Monday 11 March 2013

Prabaca Istimewa: Misi Pertandingan Matematik (Bab 2)




Bab 2: Perjuangan

Di pusat pentadbiran Putrajaya....
Beberapa pegawai berjawatan tinggi dan berpakaian sut lengkap sedang duduk di sekeliling meja berbentuk elips. Raut wajah mereka serius. Mereka semua memandang ke arah seorang lelaki pertengahan abad, yang sedang berdiri tegak di tepi tingkap sambil melihat ke luar.
            “Apa tujuan Dato’ adakan mesyuarat ini?” soal pegawai berkening tebal kepada lelaki di tepi tingkap.
            Dato’ Dr. Romzey berpaling dan menghadap para pegawai di meja. Dengan wajah muram dia berkata, “Tujuan saya mengumpulkan tuan-tuan dan puan-puan semua, adalah kerana saya mahu umumkan sesuatu.”
            “Apa dia, Dato’?” tanya pegawai wanita berkaca mata.
            Dato’ Dr. Romzey mengeluh panjang. “Saya sudah dilucutkan daripada memegang jawatan pengerusi ahli jawatankuasa Pertandingan Matematik Kebangsaan.”
            Semua pegawai terkejut besar. Ada yang terjatuhkan pen, ada yang tersedak dan ada juga yang tertelan gula-gula getah yang dikunyah.
            “Dato’, tolong serius sedikit. Kami tahu Dato’ gemar berjenaka, tetapi ini bukan masa yang sesuai untuk bergurau.” Seorang pegawai berwajah lonjong bersuara dengan penuh bersungguh.
            Dato’ Dr. Romzey menggeleng beberapa kali. “Saya tidak bergurau! Baru pagi tadi saya terima panggilan telefon daripada menteri sendiri. Dia mahu saya berundur dan beri peluang kepada muka baru.”
            Pegawai lelaki bertubuh kerdil bangun dan berkata lantang, “Tetapi, Dato’ adalah pengasas pertandingan itu! Dato’ adalah orang paling komited setiap kali pertandingan diadakan. Saya tidak boleh terima keputusan ini!”
            “Kaki ampu,” bisik pegawai di sebelahnya.
            Dato’ memandang tajam pegawai bertubuh kerdil itu. “Sekiranya begitu, bolehkah kamu bersemuka dengan menteri dan bantah keputusan dia secara terang-terangan? Demi saya?”
            Pegawai bertubuh kerdil terdiam. Dia mati bicara lalu duduk semula. Dia merasakan semua mata memandang ke arahnya pada saat ini. Kekesalan terbit dalam hatinya yang juga kerdil.
            Suasana menjadi sunyi dan janggal seketika. Masing-masing tertunduk memandang meja yang kosong dan sejuk. Hanya kedengaran bunyi pendingin hawa yang tidak henti-henti menyalurkan angin nyaman ke dalam bilik, namun rasa nyaman itu langsung tidak terjangkau ke dalam hati mereka.
            Tiba-tiba, pegawai lelaki berambut terbelah tengah bersuara, “Siapa pengganti Dato’?”
            Dato’ Dr. Romzey terdiam seketika.
            Pegawai itu berkata lagi, dengan suaranya yang nyaring seperti bunyi siren bomba, “Maksud saya... siapakah orang yang bakal menjadi pengerusi ahli jawatan kuasa bagi Pertandingan Matematik Kebangsaan?”
            “Saya faham! Saya faham soalan kamu! Tidak perlu bertanya lagi dengan susunan ayat yang berbeza!” balas Dato’ Dr. Romzey dengan nada marah.
            Pegawai itu tertunduk kesal. “Maafkan saya....”
            Dato’ Dr. Romzey menghela nafas panjang. “Orang yang menggantikan saya adalah....”
            “Saya!”
            Semua yang berada di dalam bilik menoleh ke muka pintu. Seorang lelaki berkaca mata hitam, berambut panjang hingga bahu dan berkulit sawo matang sedang berdiri di situ sambil tersenyum sinis.
            “Fayzal?” teriak pegawai berambut terbelah tengah, sambil menuding ke arah lelaki yang dimaksudkannya.
            Semua pegawai yang duduk di sekeliling meja terkejut besar.
            “Maksud saya adalah Fayzal Taheer, anak menteri!” ujar pegawai berambut terbelah tengah lagi.
            Pegawai-pegawai lain berkata dengan serentak, “Tahulah!”
