Friday 19 July 2013

Entri 20: Gatal tangan

Tangan saya gatal saat ini. Kedua-duanya, kiri dan kanan.

Saya baru mengenali nama Neil Gaiman. Beliau penulis tersohor yang sudah menerbitkan begitu banyak buku yang hampir semuanya bestseller. Contohnya komik Sandman dan novel Ocean at the End of the Lane. Ya, dia juga menulis komik DAN novel, sama seperti saya, tetapi setakat itu sahajalah persamaan kami. Antara lain, banyak karya beliau sudah diadaptasi kepada filem, antaranya adalah Stardust dan Coraline.

Saya juga sedang membaca novel Ramlee Awang Murshid. Novel yang ditulis pada tahun 2009, tetapi sudah cukup membuatkan saya kagum terhadap penulisannya. Itu belum lagi saya baca novelnya yang terbaru. Pasti lebih menyengat. Huh!

Gatal. Tangan saya gatal.

Tangan saya gatal untuk menulis!

Kali terakhir saya menulis novel adalah beberapa bulan lalu. Komika #2. Sejak itu hanya menulis komik dan skrip. Oh, dan juga entri blog.

Kini, saya sedang dalam proses mengumpul idea, inspirasi, kekuatan, dan motivasi. Kali ini, saya mahu tulis sesuatu yang lain. Sesuatu yang lebih mencengkam emosi dan imaginasi. Sesuatu yang dapat menghimpit RAM dan Neil Gaiman hingga mereka terasa sesak nafas.

Saya mahu menulis sebuah novel yang disasarkan kepada orang dewasa, ini pertama kali.

Kalian-kalian, Tuan RAM dan Tuan Neil Gaiman, terima kasih kerana memberikan saya inspirasi. Saya akan gunakan kekuatan ini bagi memberikan cabaran kepada tuan-tuan berdua.

Tunggu, ya! Tunggu!

Yang benar,
Nazry Salam


No comments: