Monday 4 March 2013

Prabaca Istimewa: Misi Pertandingan Matematik (Bab 1)




Bab 1: Permainan

Sekumpulan penjelajah terdiri daripada lima lelaki dewasa sedang menyusuri laluan curam di sebuah gua. Di belakang mereka tergantung beg galas yang mampu memuatkan kanak-kanak berusia sepuluh tahun.
            “Hei, mahu teruskan lagi? Sudah sejam kita berjalan, tetapi tiada penghujung. Hari semakin gelap,” ujar Halim Unan yang berkaca mata dan berwajah skema. Nada suaranya kedengaran resah.
            “Jadi?” soal Jal. Rambutnya panjang hingga bahu dan dia berjalan paling hadapan.
            “Rasanya, Halim takut....” Moktar mencelah. Dia terkenal dengan mulutnya yang seperti tempayan pecah, tidak padan dengan tubuhnya yang hanya setinggi 160 sentimeter.
            “Sekiranya aku takut, aku tidak akan sertai ekspidisi ini.” Halim menafi.
            Tidak semena-mena, Zairi menyanyi dengan suara garau dan lantang. “Semarak impian, segunung harap dipulang, usahlah diragukan keupayaan sendiri….” Bergema seluruh gua itu oleh nyanyiannya.
            “Apa motif kau nyanyi lagu XPDC, Semangat Yang Hilang?” tanya Maliq yang berjalan paling belakang.
            Zairi menjawab, “Tiada motif. Sekadar mahu beri peringatan kepada rakan yang semakin hilang semangatnya.”
            Halim terdiam. Dia tahu kata-kata Zairi ditujukan kepadanya. Wajahnya mengetat.
            “Kau semakin lemah selepas berkahwin,” ujar Jal kepada Halim.
            “Aku bukan lemah. Cuma aku sentiasa fikirkan fasal isteri dan anak aku setiap kali aku lakukan sesuatu. Bukan seperti kau semua, spesis forever alone yang boleh sesuka hati buat kerja gila tanpa ada orang risau.” Tajam kata-kata Halim.
            Jal, Moktar, Zairi dan Maliq tersentap apabila status bujang mereka dipermainkan. Istilah forever alone seumpama taboo kepada mereka!
            “Kau jangan berlagak!” sahut Maliq. “Aku akan cari isteri yang lebih cantik daripada isteri kau. Sekurang-kurangnya, persis Rozita Che’ Wan semasa muda. Fuh!”
            Halim tersengih. “Apa-apa sahaja. Tetapi, aku mahu beri nasihat kepada kau semua. Janganlah pilih isteri kerana kecantikan rupa semata-mata. Pilihlah kerana kecantikan iman, hati dan pekerti. Tidak guna juga sekiranya wajah isteri seperti artis, tetapi tidak pandai jaga suami.”
            Moktar mencelah, “Maliq ada hati mahu cari isteri seperti artis. Walhal, wajah sendiri macam….”
            Belum sempat habis bercakap, Maliq memotong, “Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, buruk mulut tempayan kau nanti aku tumbuk.”
            Moktar mencebik kepada Maliq yang sedang menunjukkan buku lima.
            Jal yang sejak tadi membisu akhirnya bersuara, “Sekiranya perkahwinan menghalang aku lakukan aktiviti lasak yang tidak boleh aku tinggalkan, aku rela membujang seumur hidup.”
            Halim tersenyum dan berkata, “Ingat sedikit, kawan. Kita hanya manusia lemah. Sebagus mana pun rancangan yang kau bikin, langsung tidak boleh lawan rancangan yang Tuhan bikin. Sekiranya Dia mahu kau jatuh cinta pada hari ini, maka jatuh cintalah kau!”
            Tiba-tiba, suara garau Zairi sekali lagi berkumandang, “Love hurts… Love scars… Love wounds... and marks....
            “Lagu Love Hurts nyanyian Nazareth pula,” ujar Maliq.
            Jal menoleh ke wajah Halim tanpa kakinya berhenti melangkah, “Sekiranya aku berkahwin, pasti isteri aku tidak benarkan aku bermain bungee jumping ataupun panjat gunung. Sekiranya dia benarkan pun, pasti aku sudah tiada masa. Sebab itulah aku tidak mahu berkahwin, kau tahu? Aku tidak mahu korbankan passion aku, jiwa aku! Sekiranya aku jatuh cinta pun, aku berharap wanita itu seperti aku juga. Adventurous dan berani! Boleh kami lakukan aktiviti ekstrim bersama-sama.”
            Halim tersengih. Dia gelihati mendengar kenyataan Jal. “Ya, ya. Aku faham perasaan kau, dan aku doakan….” Belum sempat kata-katanya dihabiskan, mata Halim membuntang lalu segera dia menjerit, “Jal, lihat hadapan!”
            Jal segera menoleh ke hadapan. Dia terkejut besar apabila mendapati di hadapannya ada jurang yang sangat dalam, dan di dasar jurang itu ada sungai yang mengalir deras. Dia sudah berhenti melangkah, namun dia hilang keseimbangan badan. Ketika dia hampir terjatuh ke dalam jurang, Halim sempat memegang beg galas dia dan menariknya.
            “Nasib baik aku perasan ada jurang di hadapan kau,” ujar Halim sambil bertinggung. Wajahnya pucat lesi dan dahinya dipenuhi peluh jantan.
            Jal terduduk. Perasaan gayat masih menyelubungi diri. Nafasnya laju dan bibirnya memutih. Perlahan-lahan dia mendongak. Maliq, Zairi dan Moktar sedang memandangnya dengan wajah risau. Tiba-tiba Jal tertawa kecil lalu berkata dengan angkuh, “Rilekslah, kawan-kawan. Jangan risau sangat. Bungee jumping lebih teruk daripada terjatuh ke dalam jurang itu.
            Maliq bersuara, “Bungee jumping ada tali keselamatan. Sekiranya kau terjatuh ke dalam jurang itu, aku yakin kau tidak selamat. Kau tahu betapa derasnya sungai yang mengalir di dasarnya?”
            Halim berdiri dan berkata, “Nampaknya pengembaraan kita berakhir di sini. Marilah kita pulang.”
            Maliq, Zairi dan Moktar mengangguk.
            “Nanti, nanti,” ujar Jal sambil bangun dan berdiri. “Sudah mahu pulang? Hei, cuba lihat. Kita boleh lompat jurang itu dan pergi ke seberang. Sudah alang-alang kita tiba di sini, kau semua mahu pulang? Rilekslah. Tadi aku hanya cuai. Janganlah disebabkan aku hampir terjatuh, kau semua terus mahu pulang ke rumah.”
            Moktar melemparkan pandangan ke arah jurang yang terletak beberapa meter dari mereka. Keningnya terangkat. “Kau mahu kita semua lompat jurang itu? Kau gila! Jaraknya lebih kurang lapan meter. Kurang satu meter sahaja daripada rekod lompat jauh Carl Lewis!”
            “Ya, aku memang gila.” Jal meletakkan beg galasnya ke bawah. Kemudian, dia berjalan menjauhi tebing jurang beberapa meter bagi mengambil momentum, dan bersedia berlari.
            Rakan-rakannya mulai risau melihat tingkah-laku Jal.
            Halim cuba memujuk, “Jal, walaupun kau tiada anak dan isteri, namun cuba fikirkan fasal ibu dan ayah kau. Kau tidak kasihan kepada mereka, sekiranya terjadi apa-apa kepada kau?”
            Jal membisu. Dia membidik jurang yang tidak jauh di hadapannya.
            Maliq pula cuba memujuk, “Hei, apa yang akan kami jawab kepada Dato’ Seri sekiranya berlaku sesuatu kepada kau?”