            Fayzal Taheer membuka kaca mata hitam dan meletaknya di atas rambut. Dia berjalan perlahan melintasi bilik itu dan berhenti di hadapan Dato’ Dr. Romzey. Dia tersenyum dan berkata, “Dato’ Dr. Romzey.... Legenda matematik yang tersohor di seluruh negara. Tiba masanya bagi kamu berundur dan beri peluang kepada orang muda seperti saya, pegang jawatan kamu!”
            Dato’ Dr. Romzey menjawab, “Silakan. Saya sudah pegang jawatan ini selama berpuluh tahun. Sekiranya pengunduran saya mampu memajukan lagi Pertandingan Matematik Kebangsaan, saya lebih daripada rela. Good luck!” Dato’ Dr. Romzey menghulurkan salam kepada Fayzal.
            Fayzal tersenyum sinis. Tanpa mencapai huluran salam itu, dia duduk di atas kerusi pengerusi mesyuarat. Sambil berputar di atas kerusi, dia berkata, “Luck? Maaf, saya tidak perlukan luck.”
 Fayzal berhenti berputar. Dia meletakkan tangan di atas meja dan menghadap semua pegawai. Dengan wajah serius dia berkata, “Saya perlukan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada semua ahli jawatan kuasa di sini!”
Semua pegawai terdiam sambil memandang wajah ketua baru mereka.
Tanpa menoleh, Fayzal Taheer berkata kepada Dato’ Dr. Romzey, “Mengapa kamu masih di situ? Mahu saya tunjukkan jalan keluar?”
Dato’ Dr. Romzey mendengus kecil. “Tidak perlu. Saya tahu pintu di mana. Saya sudah gunakan bilik mesyuarat ini sejak kamu berada di dalam perut ibu kamu lagi.” Usai bicara, dia segera melangkah keluar dari bilik.
Pegawai bertubuh kerdil terlepas derai tawa, namun dengan cepat dia menekup mulut.
Fayzal Taheer menjeling tajam ke arah pegawai itu. Perlahan-lahan pegawai itu menggelongsor ke bawah hingga kepalanya tidak kelihatan.
Bam! Bunyi pintu dihempas oleh Dato’ Dr. Romzey.
Fayzal menghembus nafas dengan kuat. “Baiklah, sekarang mantan pengerusi sudah berhambus, marilah kita mulakan mesyuarat kita. Pertama sekali, saya mahu lihat dokumen sistem pertandingan yang sedia ada.”
Pegawai wanita berwajah seperti Lisa Surihani menghulurkan sebuah buku kepada Fayzal Taheer.
“Oh, terima kasih si manis!” ujar Fayzal Taheer sambil mencapai buku itu. Dia mengambil masa beberapa minit meneliti kandungannya.
Usai puas membelek buku itu, Fayzal Taheer mengeluarkan pemetik api daripada poket seluarnya.
“Ini adalah kawasan larangan merokok,” tegur pegawai berwajah lonjong.
“Saya tahulah. Malah saya bukannya perokok. Saya tahu merokok membahayakan kesihatan,” jawab Fayzal Taheer dengan nada dingin.
“Jadi encik mahu buat apa dengan pemetik api itu?” soal pegawai berwajah lonjong lagi.
“Saya mahu buat begini.” Fayzal Taheer menghidupkan api dan membakar buku pada tangannya. Kemudian, dia biarkan buku itu hangus di atas meja.
Semua pegawai terlopong melihat buku itu terbakar hingga menjadi debu.
Fayzal Taheer bersuara, “Saya tidak mahu gunakan sistem pertandingan yang lembik begini. Saya mahu wujudkan sistem baru. Sistem yang lebih mencabar. Sistem yang lebih adventurous. Sistem yang lebih kejam!”
“Tetapi, encik....” Pegawai berwajah seperti Lisa Surihani mencelah, “Ini sekadar pertandingan. Encik perlu pertimbangkan keadaan para peserta. Mereka pelajar sekolah....”
Fayzal Taheer tertawa kecil. Dia bangun dari kerusi dan memandang ke luar tingkap. Dengan pandangan tajam, dia berkata, “Ini bukan lagi pertandingan. Ini adalah perjuangan!”


Pada satu malam yang tidak gelap dan tidak terang....
Dua remaja sedang berusaha memanjat pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perling. Seorang tubuhnya besar seperti ahli bina badan, manakala seorang lagi kecil seperti kanak-kanak. Lelaki bertubuh besar menggalas sebuah beg manakala lelaki bertubuh kecil memakai beg pinggang.
Usai memanjat dengan bersusah-payah, mereka berjalan pantas melintasi beberapa blok bangunan. Tiba-tiba, lelaki kecil itu ternampak seorang pengawal keselamatan sedang meronda.
            “Hei, sembunyikan diri!” bisik lelaki kecil kepada lelaki besar.
            Mereka berdua segera bersembunyi di belakang tembok. Selepas pengawal keselamatan itu menghilang, mereka berdua meneruskan langkah. Beberapa minit kemudian, mereka tiba di hadapan pintu sebuah bilik.
            Lelaki kecil berbisik, “Seperti yang saya jangka, mereka kunci pintu bilik ini menggunakan mangga besi. Tidak mengapa. Nasib baiklah saya ada bawa peralatan.” Lelaki kecil mengeluarkan sesuatu daripada beg pinggang.
            Lelaki besar berkerut lalu dia bersuara, “Gunting? Awak sangka awak mampu buka mangga besi ini dengan gunting?”
            “Ini sahaja benda tajam yang ada di rumah saya. Tidak bolehkah?” jawab lelaki kecil.
            Lelaki besar menggeleng beberapa kali. “Mana boleh! Awak sangka mangga itu diperbuat daripada kertas? Biar saya yang buka mangga itu.”
Lelaki besar berdiri di hadapan pintu dan memegang mangga menggunakan kedua-dua belah tangannya.
            Lelaki kecil itu terkejut. “Awak mahu buka mangga itu dengan tangan kosong?”
             “Sekiranya Sakuragi Hanamichi boleh lakukannya, mengapa tidak saya?” Usai bicara, lelaki besar menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Matanya memandang tajam mangga pada tangannya manakala wajahnya serius seperti sedang menjawab soalan ujian.
            Lelaki kecil membisu, memberi peluang kepada rakannya menumpukan perhatian.
            “Hek!” teriak lelaki besar. Prak! Mangga itu terkopak daripada pintu.
            “Mari kita masuk ke dalam,” ujar lelaki besar dengan tenang sambil menolak daun pintu dan masuk ke dalam bilik.
            Lelaki kecil memandang mangga itu dengan wajah tidak percaya. “Bagaimana dia mampu lakukan ini dengan tangan?”
            Lelaki besar memanggil dengan nada berbisik, “Hei, cepat sedikit! Bagaimana sekiranya pengawal keselamatan datang semula?”
            Lelaki kecil segera masuk ke dalam bilik dan menutup pintu.
            Bilik itu hanya disinari oleh cahaya bulan yang menerobos masuk menerusi kaca tingkap. Di dalam bilik itu, ada sepuluh meja panjang, dan di atas setiap meja ada dua komputer peribadi. Di bahagian hadapan bilik, ada sebuah meja besar berserta sebuah komputer peribadi dan papan putih. Manakala di belakang bilik, ada sebuah rak besi tiga tingkat yang menempatkan enam suis rangkaian.
            “Saya tidak jumpa suis lampu,” ujar lelaki besar sambil melilaukan mata melihat sekeliling bilik.
            “Hei, mana boleh buka lampu! Awak mahu kita ditangkap?” balas lelaki kecil. Dia keluarkan lampu suluh LED daripada beg pinggang dan menghidupkannya. Bilik itu menjadi lebih terang selepas dilimpahi cahaya putih.
            “Oh... Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang?” soal lelaki besar sambil menggaru kepala.
            “Mari kita pergi ke rak besi di belakang sana.”
            Mereka berdua berjalan pantas menuju ke bahagian belakang bilik.
             “Keluarkan komputer,” arah lelaki kecil, sebaik sahaja mereka tiba di hadapan tindanan suis rangkaian yang mengeluarkan kelipan lampu kecil berwarna merah dan kuning, seperti UFO.
            Lelaki besar patuh, lalu dia mengeluarkan komputer Macbook Air tujuh belas inci daripada beg yang digalasnya. Lelaki kecil mengambil komputer itu dan meletakkannya di atas salah sebuah suis rangkaian.
            Sementara menanti komputer itu dihidupkan, lelaki besar bertanya, “Saya masih tidak faham. Mengapa awak tidak godam sahaja dari rumah? Mengapa perlu datang ke sekolah malam-malam begini? Awak tahu hukuman yang menanti kita sekiranya kita ditangkap?”
            Lelaki kecil menjawab sambil memandang skrin komputer, “Saya sudah cuba, namun tidak berjaya. Sistem keselamatan rangkaian sekolah ini sangat hebat dan kebal. Sebarang akses daripada alamat IP yang tidak dikenali akan disekat sepenuhnya. Analoginya adalah seperti cuba menembusi Tembok Besar China menggunakan pen. Namun, sekiranya saya hubungkan komputer saya kepada suis rangkaian, dengan mudah sahaja saya boleh tukar configuration rangkaian dan menyahaktif sistem keselamatan buat sementara waktu. Selepas itu saya boleh akses sistem maklumat data tanpa sebarang sekatan. Sistem keselamatan rangkaian sekolah ini memang hebat, namun bilik ini langsung tidak dijaga. Ia seperti mengunci selipar menggunakan mangga besi bagi mengelakkan ia dicuri.”
            Lelaki besar berkerut. Dia cuba memahami kata-kata rakannya. “Ada satu perkara sahaja yang saya tidak faham. Mengapa perlu tembusi Tembok Besar China? Mengapa tidak panjat sahaja tembok itu? Bukankah lebih mudah begitu?”
            Lelaki kecil menepuk dahi. “Tadi itu analogi sahaja. Saya mahu beri gambaran betapa kukuhnya sistem keselamatan rangkaian sekolah ini. Itu sahaja.”
            Lelaki besar mengangguk dengan wajah serius. “Saya faham. Senang kata, sistem keselamatan sekolah ini cool, bukan?
            “Ya, ya.... Cool.” Lelaki kecil sudah malas hendak layan rakannya itu. Selepas sistem operasi komputer berjalan sepenuhnya, dia berkata, “Tolong keluarkan kabel daripada beg. Berikan saya hujung kabel itu, dan satu hujung lagi pasangkan kepada port konsol di belakang suis rangkaian.”
            Lelaki besar patuh. Dia memberikan hujung kabel kepada lelaki kecil. Lelaki kecil segera memasukkan hujung kabel ke dalam port pada komputernya. Kemudian, lelaki besar membawa hujung kabel yang satu lagi ke belakang suis rangkaian.
            “Sudah pasang?” soal lelaki kecil.
            “Sudah.”
            Lelaki kecil berkerut memandang skrin komputer. Dia bergumam perlahan, ”Mengapa tiada connection? Adakah pada suis rangkaian ini terpasang sistem keselamatan dalaman? Seriuskah?”
Lelaki kecil pergi ke belakang suis rangkaian dan melihat sambungan kabel. Matanya membulat. “Hei, bukan begini sambungannya! Tempat yang awak masukkan itu adalah lubang udara.” Lelaki kecil cabut hujung kabel daripada lubang udara dan masukkannya ke dalam port yang sebenar.
            “Oh, salah, ya?” Lelaki besar menggosok belakang kepalanya sambil menjelir lidah.
            Lelaki kecil kembali ke hadapan komputer. “Okey, barulah ada connection. Baiklah, masa untuk bekerja.” Dia mula menekan papan kekunci dengan kelajuan super pantas hingga jarinya sukar dilihat.
            Setengah jam berlalu dirasakan begitu lambat. Kedua-dua lelaki itu dibasahi peluh akibat suhu bilik yang panas tanpa kipas apatah lagi pendingin hawa. Hanya kedengaran bunyi papan kekunci ditekan pantas.
            Lelaki besar bersuara dengan wajah muram, “Hei, cepatlah sedikit. Saya sudah tidak larat. Panas, lapar, letih. Semua ada!”
            “Baiklah, sudah siap! Saya sudah boleh akses sistem maklumat pelajar. Mari lihat!” ujar lelaki kecil dengan nada dan wajah teruja.
            Lelaki besar mendekati rakannya dan mereka sama-sama melihat skrin komputer. Sesekali, lelaki kecil menekan papan kekunci dan menggerakkan kursor.
Seketika kemudian, mereka ternganga luas. “Hah?”


Jam menunjukkan tepat enam pagi. Sina menggantung kain sejadah ke atas ampaian besi kecil. Dia menghampiri mejanya di hadapan tingkap dan duduk di atas kerusi kayu yang keras. Matanya memandang suasana luar yang gelap dan suram. Jalan raya masih lengang manakala kedai-kedai belum dibuka.
Angin sejuk berhembus masuk ke dalam biliknya, membuatkan rambutnya yang hitam pekat terolang-aling. Kipas kecil yang diikat pada tingkap berputar pantas. Dia memandang awan besar yang berarak perlahan di langit.
            Sina bangun dari kerusi. Dia yang sudah lengkap berpakaian sekolah, menggalas beg dan berjalan menuruni tangga. Berkeriut tangga kayu itu setiap kali dia melangkah.
            “A... Assalamualaikum, ibu,” ucap Sina kepada seorang wanita yang sedang menyapu lantai.
            Puan Jasnita berhenti menyapu. Dia tersenyum sebaik sahaja melihat wajah anak tunggalnya. “Waalaikumussalam. Apa khabar kamu pagi ini?”
            Sina membalas senyuman ibunya. “Alhamdulillah, saya seperti biasa. A... ada yang boleh saya bantu sebelum saya ke sekolah?”
            “Ya. Tolong ambilkan stok makanan ringan dari stor dan letakkan di rak, ya.”
            “Baik, ibu.”
Sina meletakkan begnya di atas kaunter dan mula laksanakan permintaan ibunya. Dia mengangkat dua kotak besar dari stor dan meletakkannya di hadapan rak makanan ringan. Dia melihat dengan teliti setiap bungkusan makanan ringan daripada kotak sebelum dia susun di atas rak.
Puan Jasnita terperasan hal itu. Dia bertanya kepada Sina dengan lembut, “Mengapa kamu meneliti setiap bungkusan makanan ringan sebelum letak di atas rak?”
Sina menjawab, “Mu... mula-mula, saya lihat tarikh luput pada setiap bungkusan. Sekiranya ada yang sudah melepasi tarikh luput, saya akan buang. Kemudian, saya susun setiap bungkusan mengikut nombor pada kod bar.”
Puan Jasnita mengangguk sambil tersenyum.
Ketika jam hampir menunjukkan pukul tujuh pagi, Sina selesai menyiapkan kerja itu.
“Saya pergi dahulu, ya,” ujar Sina sambil berjalan menghampiri Puan Jasnita yang sedang membuat kira-kira di kaunter. Dia menggalas beg dan salam tangan ibunya.
“Hati-hati berjalan.” Sempat Puan Jasnita berpesan.
Sina mengangguk. Dia berjalan ke pintu dan mencapai payung yang tersandar di tepi pintu lalu keluar dari kedai.
Puan Jasnita berkerut. “Cuaca di luar nampak baik sahaja. Mengapa dia bawa payung?”
            Sina, pelajar sekolah berusia 16 tahun. Dia tinggal bersama ibunya di sebuah rumah kedai murah di tengah-tengah Bandar Johor Bahru. Ayahnya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Kini, dia disara oleh ibunya, iaitu pemilik kedai runcit kecilan yang tidak banyak barang jualan dan tidak ramai pelanggan.
            Jalan raya sudah dipenuhi kenderaan dan pejalan kaki. Kedai-kedai sudah dibuka dan beroperasi sepenuhnya. Suasana yang sepi sebentar tadi kini menjadi hiruk-pikuk.
            “2078... 2079... 2080... 2081....”
            Sambil berpayung, Sina asyik mengira jumlah batu-batu kecil yang ditemuinya di sepanjang jalan. Ramai orang memandang ke arahnya dengan perasaan aneh.
“Gila! Cuaca baik begini pakai payung pula,” ujar salah seorang pejalan kaki yang berselisih dengan Sina.
Sina terdengar kata-kata itu, namun sedikit pun dia tidak kisah. Kakinya tidak henti melangkah dan bibirnya tidak henti mengira.
            Zap! Petir berdentum di langit. Serta-merta hujan turun mencurah. Semua pejalan kaki berlari mencari tempat berteduh. Laluan yang sesak sebentar tadi, kini hanya dilalui oleh Sina yang berjalan dengan tenang sambil bibirnya terkumat-kamit menyebut nombor.


Di dalam kelas, Sina duduk dalam barisan paling belakang. Semasa waktu pertukaran kelas, para pelajar sibuk berbual-bual bersama rakan masing-masing. Hanya Sina duduk sendirian di mejanya sambil memandang ke luar tingkap. Dia asyik mengira jumlah daun pada sebatang pokok di luar kelas.
            Tiba-tiba, seorang guru wanita melangkah masuk ke dalam kelas. Suasana hingar-bingar bertukar sunyi. Guru muda itu bersuara, “Hebat transformasi kamu, ya. Dari luar tadi, cikgu dengar seperti pasar. Apabila cikgu masuk ke dalam, terus bertukar menjadi seperti perpustakaan.”
            Beberapa pelajar tertawa kecil.
            Selepas meletakkan beg dan buku di meja, guru itu berkata lagi, “Assalamualaikum, kelas. Nama cikgu Mona Liza, panggil sahaja Cikgu Mona. Insya-Allah, mulai hari ini cikgu akan mengajar kamu mata pelajaran matematik, menggantikan Cikgu Nasya yang bakal bersalin.”
            Seorang pelajar lelaki yang duduk di hadapan Sina, berkata sesuatu kepada rakan semejanya. Sina memasang telinga.
 “Alamak, rupa-rupanya Cikgu Mona yang jadi cikgu pengganti. Aduh, mimpi ngeri!” ujar pelajar itu dengan nada berbisik.
            “Mengapa?” soal rakannya.
            “Cikgu Mona adalah guru baru di sekolah ini. Kau tahu? Dia graduan Universiti Oxford dalam jurusan matematik! Diulangi, Universiti Oxford! Bukan calang-calang, tahu? Kawan saya dari kelas sebelah cakap, cikgu ini sangat tegas dan gemar memberi soalan sukar kepada pelajar. Pernah satu ketika, satu kelas didenda berdiri di atas kerusi kerana gagal menjawab soalan,” jelas pelajar itu panjang lebar, siap dengan gaya tangan dan mimik muka.
Rakannya mendengar dengan mulut terlopong.
            Suara Cikgu Mona yang lembut berkumandang di seluruh kelas, “Baiklah, sekarang cikgu mahu uji pengetahuan kamu semua dalam matematik. Cikgu akan beri satu soalan, dan sekiranya tiada siapa mampu menjawabnya, kamu semua perlu berdiri di atas kerusi.”
            Para pelajar terkejut mendengarnya. Mereka hairan melihat guru itu, yang baru hari pertama mengajar sudah mahu mendenda.
            Cikgu Mona menulis soalan pada papan hitam. “Antara semua angka ini, nombor manakah yang boleh dibahagi dengan lima? 24, 21, 35, 59 ataupun 78?”
Seorang pelajar lelaki mengangkat tangan lalu menjawab dengan yakin, “35, cikgu.”
Cikgu Mona tersenyum. “Siapa lagi yang menjawab 35? Sila angkat tangan.”
Semua pelajar di dalam kelas itu mengangkat tangan mereka tinggi-tinggi. Mereka begitu yakin mereka memilih jawapan yang betul.
Cikgu Mona terperasan ada seorang pelajar tidak mengangkat tangan, lalu dia berkata kepada pelajar itu, “Jawapan kamu bukan 35? Jadi, apa jawapan kamu?”
Dengan rasa malu-malu, Sina berdiri dan menjawab, “Se... semua nombor itu boleh dibahagikan dengan lima. 24 dibahagi lima menjadi empat perpuluhan lapan. 21 dibahagi lima menjadi empat perpuluhan dua. 35 dibahagi lima menjadi tujuh. 59 dibahagi lima menjadi 11.8. 78 dibahagi lima menjadi 15.6. Maksud pembahagian adalah satu nombor dibahagi kepada satu nombor dan menghasilkan nombor yang baru. Tidak tertulis dalam mana-mana buku matematik, hasil pembahagian perlu dalam bentuk angka genap.”
            Cikgu Mona terdiam mendengar jawapan itu. Keningnya terangkat tinggi. Seketika kemudian, dia tersenyum dan berkata, “Ya, tepat sekali jawapan kamu. Semua nombor boleh dibahagi dengan lima.”
            Pelajar-pelajar yang lain ternganga. Mereka tidak sangka jawapan dalam fikiran mereka sama sekali tidak tepat. Malah, mereka langsung tidak terfikir jawapan yang keluar dari mulut Sina.
            “Boleh saya tahu nama kamu?” tanya Cikgu Mona.
            “Na... nama saya... Sina Rahman bin Abdul Latif,” jawab Sina tanpa memandang wajah Cikgu Mona.
            “Baiklah Sina, kamu boleh duduk,” ujar Cikgu Mona sambil tersenyum lebar. Kemudian, dia memandang pelajar yang lain. “Disebabkan ada pelajar yang berjaya menjawab soalan saya dengan tepat, maka kamu semua terlepas daripada didenda berdiri di atas kerusi.”
            Seluruh kelas bersorak riang.
            “Sekarang kita akan mulakan sesi pembelajaran. Sila keluarkan buku nota dan buku teks masing-masing,” arah Cikgu Mona.

TAMAT BAB 2

No comments: