Friday, 5 July 2013

Mengapa One Piece best, komik tempatan pula tak best?

Pasti ramai pembaca komik tertanya-tanya soalan itu; mengapa komik luar negara seperti One Piece dan Naruto sangat seronok dibaca, manakala komik tempatan pula membosankan (bukan saya kata begitu) dan tidak sehebat komik-komik luar?

Soalan daripada saya pula; mengapa kereta Ferrari 355 lebih berkualiti daripada Proton Saga BLM?

Jawapan bagi kedua-dua persoalan ini adalah kos!

Di Jepun, kos bagi menghasilkan sekeping manuskrip komik popular adalah sangat besar, jauh lebih besar daripada sekeping manuskrip komik tempatan.

Mari kita buat sedikit matematik bagi membuktikannya. Data-data saya ambil daripada komik Bakuman, jadi mungkin kurang tepat, tetapi lebih penting adalah poinnya.

Pengiraan Kos Sehelai Manuskrip Komik Jepun

Dalam sebulan, jumlah halaman manuskrip yang dilukis pelukis komik Jepun = 4 minggu x 18 halaman = 72

Kadar bayaran bagi pelukis baru (belum pelukis senior lagi, seperti Oda) adalah RM300 per halaman.

Jadi, jumlah bayaran bagi 72 halaman = RM300 x 72 = RM21,600.

Buat pengetahuan, pelukis komik Jepun dibantu oleh beberapa orang pelukis pembantu sama ada separuh ataupun sepenuh masa. Katalah, bilangan pembantu = 2 orang.

Gaji bulanan pembantu adalah RM10,000 (sekali lagi, nilai ini diambil daripada Bakuman, pastinya sudah diconvert)

Gaji 2 pembantu = RM10,000 x 2 orang = RM20,000

Kos bulanan bagi 72 halaman manuskrip adalah RM20,000 + RM21,600 = RM 41,600

(Ini belum masuk kos lain, seperti alatan dan sebagainya. Tetapi, mungkin kos ini kurang signifikan, jadi kita abaikan dalam pengiraan.)

Jadi, kos bagi satu halaman manuskrip = RM41,600/72 = RM577.77 iaitu menghampiri RM580 per halaman.

Ini boleh dikira minimum. Saya yakin, kos bagi satu halaman manuskrip komik One Piece lebih RM1,000!

(Tetapi, nilai bagi satu halaman OP jauh lebih tinggi disebabkan royalti yang super duper lumayan, tetapi nilai tidak diambil kira dalam pengiraan, yang penting adalah kos pembuatan)

Mari kita kembali ke Malaysia.

Pengiraan Kos Sehelai Manuskrip Komik Malaysia

Matematik di ruang ini sangat ringkas. Pekomik tempatan selalu melukis manuskrip sendirian tanpa pembantu. Mereka dibayar antara RM30 hingga RM300 per halaman. RM300 per halaman itu pun adalah sangat jarang sebenarnya.

Jadi, kos bagi sehelai manuskrip komik di Malaysia antara RM30 hingga RM300 sahaja!

Lebih menarik, kos bagi penghasilan satu halaman manuskrip komik solo Komik-M adalah RM0! Sebabnya, pengkarya dibayar secara royalti, jadi tiada bayaran lump-sum. Sebab itu kosnya adalah RM0.

Sudah jelas, kos sehelai manuskrip komik Jepun hampir mencecah RM600 (minima), tetapi kos bagi sehelai manuskrip komik Malaysia pula hanya antara RM0 hingga RM300.

Berbalik kepada persoalan saya tadi. Mengapa Ferrari lebih berkualiti, lebih laju, lebih cantik daripada Proton BLM? Sebabnya kos bagi membina sebuah kereta Ferrari adalah lebih tinggi daripada Proton BLM. Semudah itu.

Kualiti vs. Kos

Siapa kata kualiti berkadar langsung dengan kos pembuatan? Angka yang kata.

Ini adalah ranking filem yang mendapat jumlah kutipan tertinggi sepanjang masa berserta kos penghasilan masing-masing:

1. Avatar - $237 juta
2. Titanic - $200 juta
3. The Avengers - $220 juta
4. Harry Potter and the Deadly Hallows (Pt 2) - $250 juta
5. Iron Man 3 - $200 juta
6. Transformers (Dark of the Moon) - $195 juta
7. LOTR (Return of the King) - $ 94 juta
8. Skyfall - $150-200 juta
9. Dark Knight Rises - $230 juta
10. Pirates of the Caribbean 3 - $225 juta

90% daripada filem-filem di atas menjangkau kos pembuatan $200 juta. Bermakna, hanya filem-filem super mahal dapat memenuhkan ranking atasan filem yang paling banyak ditonton. (Dalam konteks ini, saya anggap kutipan jualan menggambarkan kualiti sesebuah filem. Tidak semestinya tepat, tetapi sekurang-kurangnya dapat dijadikan asas penilaian.)

Memang ada juga filem kos rendah yang berkualiti tinggi, tetapi kita bercakap berkenaan yang menjadi kebanyakan, majoriti, norma, tipikal.

Saya berteori, salah satu tiang bagi jambatan yang menghubungkan antara kualiti dan kos adalah segi tiga Maslow. Tetapi ini panjang ceritanya, akan saya kongsi apabila berkesempatan kelak, insya-Allah.

Realiti Dunia Komik Tempatan

Saya orang baru dalam bidang komik di Malaysia, namun dalam masa tiga empat tahun ini, puas juga saya memerhati sekeliling, hinggalah terbentuk satu pandangan hasil pemerhatian secara konsisten.

Hakikat yang perlu diketahui berkenaan pelukis komik tempatan:

1. Kebanyakan mereka lukis komik sendirian tanpa dibantu sesiapa. Dari memikirkan idea hingga menambah screen tone, hanya seorang lakukan biasanya. Pelukis Jepun dibantu ramai orang. Mereka tidak perlu melukis latar belakang dan buat toning, jadi mereka ada lebih banyak masa bagi memikirkan jalan cerita.

2. Ramai yang melukis komik sebagai kerja sambilan memandangkan mereka ada kerja tetap. Ada juga yang masih belajar di Universiti. Tidak ramai berani menjadi pelukis komik sepenuh masa melihatkan keadaan industri yang pasang surut tidak menentu.

3. Kebanyakan pelukis komik perlu mengikut peraturan penerbitan yang ditetapkan (yang mana bagi saya ia bagus) dan kehendak pasaran. Jadi, sedikit sebanyak kreativiti mereka terbatas. Bagi pelukis Muslim pula, mereka sentiasa perlu mempertimbangkan hukum-hakam dan kesan karya ke atas pembaca. Ini menyebabkan kebanyakan pelukis Muslim takut-takut meneroka imaginasi dan hanya bermain dalam zon selesa.

4. Majoriti masyarakat masih memandang sepi kerjaya sebagai pelukis komik, sama ada sambilan ataupun sepenuh masa. Justeru, sukar bagi golongan pelukis komik mendapat sokongan orang-orang terdekat. Sedikit sebanyak perkara ini dapat merendahkan moral dan sekaligus menghentikan terus perjalanan seseorang dalam jalan komik, lebih-lebih bagi mereka yang lemah semangat.

Yang paling menyedihkan adalah hakikat kelima:

5. Pembaca komik kerap mengeluarkan kata-kata seumpama ini kepada para pelukis komik:

"Ish, sama seperti komik Jepun tu! Sebijik. Mesti tiru, bukan setakat bulat-bulat tapi lonjong-lonjong!"

"Jalan cerita klise. Cuba tengok komik Jepun yang tu, aku menangis sebab baca. Touching sangat! Huuuuu...."

"Komik Malaysia tak best. Tak perlu baca pun, memang sebab tak best. Sepatutnya kat buku teks ada tulis fakta: Komik Malaysia adalah tidak best."

"Eh, konsep sama macam komik Jepun tu."

"Watak dia sama macam Yamamaototoatiko Atimoto, watak utama komik Jepun yang tu."

Lebih menyedihkan, komen ataupun provokasi seperti ini dilemparkan terus kepada pelukis komik. Sekiranya mereka tahu hakikat sebenar, pasti mereka lebih rela perkataan itu meletup dalam perut berbanding diluahkan secara melulu.

Ada pelukis komik sepenuh masa yang saya kenali hanya makan mi segera hampir setiap hari.

Kehidupan seorang pelukis komik sepenuh masa di Malaysia tidak seperti di luar negara, lebih-lebih lagi Jepun. Ya, dikatakan pelukis komik One Piece tidur 4-5 jam sahaja sehari, tetapi sekurang-kurangnya dia makan sedap-sedap, tinggal di tempat selesa, dijaga rapi, dan disukai semua orang.

Di Malaysia, apabila anda katakan kepada orang yang anda bekerja sebagai pelukis komik, kemungkinan besar anda akan dipandang dengan hujung mata dan dahi berkerut. Realiti.

Bukan Entri Merintih

Oh, saya bukannya merintih, merungut, ataupun menyesal. Saya sekadar berkongsi pemikiran yang sudah sekian lama terperap dalam tempurung minda. Saya berharap tulisan ini dapat sedikit sebanyak membangkitkan sesuatu dalam diri semua yang membaca blog ini. Sokongan.

Supaya, mereka tidak sewenang-wenang bersikap skeptik setiap kali melihat nama Melayu pada kaver komik.

Supaya mereka tidak sewenang-wenang memprovokasi pelukis dengan perkataan-perkataan sensitif seperti plagiat, tiru, dan sebagainya. Ya, perkataan-perkataan kecil itu adalah provokasi kerana seolah-olah membakulsampahkan kreativiti si pelukis.

Supaya mereka tidak sewenang-wenang membandingkan komik luar negara dengan komik tempatan, tanpa mereka mengetahui hakikat yang bersawang dalam satu sudut industri komik negara.

Perbezaan Antara Kritikan, Komen, dan Kutukan

Entri ini bukan bermaksud tiada kritikan perlu dilemparkan kepada pelukis komik tempatan. Tidak, mereka sememangnya memerlukan maklum balas berupa kritikan sebagai panduan dalam meningkatkan mutu hasil kerja. Tetapi, perlu dibezakan antara kritikan yang bersifat membina dan kritikan yang bersifat memusnah a.k.a kutukan.

Malah, sekiranya ada kritikan, berikanlah kritikan itu secara peribadi kepada pelukis komik. Guna emel ataupun mesej FB. Bukannya mendedahkan di forum-forum, status FB, Twitter, dan sebagainya. Ia juga satu perbuatan membuka aib orang lain.

Saya pernah terbaca satu ayat di sebuah hospital swasta yang berbunyi begini: Sekiranya anda suka perkhidmatan kami, hebahkanlah kepada kawan-kawan. Sekiranya anda tidak suka, beritahu kami sahaja.

Setuju.

Kesimpulan

Perbandingan dan kutukan tidak sekali-kali mampu menaikkan mutu komik tempatan. Apa yang diperlukan oleh industri komik Malaysia adalah sokongan. Cara menyokong bukan hanya like page dan gambar foto komik tempatan, tetapi membelinya.

Matematiknya mudah; semakin ramai orang beli komik tempatan, semakin tinggi permintaan, semakin banyak komik diterbitkan, semakin ramai orang menjadi pelukis komik, semakin tinggi kualiti komik.

Mahu lihat komik sehebat One Piece dihasilkan oleh orang Malaysia? Boleh, dengan syarat anda serahkan dua perkara; sokongan berterusan dan masa.

"Human kind can not gain anything without first giving something in return." - Alphonse Elric

13 comments:

nazha anua said...

setuju dan like:-)

Afeeya Bella said...

Entri paling terbaik abad ini!

- cS - said...

kadang-kadang motivasi 'duit' ni perlu untuk meningkatkan daya usaha seseorang kan?

semoga teruskan usaha kalian dalam membawa komik Malaysia ke serata dunia.. setiap orang ada cara dan sumbangan tersendiri kan..hehe

*rindu pulak Alphonse dan abangnya ble abg Nazry quote ayat tu..haha*

Happy Mind said...

aku tak tau sama ada aku pernah sokong atau tak komik tempatan. 1. sebab komik tempatan yang popular pada pendengaran aku cuma ujang, utopia dsb.
2. genre seram macam dari alam angker tu hanya sedikit. kalau karya cinta:=-shoujo manga nampak macam budak hostel tu boleh diterima. tapi sayang-Ubi sudah lama karyanya sepi.kalau ada susah nak jumpa.
3. i think we have move on ...
nampak banyak pekomik baru yang hasilkan karya. cuma kena lebih aktif.
Tapi kalau ada pekomik baru. memang aku sokong. OnePiece best sebab ada tema...why don't you make one?-panjang lak...

meo said...

Gud info

:)

Anonymous said...

ni, bukan aku nak kata apa tapi komik jepun dan tempatan berbeza sangat. bagai langit dan bumi. takkan ada walau seribu tahun pun komik tempatan yang maju seprti one piece atau komik jepun yang lain. komik tempatan hanya tiruan. buktinya? tengoklah, komik jepun,kita baca dalam bahasa melayu,animasi jepun dalam bahasa melayu. aku hormat pelukis komik tempatan cuma kalau nak buat komik yang bagus seprti komik antarabangsa jadi cipta komik yang original dan jangan tukar komik dan animasi yang asli jadi sendiri. aku hanya bercakap benar dan aku sokong. itu saja.

Anonymous said...

sya nk jadi pelukis komik malaysia..klu nk komik yg sehebat one piece..sya akan buat yg terbaik^^ insya allah

Anonymous said...

sy pernah melukis komis semenjak sekolah rendah,sehingga ke sekolah menengah sy msih melukis.Rasa seronok bila kawan2 suka idea dn hasil kerja saya.Tetapi selepas sy mengambil aliran sains.sy x berminat dan terpaksa minat.ramai yg memberitahu menjadi pelukis komik tiada masa depan.selepas dpt result spm yg hampeh.sy mencuba nasib smbung belajar sbgi pelukis pelan.pada mulanya sy bertekad jika semester 1 sy gagal.sy akn tukar bidang animasi.tetapi sy lulus.selepas grad sy smbung bljr hingga tahap diploma shja,pelbagai bidang yg hmpir sama telah sy cuba pereka hiasan dalaman,pelukis pelan,3d visualiser for architecture and interrior.tetapi jiwa sy tetap x bleh buang ntuk melukis komik,walaupn bakat sy sudah tumpul kerana jarang melukis.agak menyesal tidak memperjuangkn minat sy sejak waktu kecil.dn sy sudah trlambat ntuk berpatah balik sbb sudah berumur 29 tahun.kpd mereka yg masih muda,berjuang lah ntuk minat anda.wang bukan lh segalanya..jika anda minat dan tidak berputus asa.anda boleh pergi jauh.

Dalim said...

Saya setuju dengan pendapat tuan. Kalau setakat minat je, ianya tak akan membawa pelukis komik tu ke mana-mana. Kene ikut dan belajar sikit-sikit dari arena komik luar untuk maju ke depan. Macam saya baru terjumpa satu website online komik tempatan, Kotakbox www.kotakbox.net , komiknya agak bagus dan pelukisnya cuba nak bawa sesuatu yang baru dalam industri komik underground. Lukisannya pon ade stail.

Anonymous said...

Sekarang zaman teknologi dan internet tanpa sempadan
Pada pendapat peribadi saya jalan penyelesaian yang mudah adalah: Komik digital > Pasaran luar negara (Amerika/Jepun)
Bagaimanapun cara begini tidak akan dapat memajukan industri komik tanah air
Ia hanya memanfaatkan artis tersebut sahaja
http://www.madefire.com/

JUNAIDI said...

Syukur alhamdulillah saya ucapkan kepada ALLAH karna atas kehendaknya melalui MBAH RAWA GUMPALA saya sekaran sudah bisa buka toko sendiri dan bahkan saya berencana ingin membangun hotel dan itu semua berkat bantuan MBAH RAWA GUMPALA,saya tidak pernah menyanka kalau saya sudah bisa sesukses ini,atas bantuan MBAH RAWA GUMPALA yang telah memberikan nomor selama 3x putaran dan alhamdulillah itu semuanya tembus bahkan beliau juga membantu saya dengan dana ghaib dan itu juga benar benar terbukti,MBAH RAWA GUMPALA juga menawarkan minyak penarik kepada saya dan katanya minyak ini bisa digunakan untuk berbagai jenis keperluan dan baru kali ini saya temukan paranormal yang bisa dipercaya,,bagi teman teman yang ingin dibantu untuk dikasi nomor yang benar benar terbukti tembus atau dana ghaib dan kepengen ingin membeli minyak penarik silahkan hubungi MBAH RAWA GUMPALA di 085316106111 ini benar benar terbukti nyata karna saya sendiri yang sudah membuktikannya.BUKA BLO DANA GHAIB MBAH RAWA GUMPALA

Anonymous said...

Apalah dah sah2 komik manga dari jepun lebih hebat manga tu budaya diorang sejak abad 19 lagi banyak syarikat jepun publish benda yg sama. Antaranya syarikat Shueisha,Shogakukan,Futabasha itu baru sikit belum studio lagi dan sekarang ni terbukti penerbitan komik malaysia xtahan lama sebagai contoh MOY publication dan skrng Creative Enterprise pun dah kurang dalam penghasilan komik.Tapi paling gah pun Art Square Creation itu banyak komik dihasilkan dalam versi manga kerana diorang ikut trend apa pembaca komik malaysia mahukan.Apa2pun saya sokong usaha anda sebagai pelukis...

Anonymous said...

Perbandingan yg tidak adil. Saya ambil One Punch Man karya ONE sebagai contoh. Asalnya, ia sebuah web comic, sebelum menjadi manga dan anime series. ONE hanya melukisnya secara suka-suka namun jalan ceritanya sangat hebat, menarik dan paling penting ORIGINAL. Kerana sambutan yg sangat hebat, ada individu dan produksi yg ingin menjadikannya manga dan anime. Dan lebih hebat lagi, web comic beliau masih mempunyai pengikut yang ramai dan bertambah setiap hari. Alasan duit itu alasan yg sempit. Alasan penyedap hati. Naruto dan One piece sebelum boleh jadi manga penuh perlu melalui proses saringan melalui manga one-shot. Kalau ceritanya tidak ada sambutan, ia tidak akan dijadikan manga penuh. Tingkatkan kualiti cerita, akan ada orang yang menghargainya.