            Jal menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dia berkata dengan penuh yakin, “Jangan risaukan aku. Selepas aku tiba di seberang sana, campakkan beg kepada aku.”
            Jal berlari sekuat hati ke arah jurang. Bunyi tapak kakinya bergema di seluruh gua.
            “Jal! Jangan buat kerja gila!” teriak Moktar.
            Zairi bernyanyi dengan lantang, “I believe I can fly…. I believe I can touch the sky…. I think about it every night dan day…. Spread my wings and fly away….
            Yargh! Jal menjerit sekuat hati dan melompat ke atas jurang. Sambil nyanyian Zairi berkumandang, Jal terapung di udara sambil menggerakkan tangan dan kakinya. Halim, Maliq dan Moktar memandang erat tubuh Jal yang semakin mengecil, diiringi doa dalam hati supaya lompatan Jal berjaya. Zairi pula sedang menutup mata sambil menyanyikan lagu I Believe I Can Fly dendangan R. Kelly dengan penuh penghayatan.
            “Alamak, tidak mungkin aku boleh sampai ke seberang!” teriak hati Jal dengan seribu penyesalan kerana bertindak tanpa pertimbangan rasional. Dia cuba berkuak seperti sedang berenang, dengan harapan supaya dia berjaya tiba di tebing. Namun, daya graviti terus menariknya ke bawah tanpa belas kasihan. Semakin lama, tebing yang menjadi sasarannya semakin jauh, jauh dan menjauh.
Jal terjunam ke dasar jurang dengan kelajuan hampir sepuluh meter per saat.
            Kecebur!
            Halim, Maliq, Zairi dan Moktar hanya mampu memandang susuk Jal dibawa arus sungai yang deras. Wajah masing-masing buntu dan muram.
            “Pasti kita akan dimarahi Dato’ Seri….” Maliq berkata lesu.
            Moktar menggeleng berkali-kali. “Kita sudah beri nasihat,  namun dia tidak mahu dengar. Dia sangka dia siapa? Carl Lewis? Usain Bolt? Sesuka hati sahaja mahu lompat jurang selebar ini. Dia sangka ini longkang? Aduh.... Dia anggap hidupnya adalah permainan.”
            Halim bersuara, “Sudah, sudah. Tidak elok bercakap fasal orang yang sudah tiada. Mari kita keluar dari gua ini dan laporkan kepada polis... dan keluarga Jal.”
            Sejurus itu, Halim berpaling dan beredar dari situ, sambil diekori oleh Maliq dan Moktar.
            “Hei, kau tidak mahu pulang?” Moktar memanggil Zairi yang masih tercegat memandang sungai di bawah kakinya.
            Zairi bergumam perlahan, “Kuasa lagu pun tidak mampu selamatkan kau….” Dia menggeleng kecil dan berpaling.
            Mereka berempat berjalan secara beriringan menghala ke pintu gua.


Glup! Glup! Glup! "Tolong…." Glup!
            Jal tenggelam timbul dibawa arus deras. Nafasnya kian pendek dan tubuhnya semakin lemah dibaham air sungai yang sejuk seperti air batu. Dia cuba berenang ke tebing, namun pergerakannya dibatasi oleh air yang menderu.
            Sesekali kepala Jal terjunam ke dalam air. Dia mendapati sungai itu cetek sahaja, hanya sedalam lebih kurang satu meter setengah. Namun, air yang deras membuatkan dia tidak dapat berpijak pada dasar sungai.
            Tiba-tiba, dia ternampak tali yang tebal tergantung merentasi sungai itu. Sebaik sahaja tiba di hadapan tali itu, dia segera mencapainya menggunakan kedua-dua tangan. Dia cuba menstabilkan diri dan berpijak pada dasar sungai. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya berdiri sambil bergayut pada tali. Perlahan-lahan, dia berjalan menuju ke tebing.
            “Alhamdulillah…. Aku… aku selamat. Aku sangka aku akan mati tadi,” ujar Jal yang terbaring di atas tebing. Nafasnya tercungap-cungap dan badannya menggigil. Disebabkan tidak dapat menahan kesejukan, dia bangun lalu membuka baju, seluar dan kasutnya yang basah kuyup. Dia memerah pakaiannya hingga titisan air terakhir dan menghamparkannya di atas batu besar. Dalam keadaan berlengeng, dia duduk di celah batuan sambil memeluk lutut. Matanya tertancap pada tali yang menyelamatkannya tadi.
            “Nasib baik ada tali itu. Tetapi, itu tali apa?” Persoalan itu bermain dalam mindanya, namun akhirnya dia buntu.
            Tubuhnya yang letih dan bunyi deruan air sungai membuatkan matanya semakin lama semakin berat. Perlahan-lahan, kepalanya terlentok pada batu lalu dia terlena.


Jal membuka matanya yang kelat. Telinganya terus sahaja menangkap bunyi deruan air sungai. Dia mengangkat kepala dan menoleh ke kiri dan kanan. “Rupa-rupanya aku bukan bermimpi,” ujarnya sambil menghela nafas panjang.
            Perlahan-lahan dia bangun. Wajahnya menyengir tatkala tubuhnya terasa sengal dan lenguh. Dia berjalan terhincut-hincut ke arah baju, seluar dan kasutnya yang sudah kering. Segera dia menyarung semula pakaiannya.
            “Sekarang, aku perlu cari jalan keluar….” Pantas Jal menyusun langkah dan menyusuri tebing mengikut arah arus sungai.
            Selepas hampir setengah jam berjalan, dia tidak menemui apa-apa. Di sebelah kirinya masih lagi sungai, dan di sebelah kanannya pula dinding batu. Perutnya sejak tadi berbunyi minta diisi sesuatu.
            Tiba-tiba dia ternampak sebuah pintu gua, saiznya hampir sama dengan pintu rumah. Dia menjengahkan kepalanya ke dalam gua itu. Matanya membulat. “Tempat apa ini?”
            Jal memasuki gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling. “Tempat ini seperti pernah didiami manusia. Ia… seperti markas rahsia.”
            Mata Jal tertangkap pada pintu kayu yang terletak di hujung gua. Dia berjalan hingga tiba di hadapan pintu itu. Pada pintu itu ada ukiran besar berbentuk ‘x’.
“Rasanya ukiran ini dihasilkan dengan pisau. Tetapi... apa maksud ‘x’? Adakah bermakna, dilarang masuk?” gumamnya sendirian.
            Jal cuba menolak pintu itu. Ia langsung tidak bergerak. Kemudian dia mengumpul kekuatan dan menolaknya dengan seluruh kudrat, hingga pintu itu mula bergerak sedikit demi sedikit. Akhirnya, ia terbuka.
            Jal masuk ke dalam bilik itu. Di dalamnya ada sebuah pelantar batu yang aneh dan juga sebuah lukisan lama yang tergantung pada dinding. Dia mendekati lukisan itu. Dahinya berkerut. “Lukisan apa ini? Anehnya….”
            Jal menghampiri pelantar batu yang besar berdekatan lukisan tadi. Di atas pelantar itu, ada sepuluh lubang berupa mangkuk kecil. Di tepi pelantar pula ada sebuah lubang besar, yang di dalamnya ada banyak batu kecil seperti guli. “Ini apa pula? Seperti congkak yang diperbuat daripada batu....”
            Jal mengambil beberapa biji batu kecil dan masukkannya ke dalam lubang pada pelantar. Dia melakukan perkara sama kepada lubang yang lain. Sebaik sahaja dia selesai memasukkan batu kecil ke dalam lubang terakhir, tiba-tiba dia terdengar bunyi dari siling.
            Tak!
            Dia mendongak. Matanya membuntang apabila melihat seekor ular jatuh dari siling dan menjunam ke arahnya. Jal segera mengelak. Ular itu jatuh terjelepuk di atas tanah. Sebaik sahaja ular itu terpandang Jal, ia menaikkan kepalanya tinggi-tinggi.
            “Ular... ular tedung selar! Panjangnya sekurang-kurangnya lima meter!” teriak Jal dalam hati. Peluh nipis membasahi dahinya. Kakinya lemah dan menggeletar. Dia segera mengingat semula fakta yang dibacanya dari ensiklopedia. “Ular tedung selar, mampu membesar hingga enam meter. Jarak serangannya adalah dua meter. Sekiranya aku dipatuk dan tidak dirawat... aku akan mati dalam masa setengah jam!”
            Huff! Huff! Ular itu masih membidik Jal sambil menghembus nafas.
            Jal menganggar jarak di antara dia dan ular itu. Dia mengetap bibir. Hatinya berdetik, “Tidak sampai dua meter. Aku berada dalam lingkungan jarak serangannya. Bila-bila masa sahaja ia boleh serang dan patuk aku.”
            Perlahan-lahan, Jal mengangkat kaki kanan.
Hisss! Tiba-tiba, ular itu berdesir lantang sambil menyeringai, menunjukkan taringnya yang tajam dan panjang.
Jal meletakkan kakinya semula. “Sekiranya aku bergerak ke belakang seinci pun, ia akan menyerang aku.”
Ular itu kembali tenang, namun ia masih memandang Jal.
Jal menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Hatinya berkata, “Baiklah.... Sekiranya itu yang kau mahu, mari kita berlawan mata!” Jal memandang tepat ke mata ular itu tanpa sedikit pun menggerakkan badan. Ular itu berbuat perkara sama.
Dua minit terasa sangat lama. Tubuh dan wajah Jal dibasahi peluh jantan. Di dalam bilik itu, hanya kedengaran bunyi nafas Jal dan ular itu. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah.
Seminit kemudian, tiba-tiba sahaja ular itu merendahkan badan dan menyusur ke arah pintu. Dengan ekor mata, Jal memerhatikan ia keluar dari bilik. Sebaik sahaja ular itu menghilang, Jal terus terduduk. “Bahayanya! Aduh.... Hampir-hampir jantung aku terkeluar!”
Jal mendongak. Ada garisan berbentuk segi empat pada siling. Dia meneka, “Rasanya ular tadi keluar dari situ.”. Kemudian, dia memandang pula ke arah pelantar. “Ada kaitankah dengan batu kecil yang aku masukkan tadi?”
Usai mengumpul semula kekuatan, Jal bangun dan berdiri. Tiba-tiba, dia terdengar satu suara. Segera dia berlari keluar dari gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling, bagi memastikan ular tadi tiada berdekatannya.
Jal keluar dari pintu gua dan tiba di hadapan sungai. Suara yang dia dengar tadi menjadi lebih jelas.
“Jal! Jal! Kau di mana?”
“Hei! Aku di bawah sini! Hei, dengar ataupun tidak!” Jal menyahut sekuat hati.
Setengah jam kemudian, tali lembut dijatuhkan berhampirannya. Jal menghela nafas lega. Dia tahu, dia sudah terselamat.


Jal menghempas tubuhnya ke atas katil. Nikmat. Tiada katil yang lebih selesa daripada katilnya sendiri. Matanya tertancap pada siling sambil mindanya memainkan semula rakaman memori bagi semua kejadian yang berlaku tadi. Dalam masa tidak sampai beberapa jam, dua kali nyawanya terancam. Namun kini, dia sedang berbaring di atas katilnya yang selesa. “Alhamdulillah, syukur. Aku masih lagi diberikan peluang bernafas.”
            Tiba-tiba, dia teringat sesuatu. Segera dia mencapai iPad dari bawah bantal dan membuka aplikasi pelayar Internet. Kemudian, dia masukkan kata kunci ke dalam kotak carian. Sebaik sahaja keputusan carian keluar, matanya membulat. Dia membaca beberapa artikel dengan penuh khusyuk.
“Adakah ini benar?” gumam Jal dengan wajah tidak percaya.
Selama beberapa jam, mata Jal tertancap pada iPad, dan sesekali tangannya pantas menekan papan kekunci maya.
            “Aku perlu beritahu papa fasal perkara ini sekarang juga!” ujar Jal sebelum dia capai kunci kereta dan meluru keluar dari rumah banglo lima tingkat miliknya.
Di pekarangan rumah, tersusun beberapa kereta sport. Jal menekan butang pada kunci kereta, serta-merta enjin sebuah Lamborghini dihidupkan. Dia masuk ke dalam kereta dan menanti pintu pagar automatik terbuka sepenuhnya. Kereta berwarna merah darah itu dipandu keluar dari pekarangan. Tidak sampai sesaat, ia menderu laju di atas jalan raya.


Ting! Tong!
“Siapa?” tanya satu suara garau daripada mesin interkom yang terletak di atas butang loceng rumah.
“Saya Jal. Saya mahu jumpa papa sebentar. Ada perkara penting.”
“Sebentar,” sahut suara itu.
Seketika kemudian, pintu pagar besi setinggi tiga meter terbuka. Sambil membimbit iPad, Jal melangkah pantas memasuki pekarangan rumah banglo tujuh tingkat milik keluarganya.
            Jal masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki berusia lima puluhan datang menghampiri Jal dengan wajah manis lalu berkata, “Sebentar lagi Dato’ Seri akan turun. Tuan muda duduk sebentar, ya. Saya akan hidangkan air minuman.”
            Jal mengangguk. Dia duduk bersandar di sofa, meregangkan otot dan sendinya yang masih terasa sengal dan pedih. Udara nyaman daripada pendingin hawa membuatkan dia terasa seperti mahu tidur. Namun, dia masih ada misi yang belum selesai.
            “Ada apa kamu datang malam buta begini? Bukankah papa suruh kamu berehat sahaja di rumah kamu?” ujar seorang lelaki berambut sedikit yang sedang menuruni tangga elips.
            Jal segera bangun dari sofa. “Maaf kerana mengganggu pada waktu begini. Saya ada perkara mahu bincangkan dengan papa.”
            “Apa hal yang penting sangat hingga tidak boleh tunggu esok?” tanya Dato’ Seri Wazir sebelum dia duduk di atas sofa.
            “Saya mahu tunjukkan penemuan saya kepada papa.” Jal segera duduk di sebelah ayahnya dan menunjukkan paparan pada iPad. “Saya terjumpa sesuatu.... Sesuatu yang pasti mampu menarik minat papa.”
            Dato’ Seri Wazir memandang skrin iPad dengan wajah tidak berminat. Namun seminit kemudian, wajahnya serta-merta berubah. Bibirnya yang hitam tersenyum, dan matanya yang kuyu bersinar galak. “Benarkah semua yang kamu tunjukkan ini?” Dato’ Seri Wazir mahu kepastian.
            Jal segera mengangguk. “Benar, papa!”
            Dato’ Seri Wazir tertawa kecil. “Bagus, bagus! Jangan biarkan ‘benda’ itu terlepas ke tangan orang lain. Pastikan ia jadi milik kita. Sekiranya kamu perlukan wang, cakap sahaja kepada papa. Lima juta, sepuluh juta? Papa akan berikan kepada kamu, asalkan kita dapat ‘benda’ itu.”
            “Baik, papa!” sahut Jal sambil tersenyum lebar. Hilang semua penat dan sengal pada tubuhnya. 

TAMAT BAB 1

No comments: