Wednesday 21 December 2011

Entri 10: Syarat Pengetua


“Apa syaratnya, tuan pengetua? Kami rela lakukan apa sahaja asalkan kelab melukis tidak dibubarkan!” ujar Ikbal dengan penuh bersemangat. Perlakuannya kini semakin berubah. Kelihatan dia semakin sayangkan kelab berbanding dahulu, lebih-lebih lagi selepas pengetua mengeluarkan arahan bagi membubarkan kelab melukis.
            Ahli-ahli kelab yang lain mengangguk-angguk. Nizam juga tidak ketinggalan mengiakan bicara Ikbal.
            “Saya ada tiga syarat. Syarat pertama, kamu semua perlu naikkan bilangan ahli kepada tiga puluh orang,” ujar Encik Daud Kasmuni tenang sambil mengurut-urut misainya yang tebal.
            Ikbal terkejut besar. Begitu juga Wan Amran dan Hanan. Dengan pantas, Ikbal merapatkan bibirnya ke telinga Nizam. “Mustahil syarat ini. Sejak kelab melukis ditubuhkan, tidak pernah sekali pun bilangan ahli melebihi sepuluh orang.”
            Nizam memandang sekilas wajah Ikbal seraya berkata, “Tidak mengapa, kita dengar dahulu syarat-syarat pengetua. Kemudian, kita lihat apa yang mampu kita lakukan.”
            Ikbal terdiam sebelum mengangguk perlahan.
            Selesai menyusun ayat, Encik Daud Kasmuni kembali menyambung bicara. “Syarat yang kedua, kamu semua perlu dapatkan seorang guru penasihat yang bertauliah.”
            Sekali lagi Ikbal berbisik kepada Nizam, “Ini pun mustahil! Sudah sepuluh tahun kelab ini tiada guru penasihat. Tiada seorang pun yang sudi.”
            “Tidak mengapa. Pasti ada jalan. Dengar dahulu kata-kata pengetua hingga habis.” Nizam membalas. Sekali lagi, Ikbal mengangguk patuh. Dia semakin bimbang mendengar syarat-syarat yang dikemukakan oleh Encik Daud Kasmuni. Seolah-olah mustahil mencapainya, biarpun mereka berusaha seribu tahun.
            “Dan syarat yang terakhir, kamu semua perlu kumpulkan wang simpanan kelab sebanyak seribu ringgit.”
            “Hah?” Bergema bilik itu dengan jeritan nyaring Ikbal yang terkeluar secara tidak sengaja. Dia begitu terkejut hingga tidak dapat mengawal suaranya. Semua ahli kelab menundukkan kepala masing-masing, malu dengan perlakuan spontan timbalan presiden mereka. Encik Daud Kasmuni pula hanya memandang ke wajah Ikbal tanpa perasaan.
            “Ma... maaf ya. Terkeluar pula suara jantan saya,” ujar Ikbal sambil tangannya berpura-pura menggaru kepalanya. Wajahnya kemerahan menahan malu.
            Encik Daud Kasmuni bersuara, “Tidak mengapa. Saya tahu, syarat-syarat yang saya kenakan ini begitu sukar hingga kamu semua terkejut. Namun, saya terpaksa buat begini kerana saya juga sukar menarik balik keputusan saya.”
            Nizam mencelah, “Berapa lama tempoh yang kami ada bagi mencapai syarat-syarat itu?”
            Encik Daud Kasmuni terdiam seketika, mempertimbangkan soalan yang diajukan Nizam. Selepas beberapa detik berfikir dan menyusun ayat, Encik Daud Kasmuni kembali bersuara. “Saya beri kamu masa hingga bulan Mei.”
            Wan Amran menyampuk, “Oh, Mei tahun hadapan ya! Banyak lagi masa, insya-Allah kami usahakan.”
            “Bukan, Mei tahun ini,” ujar tuan pengetua dengan ringkas. Kata-kata yang tenang itu disambut dengan perasaan cemas ahli-ahli kelab melukis. Ikbal hampir pengsan mendengarnya. Segera Wan Amran menenangkan dia semula.
           Nizam melangkah ke hadapan dan merayu, “Tuan pengetua, tidak bolehkah tuan beri kami tempoh yang lebih lama? Sekarang sudah akhir bulan Januari. Bermakna, kami hanya ada lebih kurang tiga bulan bagi laksanakan semua syarat itu."
            Selepas menghela nafas panjang, Encik Daud Kasmuni membalas, “Maaf, tidak boleh. Sekiranya diikutkan, saya tidak boleh menarik balik keputusan membubarkan kelab melukis, kerana ianya tidak adil bagi kelab lain yang juga akan dibubarkan. Namun, saya tetap beri kamu peluang kerana kamu gigih dan sanggup datang ke sini bertemu saya. Tetapi, itu sahaja. Saya tidak boleh memberi lebih daripada itu. Take it, or leave it.” Kedengaran tegas nada suara tuan pengetua. Nizam terpaksa akur. Dia tidak berani merayu lagi, bimbang sekiranya Encik Daud Kasmuni berubah fikiran dan terus menarik balik peluang yang sudah diberikan.
            “Baiklah tuan pengetua, kami akan cuba penuhi syarat-syarat yang tuan berikan. Insya-Allah, kami akan kembali semula ke sini. Tetapi pada masa itu, bilik ini sudah tidak lagi dapat memuatkan semua ahli kelab melukis. Terima kasih atas peluang yang diberikan,” ujar Nizam dengan lembut.
            Encik Daud Kasmuni tergelak besar. “Hah, semangat seperti inilah yang saya mahu lihat! Bagus, saya akan memerhatikan kamu semua. Semoga berjaya!”
            “Terima kasih!” balas Nizam dengan penuh semangat.
            Selepas itu mereka bersurai, serentak dengan terhentinya hujan di langit.

