, kos sehelai manuskrip komik Jepun hampir mencecah RM600 (minima), tetapi kos bagi sehelai manuskrip komik Malaysia pula hanya antara RM0 hingga RM300.

Berbalik kepada persoalan saya tadi. Mengapa Ferrari lebih berkualiti, lebih laju, lebih cantik daripada Proton BLM? Sebabnya kos bagi membina sebuah kereta Ferrari adalah lebih tinggi daripada Proton BLM. Semudah itu.

Kualiti vs. Kos

Siapa kata kualiti berkadar langsung dengan kos pembuatan? Angka yang kata.

Ini adalah ranking filem yang mendapat jumlah kutipan tertinggi sepanjang masa berserta kos penghasilan masing-masing:

1. Avatar - $237 juta
2. Titanic - $200 juta
3. The Avengers - $220 juta
4. Harry Potter and the Deadly Hallows (Pt 2) - $250 juta
5. Iron Man 3 - $200 juta
6. Transformers (Dark of the Moon) - $195 juta
7. LOTR (Return of the King) - $ 94 juta
8. Skyfall - $150-200 juta
9. Dark Knight Rises - $230 juta
10. Pirates of the Caribbean 3 - $225 juta

90% daripada filem-filem di atas menjangkau kos pembuatan $200 juta. Bermakna, hanya filem-filem super mahal dapat memenuhkan ranking atasan filem yang paling banyak ditonton. (Dalam konteks ini, saya anggap kutipan jualan menggambarkan kualiti sesebuah filem. Tidak semestinya tepat, tetapi sekurang-kurangnya dapat dijadikan asas penilaian.)

Memang ada juga filem kos rendah yang berkualiti tinggi, tetapi kita bercakap berkenaan yang menjadi kebanyakan, majoriti, norma, tipikal.

Saya berteori, salah satu tiang bagi jambatan yang menghubungkan antara kualiti dan kos adalah segi tiga Maslow. Tetapi ini panjang ceritanya, akan saya kongsi apabila berkesempatan kelak, insya-Allah.

Realiti Dunia Komik Tempatan

Saya orang baru dalam bidang komik di Malaysia, namun dalam masa tiga empat tahun ini, puas juga saya memerhati sekeliling, hinggalah terbentuk satu pandangan hasil pemerhatian secara konsisten.

Hakikat yang perlu diketahui berkenaan pelukis komik tempatan:

1. Kebanyakan mereka lukis komik sendirian tanpa dibantu sesiapa. Dari memikirkan idea hingga menambah screen tone, hanya seorang lakukan biasanya. Pelukis Jepun dibantu ramai orang. Mereka tidak perlu melukis latar belakang dan buat toning, jadi mereka ada lebih banyak masa bagi memikirkan jalan cerita.

2. Ramai yang melukis komik sebagai kerja sambilan memandangkan mereka ada kerja tetap. Ada juga yang masih belajar di Universiti. Tidak ramai berani menjadi pelukis komik sepenuh masa melihatkan keadaan industri yang pasang surut tidak menentu.

3. Kebanyakan pelukis komik perlu mengikut peraturan penerbitan yang ditetapkan (yang mana bagi saya ia bagus) dan kehendak pasaran. Jadi, sedikit sebanyak kreativiti mereka terbatas. Bagi pelukis Muslim pula, mereka sentiasa perlu mempertimbangkan hukum-hakam dan kesan karya ke atas pembaca. Ini menyebabkan kebanyakan pelukis Muslim takut-takut meneroka imaginasi dan hanya bermain dalam zon selesa.

4. Majoriti masyarakat masih memandang sepi kerjaya sebagai pelukis komik, sama ada sambilan ataupun sepenuh masa. Justeru, sukar bagi golongan pelukis komik mendapat sokongan orang-orang terdekat. Sedikit sebanyak perkara ini dapat merendahkan moral dan sekaligus menghentikan terus perjalanan seseorang dalam jalan komik, lebih-lebih bagi mereka yang lemah semangat.

Yang paling menyedihkan adalah hakikat kelima:

5. Pembaca komik kerap mengeluarkan kata-kata seumpama ini kepada para pelukis komik:

"Ish, sama seperti komik Jepun tu! Sebijik. Mesti tiru, bukan setakat bulat-bulat tapi lonjong-lonjong!"

"Jalan cerita klise. Cuba tengok komik Jepun yang tu, aku menangis sebab baca. Touching sangat! Huuuuu...."

"Komik Malaysia tak best. Tak perlu baca pun, memang sebab tak best. Sepatutnya kat buku teks ada tulis fakta: Komik Malaysia adalah tidak best."

"Eh, konsep sama macam komik Jepun tu."

"Watak dia sama macam Yamamaototoatiko Atimoto, watak utama komik Jepun yang tu."

Lebih menyedihkan, komen ataupun provokasi seperti ini dilemparkan terus kepada pelukis komik. Sekiranya mereka tahu hakikat sebenar, pasti mereka lebih rela perkataan itu meletup dalam perut berbanding diluahkan secara melulu.

Ada pelukis komik sepenuh masa yang saya kenali hanya makan mi segera hampir setiap hari.

Kehidupan seorang pelukis komik sepenuh masa di Malaysia tidak seperti di luar negara, lebih-lebih lagi Jepun. Ya, dikatakan pelukis komik One Piece tidur 4-5 jam sahaja sehari, tetapi sekurang-kurangnya dia makan sedap-sedap, tinggal di tempat selesa, dijaga rapi, dan disukai semua orang.

Di Malaysia, apabila anda katakan kepada orang yang anda bekerja sebagai pelukis komik, kemungkinan besar anda akan dipandang dengan hujung mata dan dahi berkerut. Realiti.

Bukan Entri Merintih

Oh, saya bukannya merintih, merungut, ataupun menyesal. Saya sekadar berkongsi pemikiran yang sudah sekian lama terperap dalam tempurung minda. Saya berharap tulisan ini dapat sedikit sebanyak membangkitkan sesuatu dalam diri semua yang membaca blog ini. Sokongan.

Supaya, mereka tidak sewenang-wenang bersikap skeptik setiap kali melihat nama Melayu pada kaver komik.

Supaya mereka tidak sewenang-wenang memprovokasi pelukis dengan perkataan-perkataan sensitif seperti plagiat, tiru, dan sebagainya. Ya, perkataan-perkataan kecil itu adalah provokasi kerana seolah-olah membakulsampahkan kreativiti si pelukis.

Supaya mereka tidak sewenang-wenang membandingkan komik luar negara dengan komik tempatan, tanpa mereka mengetahui hakikat yang bersawang dalam satu sudut industri komik negara.

Perbezaan Antara Kritikan, Komen, dan Kutukan

Entri ini bukan bermaksud tiada kritikan perlu dilemparkan kepada pelukis komik tempatan. Tidak, mereka sememangnya memerlukan maklum balas berupa kritikan sebagai panduan dalam meningkatkan mutu hasil kerja. Tetapi, perlu dibezakan antara kritikan yang bersifat membina dan kritikan yang bersifat memusnah a.k.a kutukan.

Malah, sekiranya ada kritikan, berikanlah kritikan itu secara peribadi kepada pelukis komik. Guna emel ataupun mesej FB. Bukannya mendedahkan di forum-forum, status FB, Twitter, dan sebagainya. Ia juga satu perbuatan membuka aib orang lain.

Saya pernah terbaca satu ayat di sebuah hospital swasta yang berbunyi begini: Sekiranya anda suka perkhidmatan kami, hebahkanlah kepada kawan-kawan. Sekiranya anda tidak suka, beritahu kami sahaja.

Setuju.

Kesimpulan

Perbandingan dan kutukan tidak sekali-kali mampu menaikkan mutu komik tempatan. Apa yang diperlukan oleh industri komik Malaysia adalah sokongan. Cara menyokong bukan hanya like page dan gambar foto komik tempatan, tetapi membelinya.

Matematiknya mudah; semakin ramai orang beli komik tempatan, semakin tinggi permintaan, semakin banyak komik diterbitkan, semakin ramai orang menjadi pelukis komik, semakin tinggi kualiti komik.

Mahu lihat komik sehebat One Piece dihasilkan oleh orang Malaysia? Boleh, dengan syarat anda serahkan dua perkara; sokongan berterusan dan masa.

"Human kind can not gain anything without first giving something in return." - Alphonse Elric

Monday 20 May 2013

Dua Tahun

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jarang sekali saya menulis perihal peribadi. Namun hari ini saya terbuka hati bagi mencoret sedikit catatan peribadi di blog ini. Sebuah cerita.



Foto pertama




Foto di atas ini adalah permulaan kepada segala-galanya. Foto pertama saya dan Cik Isteri, Husna Adnan. Kami bertemu semasa event book signing pertama saya di sebuah pusat membeli-belah di Johor Bahru. Waktu itu, Cik Isteri bekerja sebagai editor PTS yang berdedikasi. (Memang dia sangat berdedikasi, sanggup membawa balik PC ofis untuk sambung buat kerja di rumah pada waktu malam!)

Sewaktu pertama kali melihat wajah dia, saya langsung tidak menyangka... dialah jawapan kepada satu soalan yang sudah sekian lama terlekat pada papan kenyataan minda saya.


"Siapa jodoh saya?"


Setahun setengah selepas saya bertemu dia, sebaik saya melafazkan "aku terima nikah....", jawapan itu menjadi jelas, nyata, dan terang. Dialah jodoh saya, yang Allah pinjamkan kepada saya. Nur Hidayahtul Husna binti Adnan. (Nama beliau panjang bukan? Saya berlatih lafaz nikah beratus kali bagi memastikan saya tidak tersasul menyebutnya.)

Cik Isteri adalah insan istimewa. Sekiranya saya diculik oleh alien, dia tidak akan menangis dan merintih, tetapi dia akan naik roket dan cari saya di angkasa. Kuat, gigih, dan berani.


Tiga sahabat baik




Tidak pernah puas bibir ini mengungkap lafaz "alhamdulillah". Sesungguhnya kisah ini hanya terjadi atas keizinan Allah yang maha penyayang dan yang tidak putus memberi rahmat.

Sebuah kisah cinta tidak lengkap tanpa ujian, begitu juga kisah kami. Antara dua keping foto di atas, terlipat kemas pelbagai kisah yang berintikan cabaran dan bersulamkan dugaan, namun bersimpulkan bahagia. Bahagia itu kian kuat menyimpul dengan kehadiran bidadari kecil yang berwajah bulat, Afia Zara.



Afia memakai baju abah yang bersaiz L



Afia seorang makhluk ajaib. Memang ajaib. Hanya mendengar dia buang angin pun, sudah cukup membuatkan kami suami isteri tersenyum lebar. Sungguh! Ajaib, bukan? Itu belum lagi mendengar dia tertawa riang, pasti tawanya berjangkit kepada kami. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kami berdua dalam mendidik si kecil bulat ini hingga menjadi seorang wanita Muslimah super!

Alhamdulillah, hari ini genap dua tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai suami. Memang tidak mudah, tetapi Allah sentiasa ada untuk membantu. Saya berharap, dan saya begitu berdoa, supaya Allah panjangkan usia perkahwinan kami di dunia, dan dilanjutkan pula hingga Syurga.



Kepada Cik Isteri, terima kasih....

Terima kasih kerana sudi berkahwin dengan saya.
Terima kasih kerana masih sudi bersama saya.
Terima kasih kerana melahirkan Afia.
Terima kasih kerana sentiasa menemani saya.
Terima kasih kerana terima kelemahan diri saya.
Terima kasih kerana sudi harungi ujian bersama saya.
Terima kasih kerana mencintai saya.
Terima kasih, terima kasih, dan terima kasih....

:) <3

Nazry dan Husna
20 Mei 2011 - Syurga


Saturday 11 May 2013

Button Badge Cool!



Assalamualaikum dan selamat sejahtera!

Button badge itu cool, bukan ? :) Ada beberapa orang bertuah sudah memiliki button badge Nazry Salam yang eksklusif, antaranya adalah para pembeli terawal novel terbaru saya, berjudul Lukisan Hati. Tahniah diucapkan! Bolehlah sambil baca buku sambil pakai button badge cool itu.

Buat pengetahuan semua, button badge Nazry Salam dihasilkan oleh Ifas-creative, iaitu sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai barang merchandise seperti booklet, kemeja-T, kain rentang, dan stamp. Servisnya terbaik! Harga juga berpatutan. 

Ini adalah harga bagi seunit button badge berdasarkan jumlah tempahan:

Kuantiti 1-100 = RM 2.30
Kuantiti 101 - 300 = RM 2.00
Kuantiti 301-500 = RM 1.80
Kuantiti 501- 1000 = RM 1.50
Kuantiti 1001 ke atas = RM 1.30


Ini pula page Facebook rasmi Ifas-creative:

facebook.com/IfasCreative



Alhamdulillah, saya menyukai kualiti button badge Nazry Salam! Saya tidak sabar memberikan semuanya kepada para pembaca yang bertuah supaya mereka dapat memakainya dan meningkatkan tahap cool masing-masing. Yeah!

Novel terbaru saya, Lukisan Hati, bergambar intim bersama button badge eksklusif Nazry Salam!


Longgokan buku hasil karya saya bersama button badge cool!


Afiq Salam bergambar bersama Adik Aliff Shamsul Akmal yang memakai button badge Nazry Salam


Saya dan Afiq Salam bergambar bersama Zulhairy


Bagi mereka yang mahu memiliki button badge Nazry Salam yang eksklusif, teruskan ikuti perkembangan page Facebook saya, ya. Insya-Allah, saya akan adakan lagi giveaway dan peraduan dengan button badge itu sebagai salah satu hadiahnya. Stay tuned! :)

Sekian sahaja. Teruskan menyokong!

Wassalam.


Thursday 28 March 2013

Entri 16: Hidup Sebagai Penulis Novel

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada orang tanya kepada saya perihal kehidupan sebagai penulis novel. Antara soalan yang ditanya; kelemahan dan kelebihan menjadi penulis novel. Jadi, saya terpanggil bagi menjawab persoalan itu di blog saya, supaya selain orang yang bertanya, orang lain yang mungkin menyimpan persoalan sama juga dapat jawapannya.

Penulis...

Kerjaya ini langsung tiada dalam fikiran saya sebelum ini. Tiada langsung dalam jangkaan saya. Namun perkara ini bukannya sesuatu yang baru dalam hidup saya, kerana saya sudah sering bertukar-tukar bidang yang diceburi. Daripada pelajar kejuruteraan awam, kepada pelajar kejuruteraan komputer, kemudian dilantik menjadi staf akademik, menjadi pula pelajar jurusan telekomunikasi, akhir sekali menjadi penulis.

Sepanjang memegang jawatan penulis, saya sudah mencuba penulisan komik, novel, dan skrip. Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun menjadi penulis sepenuh masa, saya benar-benar menyukai bidang ini. Serius.

Sebagai penulis sepenuh masa, saya adalah bos diri saya sendiri. Saya ada semua masa yang ada di dunia. Tiada istilah waktu pejabat, hari bekerja, dan hari cuti. Bagi saya, setiap saat adalah waktu pejabat saya sekaligus waktu rehat. Setiap hari adalah hari bekerja sekaligus hari cuti. Kedengaran memang aneh, tetapi memang begitu caranya.

Isu berkaitan masa ini adalah kelebihan sekaligus cabaran.

Kelebihan, saya boleh bekerja apabila saya mahu, dan bercuti apabila saya mahu. Tetapi, fitrah kerja seperti ini memerlukan disiplin tinggi dan tekad berkobar. Tanpa disiplin, seseorang itu boleh hanyut dilanda kemewahan masa yang ada (walaupun juga dilanda kemiskinan harta).

Cabaran pula datang daripada persepsi orang sekeliling. Satu hakikat yang perlu diketahui, kerjaya penulis sepenuh masa terletak antara pekerja pejabat dan penganggur. Pada kebanyakan masa, orang melihat penulis sebagai penganggur yang hanya duduk rumah goyang kaki di hadapan komputer.

Ini memang cabaran. Sekiranya kulit wajah dan telinga tidak cukup tebal, jangan jadi penulis sepenuh masa. Jangan jadi freelancer. Itu kriteria pertama.

Tetapi sebenarnya, banyak kali juga rasa hati ini mahu mengangkat bendera putih. Banyak kali. Adat, moral juga seperti iman, ada pasang surut. Impian pula mengikut resmi hati, ada masa berbolak-balik, ada masa teguh terpasak di bumi. Namun, alhamdulillah, saat saya menulis entri ini, saya masih seorang penulis sepenuh masa. Doakan saya dapat bertahan dalam kerjaya ini lebih lama....

Kelebihan lain menjadi penulis sepenuh masa, haaa, mungkin ada yang meneka populariti dan kekayaan. Ha! Ha! Itu sama sekali silap besar. Penulis adalah antara individu paling tidak kaya dan popular. Orang lebih kenal buku daripada penulisnya, bukan? Itu fitrah pembaca. Pendapatan pula tidak tetap.

Sekiranya mahu popular, jadilah penyanyi ataupun pelakon. Masuk bidang perhubungan massa.
Sekiranya mahu kaya, jadilah ahli perniagaan.

Kerjaya penulis hanya sesuai untuk mereka yang mahu mendedikasikan hidup dengan memberi inspirasi kepada orang lain. Memberi harapan. Memberi imaginasi. Itulah penulis. :)

Ada orang katakan kepada saya, bagi menjadi penulis, tidak perlu sepenuh masa. Memadai tulis secara sambilan. Saya senyum setiap kali mendengar kata-kata itu. Tidak mahu terlibat dalam debat, hanya hati berbicara lebat, 'Sekiranya saya menulis separuh masa, hilang separuh kualiti penulisan saya, hilang separuh imaginasi saya, hilang separuh keazaman saya.'

Sukar. Tidak mudah. Ada orang beranggapan, mustahil saya mampu hidup dengan kerjaya ini. Menanggung pula keluarga. Saya akui kebenarannya.

Namun, apabila difikirkan semula, saya sudah menempuh kesukaran sejak dahulu.

Pertama, apabila saya dihantar ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru. Waktu itu, SMTJB adalah antara sekolah teknik terbaik di Malaysia. Sebuah sekolah elit, dengan guru elit, dan jurusan elit.

Mungkin ibu saya mahu melihat saya menjadi arkitek disebabkan saya gemar melukis, jadi dia sarankan saya pilih jurusan Kejuruteraan Awam. Maka saya bersetuju. Pada awalnya, tidak mudah. SMTJB bukan seperti sekolah biasa. Disiplinnya ketat. Jangkaannya tinggi. Saya bukan pelajar cemerlang, tetapi saya perlu hadapi semua itu. Kesulitan muncul satu per satu. Buku dihempas guru, didenda berdiri di atas kerusi, digelar mediocre oleh guru, dan banyak lagi.

Sesudah dua tahun, saya berjaya buktikan kepada semua, saya mampu hadapinya walaupun banyak cabaran merintangi. Saya menjadi pelajar terbaik jurusan Kejuruteraan Awam.

Kedua, apabila saya memilih kursus Kejuruteraan Komputer di Universiti Teknologi Malaysia. Sebelum memulakan pengajian, telinga saya mula menangkap desas-desus dan khabar angin berkenaan kursus yang saya pilih hanya disebabkan namanya cool.

"Kejuruteraan Komputer adalah antara tiga kursus paling sukar di UTM Skudai!"
"Kursus itu sangat tough. Good luck, ya!"

Saya memulakan pengajian. Ya, memang mencabar, seperti yang diperkatakan. Cabaran pertama, batch pertama kursus itu terdiri daripada seorang bangsa India, lebih 20 bangsa Cina, dan hanya 2 orang Melayu. Kemudian, banyak lagi cabaran mendatang satu per satu.

Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian. Kepujian Kelas Pertama. Satu-satunya pelajar Bumiputera melepasi sempadan Kelas Kedua Tinggi dalam masa tiga tahun.

Cabaran ada di dalam setiap perjalanan. Perjalanan terbaru saya kini adalah sebagai seorang penulis sepenuh masa. Seperti perjalanan-perjalanan saya sebelum ini, dalam fasa awal, saya begitu dilanda pelbagai cabaran dari segenap sudut. Namun akhirnya saya berjaya tiba di garisan penamat. Kini, sekali lagi saya mahu buktikan, saya mampu mengharungi perjalanan dan mencapai kejayaan sebagai buah tangan hasil titik peluh dalam setiap langkah kaki.

Saya mahu buktikan. Maka saya memilih kerjaya ini. Apa yang saya perlukan hanya dua. Masa dan moral.

Akhir kata, menulis dan menyiapkan manuskrip adalah mudah. Kekal menjadi penulis adalah sukar. Ia adalah satu bentuk perjuangan di atas jalan penuh ranjau berduri.

Doakan saya berjaya dalam perjuangan ini. Perjuangan menjadi penulis seumur hidup!

Wassalam.

Tuesday 12 March 2013

Cerita Pendek 1: Kumbang


(sumber gambar: corcoran.ccsdschools.com)

Cerita Pendek 1: Kumbang

Bilik 120...
Tok! Tok!
Aiman mengetuk pintu bilik. Seorang lelaki berbangsa Cina menguak pintu dari dalam. Bruce nama dia.
"Engkau sudah siapkan assignment EMT?" tanya Aiman.
            “Sudah. Semalam sudah siap. You mahu copy paste? No problem!” Bruce tersengih.
            Aiman menggeleng, turut tersengih. “Aku datang ke universiti untuk belajar ilmu, bukan belajar copy paste.”
            “Habis itu, you mahu apa?”
            “Aku mahu lihat cara engkau selesaikan soalan nombor 3. Boleh?”
            “Boleh, boleh. Masuklah....” Bruce berjalan ke mejanya. Aiman melangkah masuk ke dalam bilik. Bersepah. Sangkar kucing lebih kemas.
            “Nah!” Bruce menghulurkan assignment yang sudah siap dicetak. Kemas hasil kerjanya, berlawanan daripada keadaan biliknya.
            Aiman mencapai dan meneliti assignment itu. Lama dia merenung tajam salah satu halaman. Sesekali jemarinya bergerak-gerak. “Oh, begitu rupanya! Aku sudah faham! Terima kasih, terima kasih!” Dia memulangkan assignment itu kepada pemiliknya.
            Sebelum Aiman sempat melangkah ke pintu, Bruce berbisik, “Hei, I baru download cerita bagus! Mahu tengok?” Pelajar Cina itu tersenyum. Nakal sekali.
            Aiman segera faham. “Tidak mengapalah. Aku tidak boleh tonton benda-benda begitu. Engkau tengoklah sendiri.”
            “Cerita itu banyak syok! Tidak rugi punya. Pergilah tengok di PC I. Jangan risau, I rahsiakan daripada orang lain.” Bruce cuba menghasut.
            “Engkau boleh rahsiakan daripada Tuhan aku?” tanya Aiman. Serius bercampur seloroh. Senyumannya mengusik.
            Bruce terdiam seketika. Buntu. Kemudian dia menghembus nafas lemah. “Okey, okey! I tahulah agama you tidak benarkan you tengok benda-benda begitu. Cuma, I tidak faham satu benda.”
            “Apa dia?”
            “Mengapa you begitu takut kepada Tuhan you, even though you langsung tidak nampak Dia. I tidak faham. Mungkin I tidak akan faham.” Kerutan tercetak pada dahi Bruce. Jelas dia tidak berniat menyinggung. Sekadar bertanya.
            Aiman diam tetapi senyum. Manis sekali. “Aku nampak ada kumbang masuk bilik engkau tadi.”
            Terus mata Bruce jadi bulat. Mulutnya terlopong. “Ku-Kumbang apa? Jangan main-main! You pun tahu I fobia serangga!”
            “It’s up to you. Terima kasih atas bantuan tadi.” Aiman beredar dengan wajah senyum. Berlawanan daripada raut wajah Bruce yang ketara takut bercampur risau.


Bilik 124....
Tok! Tok! Tok!
            Aiman bergegas ke pintu. Bruce sedang berdiri di luar biliknya. Pucat lesi.
            “Ada apa?” tanya Aiman. Tenang.
            “Help me, please....”
            “Apa yang boleh aku tolong?” tanya Aiman lagi.
            Bruce menarik nafas panjang. “I tidak senang hati. Selepas you kata ada kumbang di bilik I, terus I cuba cari. Mahu halau. Tetapi tidak jumpa. I tidak boleh buat apa-apa....” Suaranya sedikit serak.
            Aiman mengangguk. “Biar aku tolong cari....”


Bilik 120....
Aiman berdiri di atas kerusi. Perlahan-lahan tangannya merapati seekor kumbang sebesar guli di atas locker besi. Dua jarinya berjaya mengepit tubuh kumbang hidup itu. Segera dia ke tingkap dan melempar kumbang itu keluar.
            Dengan pantas, Bruce menutup tingkap rapat-rapat. Dia tidak mahu kumbang itu masuk semula ke dalam biliknya.
Thank you so much,” ucap Bruce dengan bibir yang sudah kurang pucat.
“Tiada apa-apa.” Aiman tersenyum. Jeda. Dia bersuara lagi, “Apa perasaan engkau semasa kumbang ini ada di dalam bilik?”
Bruce diam seketika. “I rasa tidak senang hati. You kata ada kumbang masuk bilik I, tetapi I tidak jumpa kumbang itu. So, I rasa seperti kumbang itu ada di mana-mana. Seolah-lah ia merayap di bawah meja, kipas siling, bawah selimut, dalam baju.... Takut!”
Senyuman Aiman melebar. “Sama juga seperti aku. Aku tidak nampak Tuhan aku, tetapi aku tahu Dia ada, membuatkan aku rasa Dia ada di mana-mana. Aku rasa Dia ada di sebelah aku setiap masa. Sekiranya aku tonton cerita yang bukan-bukan, aku tonton bersama Dia sebenarnya. Sama juga apabila aku buat kesalahan yang lain. Jadi, bila masa aku boleh buat dosa tanpa rasa malu dan takut?”
Kelu lidah Bruce. Dia sudah faham.

TAMAT