Thursday 22 September 2011

Entri 4: Kuku dan Otak!


Pada pagi Sabtu, seperti minggu lalu, Hairi pergi ke perpustakaan bagi menghadiri kelas tambahan bersama Alifa, seorang pelajar lama yang bijak dan pintar namun berwajah kelat. Pada hari itu, Hairi pelajari banyak perkara baru. Sebarang persoalan yang Hairi tidak faham, dia bertanya terus kepada Alifa, dan Alifa menjawab dengan penuh dedikasi. Selepas dua jam, kelas tamat. Sebelum bersurai, sempat Alifa menegur Hairi.
            “Kuku kamu panjang sangat. Mengapa tidak potong?” ucap Alifa sambil matanya tertancap pada kuku Hairi yang panjangnya hampir dua sentimeter.
            Hairi melihat kuku jarinya sendiri. “Sejak masuk ke sekolah, saya tiada masa bagi memotong kuku. Saya akan potong nanti.”
            “Kamu tahu mengapa kita semua perlu memastikan kuku sentiasa pendek?” soal Alifa.
            “Bagi mematuhi peraturan sekolah?” Hairi meneka.
            Alifa menggeleng. “Bukan semata-mata itu.”
            “Jadi, apa?” Hairi mahu tahu.
            “Tahukah? Di bawah kuku ada bakteria dan yis. Semakin panjang kuku, semakin banyak bakteria, dan sebaliknya. Perlu diingat, kita makan menggunakan tangan. Oleh itu, benda yang kita makan bersentuh dengan kuku sebelum masuk ke dalam mulut. Sekiranya kuku kita panjang, banyak bakteria terlekat pada makanan yang kita telan. Mudah kata, sekiranya kuku kita panjang, setiap kali kita makan, kita makan sesuatu yang kotor dan dipenuhi bakteria berbahaya.”
            Hairi berkerut. “Benarkah? Mengapa saya tidak sakit perut selepas makan?“
            “Kerana bakteria yang masuk ke dalam badan kita melalui kuku tidak banyak, dan tidak mampu menyebabkan kita sakit perut. Namun, sedikit demi sedikit, lama kelamaan jadi banyak.” Alifa menarik nafas dalam-dalam. “Makan sesuatu yang kotor, bukan semata-mata mengundang sakit perut. Ia mampu mengakibatkan sesuatu yang lebih teruk kesannya, dalam jangka masa panjang.”
            “Apa dia?” soal Hairi, yang pada ketika ini diselubungi perasaan ingin tahu.
            “Ia memberi kesan negatif kepada tubuh badan, dan otak kita. Setiap apa yang kita makan, akan menjadi darah daging. Sekiranya kita kerap makan sesuatu yang kotor, darah daging kita menjadi lemah, membuatkan badan kita lemah, dan begitu juga otak. Setiap hari, jutaan sel pada otak kita mati, dan kita perlu gantikan sel-sel mati itu dengan makanan yang diambil. Makanan yang dikotori bakteria pada kuku akan menghasilkan sel-sel baru yang lemah. Pada satu tahap, seluruh otak kita terbentuk oleh sel yang lemah, dan bayangkan kesannya pada pemikiran dan daya fikir kita.
            “Bagi menjadi seorang ahli sukan yang baik, seseorang perlu ada tubuh badan dan tenaga fizikal yang baik dan mantap. Dengan tubuh badan yang lemah, tidak mungkin seseorang itu mampu menjadi ahli sukan yang baik, walaupun dengan latihan yang bertubi-tubi. Bagi menjadi pelajar yang baik, kita perlu ada otak dan akal yang baik dan mantap. Kita tidak mampu menjadi pelajar yang baik sekiranya otak kita lemah, yang membuatkan akal dan daya berfikir kita turut lemah.
            “Namun, di negara kita, perkara ini tidak berlaku kepada bangsa lain. Perkara ini hanya berlaku kepada Melayu. Mengapa?”
            Hairi berfikir sejenak dengan dahi berkerut. Tiba-tiba, matanya dibesarkan. “Hanya Melayu makan menggunakan tangan!” teriak Hairi.
            “Ya, benar. Bangsa Cina makan menggunakan penyepit, manakala bangsa India pula menggunakan sudu, seperti orang Barat. Sebenarnya, orang Arab juga makan dengan menggunakan tangan, namun makanan ruji mereka adalah roti, oleh itu makanan mereka tidak terlalu dicemari oleh kuku. Hanya bangsa kita sahaja yang perlu berhati-hati dan memastikan kuku sentiasa bersih, demi otak yang lebih sihat.” Panjang lebar penjelasan Alifa, hingga nafas dia sedikit mengah. Hairi terlopong mendengar hujah Alifa. Sekali lagi, dia berasa kagum kepada pelajar berwajah kelat itu.
            “Baiklah. Saya akan berpegang kepada kata-kata kamu. Saya akan pastikan kuku saya sentiasa pendek dan bersih,” ujar Hairi.
            “Bagus!” balas Alifa. “Sebarkan juga perkara ini kepada rakan-rakan, ya.”
            “Insya-Allah.” 

[Bab 8, Kelab Pelajar Super, 2011]