Thursday 28 March 2013

Entri 16: Hidup Sebagai Penulis Novel

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada orang tanya kepada saya perihal kehidupan sebagai penulis novel. Antara soalan yang ditanya; kelemahan dan kelebihan menjadi penulis novel. Jadi, saya terpanggil bagi menjawab persoalan itu di blog saya, supaya selain orang yang bertanya, orang lain yang mungkin menyimpan persoalan sama juga dapat jawapannya.

Penulis...

Kerjaya ini langsung tiada dalam fikiran saya sebelum ini. Tiada langsung dalam jangkaan saya. Namun perkara ini bukannya sesuatu yang baru dalam hidup saya, kerana saya sudah sering bertukar-tukar bidang yang diceburi. Daripada pelajar kejuruteraan awam, kepada pelajar kejuruteraan komputer, kemudian dilantik menjadi staf akademik, menjadi pula pelajar jurusan telekomunikasi, akhir sekali menjadi penulis.

Sepanjang memegang jawatan penulis, saya sudah mencuba penulisan komik, novel, dan skrip. Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun menjadi penulis sepenuh masa, saya benar-benar menyukai bidang ini. Serius.

Sebagai penulis sepenuh masa, saya adalah bos diri saya sendiri. Saya ada semua masa yang ada di dunia. Tiada istilah waktu pejabat, hari bekerja, dan hari cuti. Bagi saya, setiap saat adalah waktu pejabat saya sekaligus waktu rehat. Setiap hari adalah hari bekerja sekaligus hari cuti. Kedengaran memang aneh, tetapi memang begitu caranya.

Isu berkaitan masa ini adalah kelebihan sekaligus cabaran.

Kelebihan, saya boleh bekerja apabila saya mahu, dan bercuti apabila saya mahu. Tetapi, fitrah kerja seperti ini memerlukan disiplin tinggi dan tekad berkobar. Tanpa disiplin, seseorang itu boleh hanyut dilanda kemewahan masa yang ada (walaupun juga dilanda kemiskinan harta).

Cabaran pula datang daripada persepsi orang sekeliling. Satu hakikat yang perlu diketahui, kerjaya penulis sepenuh masa terletak antara pekerja pejabat dan penganggur. Pada kebanyakan masa, orang melihat penulis sebagai penganggur yang hanya duduk rumah goyang kaki di hadapan komputer.

Ini memang cabaran. Sekiranya kulit wajah dan telinga tidak cukup tebal, jangan jadi penulis sepenuh masa. Jangan jadi freelancer. Itu kriteria pertama.

Tetapi sebenarnya, banyak kali juga rasa hati ini mahu mengangkat bendera putih. Banyak kali. Adat, moral juga seperti iman, ada pasang surut. Impian pula mengikut resmi hati, ada masa berbolak-balik, ada masa teguh terpasak di bumi. Namun, alhamdulillah, saat saya menulis entri ini, saya masih seorang penulis sepenuh masa. Doakan saya dapat bertahan dalam kerjaya ini lebih lama....

Kelebihan lain menjadi penulis sepenuh masa, haaa, mungkin ada yang meneka populariti dan kekayaan. Ha! Ha! Itu sama sekali silap besar. Penulis adalah antara individu paling tidak kaya dan popular. Orang lebih kenal buku daripada penulisnya, bukan? Itu fitrah pembaca. Pendapatan pula tidak tetap.

Sekiranya mahu popular, jadilah penyanyi ataupun pelakon. Masuk bidang perhubungan massa.
Sekiranya mahu kaya, jadilah ahli perniagaan.

Kerjaya penulis hanya sesuai untuk mereka yang mahu mendedikasikan hidup dengan memberi inspirasi kepada orang lain. Memberi harapan. Memberi imaginasi. Itulah penulis. :)

Ada orang katakan kepada saya, bagi menjadi penulis, tidak perlu sepenuh masa. Memadai tulis secara sambilan. Saya senyum setiap kali mendengar kata-kata itu. Tidak mahu terlibat dalam debat, hanya hati berbicara lebat, 'Sekiranya saya menulis separuh masa, hilang separuh kualiti penulisan saya, hilang separuh imaginasi saya, hilang separuh keazaman saya.'

Sukar. Tidak mudah. Ada orang beranggapan, mustahil saya mampu hidup dengan kerjaya ini. Menanggung pula keluarga. Saya akui kebenarannya.

Namun, apabila difikirkan semula, saya sudah menempuh kesukaran sejak dahulu.

Pertama, apabila saya dihantar ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru. Waktu itu, SMTJB adalah antara sekolah teknik terbaik di Malaysia. Sebuah sekolah elit, dengan guru elit, dan jurusan elit.

Mungkin ibu saya mahu melihat saya menjadi arkitek disebabkan saya gemar melukis, jadi dia sarankan saya pilih jurusan Kejuruteraan Awam. Maka saya bersetuju. Pada awalnya, tidak mudah. SMTJB bukan seperti sekolah biasa. Disiplinnya ketat. Jangkaannya tinggi. Saya bukan pelajar cemerlang, tetapi saya perlu hadapi semua itu. Kesulitan muncul satu per satu. Buku dihempas guru, didenda berdiri di atas kerusi, digelar mediocre oleh guru, dan banyak lagi.

Sesudah dua tahun, saya berjaya buktikan kepada semua, saya mampu hadapinya walaupun banyak cabaran merintangi. Saya menjadi pelajar terbaik jurusan Kejuruteraan Awam.

Kedua, apabila saya memilih kursus Kejuruteraan Komputer di Universiti Teknologi Malaysia. Sebelum memulakan pengajian, telinga saya mula menangkap desas-desus dan khabar angin berkenaan kursus yang saya pilih hanya disebabkan namanya cool.

"Kejuruteraan Komputer adalah antara tiga kursus paling sukar di UTM Skudai!"
"Kursus itu sangat tough. Good luck, ya!"

Saya memulakan pengajian. Ya, memang mencabar, seperti yang diperkatakan. Cabaran pertama, batch pertama kursus itu terdiri daripada seorang bangsa India, lebih 20 bangsa Cina, dan hanya 2 orang Melayu. Kemudian, banyak lagi cabaran mendatang satu per satu.

Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian. Kepujian Kelas Pertama. Satu-satunya pelajar Bumiputera melepasi sempadan Kelas Kedua Tinggi dalam masa tiga tahun.

Cabaran ada di dalam setiap perjalanan. Perjalanan terbaru saya kini adalah sebagai seorang penulis sepenuh masa. Seperti perjalanan-perjalanan saya sebelum ini, dalam fasa awal, saya begitu dilanda pelbagai cabaran dari segenap sudut. Namun akhirnya saya berjaya tiba di garisan penamat. Kini, sekali lagi saya mahu buktikan, saya mampu mengharungi perjalanan dan mencapai kejayaan sebagai buah tangan hasil titik peluh dalam setiap langkah kaki.

Saya mahu buktikan. Maka saya memilih kerjaya ini. Apa yang saya perlukan hanya dua. Masa dan moral.

Akhir kata, menulis dan menyiapkan manuskrip adalah mudah. Kekal menjadi penulis adalah sukar. Ia adalah satu bentuk perjuangan di atas jalan penuh ranjau berduri.

Doakan saya berjaya dalam perjuangan ini. Perjuangan menjadi penulis seumur hidup!

Wassalam.

12 comments:

Aiman Afnan Mohd Asri said...

InsyaAllah. Semoga berjaya Abang Nazry :))

Nazry Salam said...

Terima kasih, Aiman! :)

Happy Mind said...

Proud of you...tetiba kisah ni jadi sumber inspirasi. Keep up! Mental saya masih lemah nak jadi penulis ni. :)

Anonymous said...

Apakah kelebihan dan keistimewaan menjadi penulis novel.:)

bellaannrose said...

Cita2 akhir saya...amin Insyaalah....

Unknown said...

Saya tertarik dengan ulasan "tujuan mmenjadi penulis adalah kerana mahu mendedikasikan hidup dengan memberi inspirasi kepada orang lain. Memberi harapan. Memberi imaginasi."

dan juga memberi hiburan. :D Saya juga punya impian nak jadi penulis buku tapi.. masih ragu2 dengan teknik penulisan.

MugiKT said...

Impressed....all the best n keep on moving ahead.

Zura Rahman said...

hi... are u still writing full time? thanks for this... memberi saya secebis semangat yg semakin menghilang.all the best for u.

cash loan said...

Halo, Adakah anda memerlukan pinjaman daripada Syarikat yang paling dipercayai dan boleh dipercayai
di dunia? jika ya maka hubungi kami sekarang kerana kami menawarkan pinjaman kepada semua
kategori pencari sama ada syarikat atau penggunaan kakitangan. Kami menawarkan
pinjaman pada kadar faedah 3%, Hubungi kami melalui Whats app +919205646839
mohanmendcompany01@gmail.com

BORANG PERMOHONAN PENCEGAHAN PINJAMAN
  ******************************
1) Nama Penuh:
  2) Jantina:
  3) Jumlah Pinjaman yang Dibutuhkan:
  4) Tempoh Pinjaman:
  5) Negara:
  6) Alamat Rumah:
  7) Nombor Mudah Alih:
  8) Nombor Faks:
  9) Pekerjaan:
10) Pendapatan Bulanan:
  11) Tarikh Gaji:
  12) Tujuan pinjaman:
  13) Di mana anda mendapat iklan pinjaman kami:
mohanmendcompany01@gmail.com

AS3000DESIGN said...
This comment has been removed by the author.
AS3000DESIGN said...

Saya ahmad sabri ibrahim
Hp 0103252354
Baru nak belajar jadi penulis jun 2020
Terengganu

AS3000DESIGN said...

Saya ahmad sabri ibrahim
Hp 0103252354
Baru nak belajar jadi penulis jun 2020
Terengganu