Tuesday 18 December 2012

Entri 13: Komika #2 (Bahagian 1)


Bab 1: Harmoni
Kring!
Norman membuka matanya separuh. Dia mengambil jam loceng yang diletakkan di tepi telinga, dan melihat jarum jam yang berpusing. Tepat jam enam pagi. Dia mematikan loceng dan bingkas dari katil.
            Sedikit terhoyong-hayang, Norman berjalan ke tingkap bilik dan membuka pintu jendela seluasnya. Angin nyaman menyerbu masuk ke dalam bilik. Cicipan burung dan kokokan ayam jantan yang berselang-seli, menerpa gegendang telinganya. Pemandangan yang hijau dan segar memenuhi pandangan matanya.
            Norman menggeliat. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sambil tersenyum manis, dia berkata, “Alhamdulillah, satu lagi hari sibuk menanti….”
            Selepas mandi dan bersolat subuh, Norman mengenakan pakaian sekolah yang sudah siap digosok malam tadi. Sambil memasang tali leher di hadapan cermin, dia bernyanyi lagu nasyid kegemarannya. Usai lengkap berpakaian sekolah, dia menyisir rambut dengan sikat rongak. Sesudah rapi, dia menyarung beg dan berjalan ke pintu.
Sebelum tiba di pintu, langkah Norman terhenti. “Oh, hampir-hampir terlupa benda paling penting.” Dia berpusing dan melangkah ke meja. Di atas meja, ada sebuah fail lutsinar bersaiz A4. Sambil mengangkat fail itu, Norman berdesis, “Sekiranya fail ini tertinggal, tidak dapatlah aku lukis komik di sekolah.” Dia memasukkan fail ke dalam beg dan keluar dari bilik.
Norman pergi ke dapur. Di meja dapur, ibu dan adik lelakinya sedang tekun menikmati sarapan.
“Assalamualaikum,” ucap Norman sambil menyeret kerusi dari bawah meja. Bibirnya tidak lekang melakar senyuman.
Puan Haryani dan Solehin menoleh serentak, lalu mereka membalas salam dengan serentak, “Waalaikumussalam….”
Usai duduk, Norman melihat juadah yang terhidang di atas meja. Matanya membulat manakala senyumannya melebar. “Wah, keledek rebus! Kegemaran saya!”
Solehin menyahut dengan mulut dipenuhi keledek rebus, “Kegemaran saya juga!” Kanak-kanak berusia enam tahun itu mengangkat tinggi ibu jarinya.
Puan Haryani tersenyum lebar. Dia memerhatikan anak-anaknya yang begitu berselera menikmati hasil air tangannya. Selama seketika, suasana hening tanpa butir bicara, hinggalah Puan Haryani berkata kepada Norman, “Ibu lihat, anak orang lain begitu liat bangun pagi dan pergi sekolah. Tetapi, setiap hari kamu bangun sendiri, dan pergi sekolah dengan gembira. Mengapa agaknya, ya?”
Norman tersengih dengan mulut penuh. Barisan giginya diselaputi keledek rebus.
 Solehin tertawa dengan kuat. “Gigi abang berwarna oren!”
Usai menelan, Norman berkata kepada Solehin dengan nada mengejek, “Hei, kamu cakap kepada orang, gigi kamu juga warna oren!” Bicaranya diakhiri tawa kecil. Kemudian, dia memandang wajah ibunya, dan bertanya, “Ibu mahu tahu sebabnya?”
“Sekiranya kamu sudi beritahu,” balas Puan Haryani. Lembut sekali.
Usai jeda seketika, Norman bersuara, “Di sekolah, saya ada dua tanggungjawab. Satu, sebagai pelajar biasa. Satu lagi, sebagai pelukis komik dalam Kelab Penerbit Komik.”
“Kelab Penerbit Komik?” ulang Puan Haryani. “Sekolah kamu ada kelab sebegitu?”
Suara Norman kembali berkumandang, memenuhi setiap ceruk dapur, “Pada asalnya tiada. Saya dan rakan-rakan yang tubuhkannya. Alhamdulillah, kelab kami itu mendapat sokongan daripada pihak sekolah. Kini, majalah yang kelab kami terbitkan, iaitu Komika, sudah menjadi majalah bulanan rasmi di sekolah.”
Puan Haryani mengangguk kecil. “Ibu selalu nampak kamu melukis komik. Rupa-rupanya, kamu melukis untuk majalah Komika itu, ya?”
“Ya, benar!” sahut Norman, sebelum dia menyuap keledek rebus dan mengunyah dengan penuh berselera.
Solehin mencelah, “Adakah abang dibayar?”
Norman mengangguk. Usai menelan, dia berkata, “Sebahagian daripada hasil jualan Komika diagihkan kepada ahli-ahli Kelab Penerbit Komik. Alhamdulillah, saya juga ada bahagiannya.”
Puan Haryani berkata, “Oh, patutlah kamu sudah tidak ambil wang belanja yang ibu berikan. Malah, mampu beli basikal baru dengan wang sendiri. Sudah ada sumber pendapatan rupa-rupanya.”
Norman tersengih.
Puan Haryani menyambung bicara, “Walau apa juga yang kamu lakukan, selagi tidak bertentangan dengan agama, ibu restui kamu. Ibu gembira lihat kamu gembira. Cuma, ibu harap kamu tidak ketinggalan dalam pelajaran. Tahun ini kamu sudah tingkatan lima. Hujung tahun ini, ada peperiksaan besar menanti....”
Pantas Norman menggeleng. Dia mengepalkan kedua-dua buku lima dan meletakkannya di atas meja. “Cuba ibu lihat ini. Di sebelah kiri adalah pelajaran. Di sebelah kanan pula adalah komik.” Dia mendekatkan kedua-dua buku limanya ke dada, dan berkata lagi, “Saya akan bersikap adil dan menjaga kedua-duanya, sama rata! Jangan risau, ya!”
Senyuman lebar terukir pada wajah Puan Haryani. “Ibu percaya kepada kamu….” Wanita itu melihat jam pada dinding. “Eh? Sudah hampir pukul tujuh. Cepat habiskan makanan. Bekal kamu ibu sudah siapkan, ada di tepi para.”
“Baik, ibu!” balas Norman. Selepas menghabiskan hidangan, Norman bangun dan bersalam dengan ibunya. Dia keluar dari rumah dan mendapatkan basikalnya yang dikunci pada pintu besi rumah.
“Bismillah.” Norman membuat kayuhan pertama. Beberapa saat kemudian, dia meluncur laju di atas jalan raya yang masih lengang dan sejuk.
***
(Bersambung....)

Friday 21 September 2012

Entri 12: Kisah Seorang 'Mediocre'

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pada saat entri ini ditulis, tinggal 45 hari sahaja lagi sebelum menjelangnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM. Ujian paling penting bagi semua pelajar sekolah. Ujian yang sedikit-sebanyak menentukan hala tuju pelajar selepas tamatnya alam persekolahan.

11 tahun lalu, saya berada di dalam kasut para pelajar yang bakal menghadapi SPM tahun ini. Izinkan saya berkongsi pengalaman yang saya lalui pada waktu lebih sedekad lalu. Pengalaman yang saya rasakan dapat berikan setitis inspirasi dan motivasi kepada yang membaca.

Semoga bermanfaat.

Dahulu, saya tidak tergolong dalam pelajar cemerlang. Sewaktu saya tingkatan 4 dan 5, saya menganggap diri saya sebagai pelajar yang hanya suam-suam kuku. Malah, pernah sekali guru bahasa Inggeris menggelar saya mediocre.

Sebabnya?

Saya tidak belajar. Saya lebih tumpukan perhatian saya ke arah perkara-perkara lain; game, komik, tarian breakdance dan lain-lain. Akibatnya, saya menjadi pelajar sederhana, seperti yang dikatakan guru bahasa Inggeris saya. Sekiranya saya tidak hadir ke sekolah pun, tentu guru-guru dan rakan-rakan tidak perasan.

Saya berperlakuan begitu hinggalah selepas tamat peperiksaan percubaan. Dalam peperiksaan percubaan saya, saya hanya mendapat sedikit A, beberapa C dan 2 E! Kedua-dua subjek yang saya dapat E itu, markahnya hanya 40. Cukup-cukup makan untuk lulus.

Pada waktu itu, lebih kurang sebulan lagi peperiksaan SPM akan bermula. Keputusan yang teruk itu telah memberikan impak kepada saya. Saya rasa seolah-olah pipi saya ditampar bertubi-tubi sambil dijeritkan ke telinga saya, "Bangun! Bangun! Jangan tidur lagi!"

Tiba-tiba sahaja mata dan minda saya terbuka luas. Hati saya pula berteriak, "SPM lebih kurang sebulan sahaja lagi! Apa yang aku sedang lakukan?!"

Sejak itu, saya mula belajar.

Ya, saya hanya mula belajar selepas peperiksaan percubaan. Pada waktu itu jugalah, barulah hati saya terbuka bagi membeli buku-buku rujukan. Hinggakan pak cik saya berseloroh kepada saya, "SPM sudah benar-benar hampir, baru kamu mahu beli buku?" Saya sekadar tersenyum. :)

Saya tidak mempedulikan kata-kata sesiapa. Keazaman sudah tertaut kukuh dalam jiwa saya. Saya sudah bertekad, saya mahu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun masa yang tinggal sangat sedikit. Saya tidak melepaskan sebarang harapan.

Tempoh masa yang sedikit antara percubaan dan SPM sebenar, saya isikan dengan waktu belajar yang berkualiti:

  • Saya menghafal (secara harfiah) buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5.
  • Saya buat nota yang berwarna-warni untuk subjek Kimia.
  • Saya menghabiskan beberapa buah buku latihan Matematik Tambahan.
  • Saya berguru dengan seorang pakar Fizik, pada waktu rehat setiap hari.
  • Buku rujukan yang baru saya beli, sudah menjadi lunyai disebabkan saya membeleknya setiap masa.
  • Saya tumpukan perhatian kepada subjek-subjek yang saya lemah. Subjek yang saya mahir, saya tinggalkan dahulu.
Dugaannya sangat besar, tetapi saya berjaya mengatasinya. Pada masa seluruh ahli keluarga sedang menonton televisyen dengan gembira, saya duduk bersendirian di balkoni sambil menghafal nota. Namun, saya abaikan perasaan terpinggir. Saya tahu, sebulan terakhir ini sangat penting kepada diri saya.

Sejak peperiksaan percubaan, saya belajar dengan sepenuh tumpuan secara konsisten setiap hari hinggalah tibanya hari pertama SPM.

Alhamdulillah, buat kali pertamanya, saya berasa begitu yakin menjawab soalan. Selepas menjawab paper terakhir, saya keluar dari dewan dengan perasaan yakin dan puas.

Beberapa bulan kemudian, keputusan SPM keluar. Saya masih ingat, sayalah orang pertama di dalam kelas itu yang mengambil slip keputusan. Dan, guru yang memberikan slip keputusan adalah guru sama yang menggelar saya mediocre.

Saya mendapat 9A dan 1B.

Kedua-dua subjek yang saya dapat E dalam percubaan, saya dapat A dalam SPM. Dengan keputusan itu, saya menjadi pelajar terbaik jurusan Awam dan menerima Anugerah Sime Darby bagi subjek Matematik Tambahan.

Syukur, syukur.

Adik-adik yang dihormati, tiada istilah terlambat. Pelajar yang mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan percubaan SPM tidak sepatutnya mengalah terlalu awal. Selagi ada masa, selagi itulah ada peluang untuk mengubah keputusan, daripada G kepada A. Daripada gagal kepada cemerlang.

Teruskan berusaha hingga detik terakhir sebelum peperiksaan bermula. Pada masa kita menyerah kalah, pada saat itu sebenarnya kita sudah kalah.

Selamat berusaha kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan. Semoga usaha kita semua diredai oleh Allah Yang Maha Mengasihani.

Wassalam.

Monday 20 August 2012

Entri 11: Sedikit Kemaskini

Assalamualaikum.

Hadoi! Lamanya tidak menjenguk blog ini. Maaf kepada para followers yang menanti entri baru sejak Disember tahun lalu tetapi hanya kunjung tiba pada hari ini.

Namun, saya senyap bukannya tidak berisi, ya. Alhamdulillah, sejak entri terakhir di blog ini, saya sudah menerbitkan 2 novel grafik dan 3 novel. Satu lagi novel akan terbit dalam masa terdekat ini.

Mahu tahu apa karya-karya itu? Teruskan membaca!


1. Ali & Tuah: Sarang Empat Penjahat (Novel grafik bersama Afiq)



2. Komika: Ada Apa Dengan Komik? (Novel)



3. Misi 10A Plus (Novel grafik bersama Afiq)



4. Misi 8A The Novel (Novel ringan)



5. Kelab Pelajar Super (Novel) 


Insya-Allah, matlamat saya pada tahun 2012 ini adalah menerbitkan 10 buah buku. Doakan supaya saya berjaya mencapainya, ya!

Sekian sahaja. Terima kasih banyak diucapkan. Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Wassalam.