Friday, 21 September 2012

Entri 12: Kisah Seorang 'Mediocre'

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pada saat entri ini ditulis, tinggal 45 hari sahaja lagi sebelum menjelangnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM. Ujian paling penting bagi semua pelajar sekolah. Ujian yang sedikit-sebanyak menentukan hala tuju pelajar selepas tamatnya alam persekolahan.

11 tahun lalu, saya berada di dalam kasut para pelajar yang bakal menghadapi SPM tahun ini. Izinkan saya berkongsi pengalaman yang saya lalui pada waktu lebih sedekad lalu. Pengalaman yang saya rasakan dapat berikan setitis inspirasi dan motivasi kepada yang membaca.

Semoga bermanfaat.

Dahulu, saya tidak tergolong dalam pelajar cemerlang. Sewaktu saya tingkatan 4 dan 5, saya menganggap diri saya sebagai pelajar yang hanya suam-suam kuku. Malah, pernah sekali guru bahasa Inggeris menggelar saya mediocre.

Sebabnya?

Saya tidak belajar. Saya lebih tumpukan perhatian saya ke arah perkara-perkara lain; game, komik, tarian breakdance dan lain-lain. Akibatnya, saya menjadi pelajar sederhana, seperti yang dikatakan guru bahasa Inggeris saya. Sekiranya saya tidak hadir ke sekolah pun, tentu guru-guru dan rakan-rakan tidak perasan.

Saya berperlakuan begitu hinggalah selepas tamat peperiksaan percubaan. Dalam peperiksaan percubaan saya, saya hanya mendapat sedikit A, beberapa C dan 2 E! Kedua-dua subjek yang saya dapat E itu, markahnya hanya 40. Cukup-cukup makan untuk lulus.

Pada waktu itu, lebih kurang sebulan lagi peperiksaan SPM akan bermula. Keputusan yang teruk itu telah memberikan impak kepada saya. Saya rasa seolah-olah pipi saya ditampar bertubi-tubi sambil dijeritkan ke telinga saya, "Bangun! Bangun! Jangan tidur lagi!"

Tiba-tiba sahaja mata dan minda saya terbuka luas. Hati saya pula berteriak, "SPM lebih kurang sebulan sahaja lagi! Apa yang aku sedang lakukan?!"

Sejak itu, saya mula belajar.

Ya, saya hanya mula belajar selepas peperiksaan percubaan. Pada waktu itu jugalah, barulah hati saya terbuka bagi membeli buku-buku rujukan. Hinggakan pak cik saya berseloroh kepada saya, "SPM sudah benar-benar hampir, baru kamu mahu beli buku?" Saya sekadar tersenyum. :)

Saya tidak mempedulikan kata-kata sesiapa. Keazaman sudah tertaut kukuh dalam jiwa saya. Saya sudah bertekad, saya mahu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun masa yang tinggal sangat sedikit. Saya tidak melepaskan sebarang harapan.

Tempoh masa yang sedikit antara percubaan dan SPM sebenar, saya isikan dengan waktu belajar yang berkualiti:

  • Saya menghafal (secara harfiah) buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5.
  • Saya buat nota yang berwarna-warni untuk subjek Kimia.
  • Saya menghabiskan beberapa buah buku latihan Matematik Tambahan.
  • Saya berguru dengan seorang pakar Fizik, pada waktu rehat setiap hari.
  • Buku rujukan yang baru saya beli, sudah menjadi lunyai disebabkan saya membeleknya setiap masa.
  • Saya tumpukan perhatian kepada subjek-subjek yang saya lemah. Subjek yang saya mahir, saya tinggalkan dahulu.
Dugaannya sangat besar, tetapi saya berjaya mengatasinya. Pada masa seluruh ahli keluarga sedang menonton televisyen dengan gembira, saya duduk bersendirian di balkoni sambil menghafal nota. Namun, saya abaikan perasaan terpinggir. Saya tahu, sebulan terakhir ini sangat penting kepada diri saya.

Sejak peperiksaan percubaan, saya belajar dengan sepenuh tumpuan secara konsisten setiap hari hinggalah tibanya hari pertama SPM.

Alhamdulillah, buat kali pertamanya, saya berasa begitu yakin menjawab soalan. Selepas menjawab paper terakhir, saya keluar dari dewan dengan perasaan yakin dan puas.

Beberapa bulan kemudian, keputusan SPM keluar. Saya masih ingat, sayalah orang pertama di dalam kelas itu yang mengambil slip keputusan. Dan, guru yang memberikan slip keputusan adalah guru sama yang menggelar saya mediocre.

Saya mendapat 9A dan 1B.

Kedua-dua subjek yang saya dapat E dalam percubaan, saya dapat A dalam SPM. Dengan keputusan itu, saya menjadi pelajar terbaik jurusan Awam dan menerima Anugerah Sime Darby bagi subjek Matematik Tambahan.

Syukur, syukur.

Adik-adik yang dihormati, tiada istilah terlambat. Pelajar yang mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan percubaan SPM tidak sepatutnya mengalah terlalu awal. Selagi ada masa, selagi itulah ada peluang untuk mengubah keputusan, daripada G kepada A. Daripada gagal kepada cemerlang.

Teruskan berusaha hingga detik terakhir sebelum peperiksaan bermula. Pada masa kita menyerah kalah, pada saat itu sebenarnya kita sudah kalah.

Selamat berusaha kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan. Semoga usaha kita semua diredai oleh Allah Yang Maha Mengasihani.

Wassalam.

14 comments:

Miss Sn'a said...

terima kasih sebab kongsi pengalaman. => nak ubah result jugak.. thanks bro =>

Hasif aSivt said...

Keadaan kita lebih kurang sama... Apa yang saya sedang buat sekarang... TIDAK MENGAKU KALAH!!!

izhuan manaff said...

Pengalaman yg boleh dibuat panduan oleh adik2 kita yg bakal menghadapi exam2 penting tak lama lagi...mohon share ye saudara Nazry? terima kasih....

Selo said...

Like

Prince of Noob said...

satu inspirasi yg sangat baik buat adik2 yg tengah amik spm... datang dari blog nazha anua kartunster... done follow u - Noob

production of Dimethyl Ether said...

err, kalau boleh jgn terapkan sgt kepercayaan ''study last minute is better'' tu...........nnti adik2 tu terikut2 study last minute mcm abg nazry.............sy sndiiri x penah study last minute, sentiasa start study dari awal tahun lg.....nnti dh dekat SPM xdelah kelam kabut sgt

Nazry Salam said...

Terima kasih atas semua komen yang diberikan! :)

Saudara Ameruddin, bukannya terapkan. Sekadar berkongsi pandangan. Terpulang kepada pembaca bagi menilainya. :)

eddy said...

Assalam abang nazry..mcam ni..saya masih tk dpat nak blajar dengan baik..spm lagi 2 minggu ja..saya ambik subjek sc tulen...percubaan saya 5B 2C 2G(add maths dan kimia)..boleh abng nazry bagi tips abang belajar..dan mcm mana saya nk sedar betul2..rsa mcm tak insaf2 lagi..

Anonymous said...

Saya menghadapi dugaan dan keadaan yang sama.. saya calon spm '15..baru2 ni saya dapat result mid year exam,mmg sgt down sbb result menurun kerana terlalu leka melayan hiburan yg ntah apa2..saya tekad untuk mendapat result yg cemerlang dlm trial dan spm nanti..

zakuansart GamingLol said...

Saya selalu tidak puas hati dgn mendapat C dlm bi. Insyaallah cube yg terbaik untuk dpt A

zakuansart GamingLol said...

Saya selalu tidak puas hati dgn mendapat C dlm bi. Insyaallah cube yg terbaik untuk dpt A

zakuansart GamingLol said...

Saya selalu tidak puas hati dgn mendapat C dlm bi. Insyaallah cube yg terbaik untuk dpt A

Nurul Rabiah said...
This comment has been removed by the author.
hunterwar 89 said...

Mohon share di page fb saya Ulat Buku Online