[Bab 3, Kelab Da Vinci, 2010]


Thursday 8 December 2011

Entri 9: Aizad & Zahid

“Mengapa kau suka berlawan?” soal Zahid.
            Aizad tersenyum. “Siapa kata aku suka berlawan? Selain kerana minat, tujuan aku belajar semua itu adalah demi membolehkan aku pertahankan diriku dan orang lain yang memerlukan. Aku tidak suka pukul orang, walaupun orang itu berbuat salah kepada aku. Namun, kadangkala kita tiada pilihan. Suka ataupun tidak, ada masa kita perlu berlawan.”
            “Walaupun sudah tiada pilihan, aku tetap tidak akan pukul orang. Aku tidak suka keganasan,” ujar Zahid.
            Aizad menggeleng beberapa kali. “Mempertahankan diri bukan keganasan. Ia adalah reaksi spontan dalam mencapai keharmonian. Adakah lebah serangga yang ganas kerana ia ada sengat? Tidak, tidak. Ia adalah serangga yang baik, rajin dan tidak sekali-kali mengganggu makhluk lain... melainkan sekiranya mereka diganggu. Sengat pada lebah adalah mekanisma bagi membolehkan mereka pertahankan diri. Manusia tanpa ilmu mempertahankan diri ibarat lebah tanpa sengat. Lebih-lebih dalam dunia akhir zaman begini, banyak manusia ‘gila’ yang sanggup melakukan sesuatu di luar jangkaan bagi memenuhi nafsu. Kita perlu bersedia hadapi semua itu. Kita perlu ada ilmu.”
            Zahid menyahut, “Tetapi... aku masih berharap semua masalah dapat diselesaikan dengan baik dan secara diplomatik, bukan dengan kekasaran.”
            Aizad tersenyum sambil berkata perlahan, “Satu hari nanti, akan ada masanya kau perlu pertahankan diri menggunakan buku lima. Pada saat diplomasi seperti air yang dicurah di atas keladi.”
[Bab 6, Misi 8A, 2011]

Thursday 17 November 2011

Entri 8: Nombor!

Sina, Lim dan Mutu berkumpul di meja batu berbentuk bulat. Cahaya mentari terik memanahi bumi, namun sebatang pokok besar di tepi meja menghalang sinaran daripada menggigit tubuh mereka bertiga.
            “Sudah bersedia?” tanya Sina.
            Lim dan Mutu mengangguk. Wajah mereka suspens dan minda mereka dipenuhi tanda tanya.
            Sina mengeluarkan sehelai kertas berlipat dua dari poket baju dan menghamparnya di atas meja. Bersama-sama, mereka bertiga membaca tulisan pada kertas itu.
            “Soalan pertama, ada tujuh batang mancis. Satu batang diambil, ia menjadi sembilan. Bagaimana?
            “Soalan kedua, di sebuah sekolah ada seribu pelajar dan seribu lokar. Pelajar pertama membuka semua pintu lokar. Pelajar kedua menutup pintu lokar yang kedua, keempat, keenam dan seterusnya. Pelajar ketiga membuka atau menutup pintu lokar yang ketiga, keenam, kesembilan dan seterusnya. Selepas pelajar keseribu membuka atau menutup pintu lokar, berapa pintu lokar yang terbuka?
            “Soalan ketiga, iaitu soalan terakhir. Ali ada tiga orang anak. Hasil darab umur ketiga-tiga anaknya adalah tujuh puluh dua. Hasil tambah umur anak-anaknya tidak membantu dalam menyelesaikan soalan. Namun, anak bongsunya berbeza daripada abang-abangnya, iaitu dia suka makan bubur. Berapakah usia anak-anak Ali?”
            Lim terlopong.
            Mutu pula menghentakkan kepalanya dengan perlahan ke meja sambil bergumam, “Aiyo, amma! Semua harapan musnah! Semua soalan itu tiada jawapanlah!”
            Sina terdiam sambil matanya masih tidak lekang daripada memandang kertas yang tertera soalan daripada Cikgu Mona. Dia berkata, “Bertenang. Kita cuba selesaikan satu per satu. Kita mula daripada soalan pertama.”
            Mutu berkata, “Soalan pertama pun sudah mengarut! Tujuh batang mancis, tolak satu, pastilah tinggal enam. Mana mungkin sembilan.”
            Lim mencelah, “Pasti ada muslihat di mana-mana....”
            Sina tersenyum. “Bagi saya, satu-satunya perkara yang bermuslihat adalah silap mata. Namun, tidak matematik. Saya rasa, soalan ini sekadar menguji penguasaan kita dalam asas nombor.”
            Lim melihat dengan teliti wajah Sina. Keningnya diangkat tinggi. “Adakah... adakah awak sudah tahu jawapan kepada soalan ini?”
            Sina mengangguk sekali.
            Lim dan Mutu terlopong dengan wajah tidak percaya.
[Bab 9, Misi Pertandingan Matematik Kebangsaan, 2011]


Di atas ini adalah lukisan saya dan Cik Isteri, Husna Adnan <3. Temanya adalah pemandangan di tepi lautan. Heeee!

K Bye!

Monday 26 September 2011

Entri 6: Bahasa Melayu sebenar!

  

Assalamualaikum.

Krishnadaran adalah seorang pelajar tingkatan 3. Saya mengagumi beliau kerana beliau menulis emel menggunakan bahasa Melayu yang ejaannya lengkap dan strukturnya betul. Tiada perkataan singkatan, tiada bahasa rojak dan paling utama, tiada perkataan ciptaan (contoh, Trima kasew).

Mudah sahaja sebenarnya cara untuk saya kagum kepada seseorang. Guna bahasa Melayu yang betul. Sama ada di sekolah, di FB, di blog atau di emel, gunalah bahasa yang betul. Saya pasti akan kagum!

***

Siti sedikit tersipu. “Terima kasih, ya. Saya akan cuba lakukan yang terbaik.”
          Hardi mencelah dengan nada suara rata, “Apa itu Bahasa Melayu Tinggi?”
          Siti menarik nafas dalam-dalam. “Bahasa Melayu Tinggi adalah bahasa Melayu yang menggunakan ejaan, tatabahasa, kata sendi, perbendaharaan dan semantik yang betul. Ia juga menggunakan struktur bahasa yang berbeza daripada struktur bahasa lain, seperti Sanskrit dan Inggeris. Senang kata, Bahasa Melayu Tinggi atau BMT adalah bahasa Melayu yang tulen. Kebelakangan ini, saya lihat BMT sudah semakin jarang digunakan dan mula dilupakan. Pada zaman ini, teknologi semakin canggih, namun bahasa semakin rosak. Lihat sahaja bahasa yang digunakan oleh kebanyakan orang setiap kali menghantar mesej menggunakan sistem pesanan ringkas. Kadang-kala, saya tidak faham apa yang ditulis.”
          Alfian menyuarakan pendapat, “Saya rasa, penggunaan perkataan singkatan memudahkan penulisan. Penat juga sekiranya perlu menaip dengan ejaan penuh setiap kali menghantar pesanan ringkas.”
          Siti menjawab, “Ia memudahkan penulisan, namun menyukarkan pembacaan. Sekiranya perkataan singkatan digunakan hanya dalam sistem pesanan ringkas, saya rasa tiada masalah, asalkan penerima memahami mesej yang ingin disampaikan. Namun saya lihat, ramai orang menggunakan perkataan singkatan bagi menulis blog, mengemaskini facebook dan juga menghantar emel. Ia memudahkan penulis, namun menyusahkan pembaca.”
          Seketika kemudian, Hardi pula mencelah. “Saya juga kurang gemar bahasa ringkas. Ada yang menggantikan perkataan ‘sahaja’ dengan perkataan ‘jew’. Bukankah ‘jew’ merujuk kepada bangsa Yahudi? Saya rasa kurang elok sekiranya mereka menyebut-yebut nama Yahudi dalam penulisan.”
          Siti menyahut, “Saya setuju!”

[Bab 11, Komika: Kelab Penerbit Komik, 2011]

Thursday 22 September 2011

Entri 5: Kesukaan baru!


Sebelum raya, saya ada membeli sebuah topi ala-ala Maher Zain. Ia berwarna biru dan coklat. Ia sangat selesa dipakai ke mana-mana. Paling penting, saya tidak perlu sikat rambut sebelum keluar rumah. Haha! Mudah, bukan? Sekarang, pergi ke mana-mana sahaja, saya akan memakai topi ini.

Okey, itu sahaja. Bye!

Entri 4: Kuku dan Otak!


Pada pagi Sabtu, seperti minggu lalu, Hairi pergi ke perpustakaan bagi menghadiri kelas tambahan bersama Alifa, seorang pelajar lama yang bijak dan pintar namun berwajah kelat. Pada hari itu, Hairi pelajari banyak perkara baru. Sebarang persoalan yang Hairi tidak faham, dia bertanya terus kepada Alifa, dan Alifa menjawab dengan penuh dedikasi. Selepas dua jam, kelas tamat. Sebelum bersurai, sempat Alifa menegur Hairi.
            “Kuku kamu panjang sangat. Mengapa tidak potong?” ucap Alifa sambil matanya tertancap pada kuku Hairi yang panjangnya hampir dua sentimeter.
            Hairi melihat kuku jarinya sendiri. “Sejak masuk ke sekolah, saya tiada masa bagi memotong kuku. Saya akan potong nanti.”
            “Kamu tahu mengapa kita semua perlu memastikan kuku sentiasa pendek?” soal Alifa.
            “Bagi mematuhi peraturan sekolah?” Hairi meneka.
            Alifa menggeleng. “Bukan semata-mata itu.”
            “Jadi, apa?” Hairi mahu tahu.
            “Tahukah? Di bawah kuku ada bakteria dan yis. Semakin panjang kuku, semakin banyak bakteria, dan sebaliknya. Perlu diingat, kita makan menggunakan tangan. Oleh itu, benda yang kita makan bersentuh dengan kuku sebelum masuk ke dalam mulut. Sekiranya kuku kita panjang, banyak bakteria terlekat pada makanan yang kita telan. Mudah kata, sekiranya kuku kita panjang, setiap kali kita makan, kita makan sesuatu yang kotor dan dipenuhi bakteria berbahaya.”
            Hairi berkerut. “Benarkah? Mengapa saya tidak sakit perut selepas makan?“
            “Kerana bakteria yang masuk ke dalam badan kita melalui kuku tidak banyak, dan tidak mampu menyebabkan kita sakit perut. Namun, sedikit demi sedikit, lama kelamaan jadi banyak.” Alifa menarik nafas dalam-dalam. “Makan sesuatu yang kotor, bukan semata-mata mengundang sakit perut. Ia mampu mengakibatkan sesuatu yang lebih teruk kesannya, dalam jangka masa panjang.”
            “Apa dia?” soal Hairi, yang pada ketika ini diselubungi perasaan ingin tahu.
            “Ia memberi kesan negatif kepada tubuh badan, dan otak kita. Setiap apa yang kita makan, akan menjadi darah daging. Sekiranya kita kerap makan sesuatu yang kotor, darah daging kita menjadi lemah, membuatkan badan kita lemah, dan begitu juga otak. Setiap hari, jutaan sel pada otak kita mati, dan kita perlu gantikan sel-sel mati itu dengan makanan yang diambil. Makanan yang dikotori bakteria pada kuku akan menghasilkan sel-sel baru yang lemah. Pada satu tahap, seluruh otak kita terbentuk oleh sel yang lemah, dan bayangkan kesannya pada pemikiran dan daya fikir kita.
            “Bagi menjadi seorang ahli sukan yang baik, seseorang perlu ada tubuh badan dan tenaga fizikal yang baik dan mantap. Dengan tubuh badan yang lemah, tidak mungkin seseorang itu mampu menjadi ahli sukan yang baik, walaupun dengan latihan yang bertubi-tubi. Bagi menjadi pelajar yang baik, kita perlu ada otak dan akal yang baik dan mantap. Kita tidak mampu menjadi pelajar yang baik sekiranya otak kita lemah, yang membuatkan akal dan daya berfikir kita turut lemah.
            “Namun, di negara kita, perkara ini tidak berlaku kepada bangsa lain. Perkara ini hanya berlaku kepada Melayu. Mengapa?”
            Hairi berfikir sejenak dengan dahi berkerut. Tiba-tiba, matanya dibesarkan. “Hanya Melayu makan menggunakan tangan!” teriak Hairi.
            “Ya, benar. Bangsa Cina makan menggunakan penyepit, manakala bangsa India pula menggunakan sudu, seperti orang Barat. Sebenarnya, orang Arab juga makan dengan menggunakan tangan, namun makanan ruji mereka adalah roti, oleh itu makanan mereka tidak terlalu dicemari oleh kuku. Hanya bangsa kita sahaja yang perlu berhati-hati dan memastikan kuku sentiasa bersih, demi otak yang lebih sihat.” Panjang lebar penjelasan Alifa, hingga nafas dia sedikit mengah. Hairi terlopong mendengar hujah Alifa. Sekali lagi, dia berasa kagum kepada pelajar berwajah kelat itu.
            “Baiklah. Saya akan berpegang kepada kata-kata kamu. Saya akan pastikan kuku saya sentiasa pendek dan bersih,” ujar Hairi.
            “Bagus!” balas Alifa. “Sebarkan juga perkara ini kepada rakan-rakan, ya.”
            “Insya-Allah.” 

[Bab 8, Kelab Pelajar Super, 2011]

Saturday 27 August 2011

Entri 3: Raya!

Assalamualaikum.

Saya, Cik Isteri dan Duyuk dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Saya ingin mohon maaf sekiranya ada tersalah kata dan tersilap bicara, samada di FB, di dunia nyata ataupun dalam komik dan novel.

Berhati-hati di jalan raya bagi yang memandu. Jangan bermain mercun. Kunci rumah baik-baik pada setiap masa, kerana perompak gemar pecah rumah pada masa ini (Nauzubillah, mudah-mudahan dijauhkan).

Akhir kata, selamat bergembira dan selamat menyambut kemenangan! Yahoo!

Tata dan Wassalam.

Thursday 25 August 2011

Entri 2: Si Duyuk

Assalamualaikum,

Beberapa hari lalu, saya dan Cik Isteri terjumpa seekor anak kucing di tengah jalan. Anak kucing itu kecil sahaja saiznya. Sungguh kecil! Maka, kami telah memanggilnya, Si Duyuk (Apa kena mengena? Haha!).

Pada asalnya, Si Duyuk sangat lemah badannya. Kami membawanya ke klinik haiwan, namun tutup pula. Mahu tidak mahu, kami terpaksa membawa dia pulang ke rumah. Secara rahsia, kami telah membawa Si Duyuk ke bilik. Malah, kami terus sahaja meletakkan Si Duyuk ke dalam bakul pakaian. Haha! 

Kami telah memberi makanan dan minuman kepada Si Duyuk yang kasihan. Mulanya dia seperti malu-malu mahu makan, namun akhirnya dia telah makan dengan gelojoh. Saya dan Cik Isteri tersenyum bangga kerana berjaya membuatkan dia makan. Hahahahahahahahahahaha! Okey, macam dah over sedikit.

Okeylah, lain kali saya akan sambung cerita fasal Si Duyuk. Bye!


Monday 22 August 2011

Entri 1: Salam kenal!


Assalamualaikum.

Saya adalah penulis komik Misi 8A, Misi 10A, siri Aviasi Fantasi dan novel Kelab Da Vinci. Salam kenal semua. Selamat datang ke blog saya!

Insya-Allah, di blog ini, saya akan cuba kongsikan perkara-perkara menarik yang terjadi dalam hidup saya sepanjang saya bergelar Nazry. Jadi, stay-tuned dan rajin-rajinlah menjenguk di sini.

Sekian sahaja entri pertama, nantikan entri seterusnya, ya! Terima kasih kerana sudi membaca. Selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah!

Sebagai hadiah perkenalan, terimalah gambar saya yang saya lukis sendiri.


Wassalam.