Thursday, 24 January 2013

Entri 14: Gred tidak penting?

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap kali tiba musim peperiksaan, seringkali saya terdengar suara-suara sumbang berkata begini:

"Jangan risau. Gred tidak penting."
"Tidak perlu dikejar A. Yang penting ilmu."
"Tiada A pun boleh berjaya juga."
"Ah, peperiksaan tidak penting!"

Mereka yang sering luahkan kata-kata seperti di atas, kebanyakannya sudah tinggalkan status sebagai pelajar. Mereka mahu tunjukkan dengan kata-kata, yang mereka mampu berjaya walaupun kurang cemerlang di sekolah ataupun universiti. Mereka mahu nyatakan, walaupun mereka tidak mendapat banyak A dalam peperiksaan, mereka masih mampu bekerja dan mendapat wang setiap bulan.

Klise.

Saya ada sebuah cerita. Cerita ini adalah kisah benar. Ia sedikit tragis, tetapi melambangkan satu hakikat yang ramai orang menafi tetapi masih menjadi realiti.

Cerita ini berkenaan seseorang yang saya kenali sejak kecil. Kami rapat sekali. Dia seorang yang bertubuh kecil, tetapi berhati dan berjiwa besar. Dia mahu menjadi doktor. Dalam keluarga dia, tiada yang mahu dan mampu menjadi doktor, tetapi dia mahu dan yakin mampu. Saya sukakan cita-cita dia itu, dan saya menyokong sepenuh hati.

Dia begitu berkaliber. Sejak dia menyatakan hasrat menjadi doktor, dia menunjukkan kecenderungan dan usaha untuk menjadi doktor. Antara yang saya masih ingat, dia begitu gemar menonton rancangan MedikTV di TV3. Ia adalah rancangan yang memaparkan kisah berkenaan perubatan dan doktor.

Sesudah tamat PMR, dia sanggup berpisah daripada keluarga dan pergi ke sekolah berasrama penuh yang jauh dari rumah. Dalam keluarga dia, dialah anak pertama yang terpilih memasuki sekolah berasrama penuh. Dia juga yang pertama sanggup berjauhan daripada keluarga semasa di bangku sekolah. Dia melakukan semua itu demi mengejar cita-cita dia. Menjadi seorang doktor.

Selama dua tahun, dia belajar dengan penuh tekun demi mempersiapkan diri menghadapi SPM. Tekad dan usaha dia lebih kuat daripada yang lain, namun tidak kepintaran dia. Keputusan peperiksaan percubaan yang dia perolehi, tidak begitu memberangsangkan. Ramai rakan-rakan dia layak mendapat tempat untuk pergi ke luar negara bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, namun dia tidak layak ke mana-mana.

Maka, dia bergantung hanya kepada SPM yang akan bermula tidak lama lagi.

Masa pantas berlalu. Dia menjawab setiap kertas SPM dengan penuh yakin. Sesudah tamat peperiksaan, dia kembali ke rumah dan menanti keputusan dengan penuh debaran. Keputusan itu bakal menentukan jalan ke arah cita-cita dia. Sama ada masih bersambungan, ataupun terputus di tengah-tengah.

Sesungguhnya, Allah mempunyai rancangan untuk setiap hamba-Nya.

Keputusan SPM dia hanya 9A dan 1B.

Hanya.... Ya, hanya. Kerana matlamat dia adalah menjadi doktor. Satu B itu sukar diterima oleh mana-mana institusi yang menawarkan pengajian perubatan bertauliah. Mendapat 9A 1B terlalu rendah daripada jangkaan dia. Dia kecewa, tetapi tidak lama. Dia masih mahu mencuba nasib dan rezeki.

Dia hantar permohonan kepada JPA. Dia mahu cuba mengikuti kursus perubatan di luar negara. Cuba. Dan, dia dipanggil temuduga serta lawatan ke hospital. Calon-calon lain, kebanyakannya mendapat 10, 11A, hanya dia berkeputusan 9A 1B. Namun, semasa lawatan, dialah satu-satunya calon yang mengangkat tangan bagi menawarkan diri menjadi ketua calon. Dia punya kaliber itu. Akan tetapi, disebabkan gred dia tidak cukup bagus, permohonan JPA dia gagal.

Dia hantar pula permohonan ke IPT dalam negara. Dia tidak mendapat tempat dalam sebarang kursus perubatan. Hanya begitu sahaja, cita-cita dia bagi menjadi doktor, musnah. Hanya kerana 1B mencemari keputusan SPM dia.

Hanya kerana satu gred itu.

Gred tidak penting? A tidak penting? Fikir semula. Mungkin ia tidak penting bagi sesetengah orang, tetapi ia begitu penting kepada orang lain. Orang yang punya cita-cita dan impian tertentu.


Hingga sekarang, kadang-kala, apabila saya lihat wajah dia, saya terbayang dia memakai kot berwarna putih, mengorbankan kudrat dan masa demi berjasa kepada manusia yang memerlukan. Kemudiannya saya tersedar, ia hanya harapan saya. Harapan dia. Harapan ibu dia.

Banyak perkara boleh disalahkan dalam situasi sebegini. Sistem pendidikan lebih-lebih lagi. Namun, sekadar menyalahkan, di mana signifikannya? Di mana sumbangannya? Apa yang boleh didapati daripada perbuatan menyalahkan?

Sistem pendidikan sekarang, memang sifatnya mementingkan gred dan bilangan A. Lebih-lebih lagi kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang mahu menjadi jurutera ataupun doktor, melainkan belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan seberapa banyak A dalam peperiksaan.

Begitulah sistemnya. Terima, ataupun hanyut.

Akhir kata, walau apa jua yang dia lakukan, saya doakan dia yang terbaik. Sekurang-kurangnya dia sudah berusaha ke arah impian dan cita-cita dia. Saya berharap, kata-kata dan pemikiran klise itu terlontar jauh dari mata dan telinga saya. Ya, gred mungkin tidak penting bagi anda, tetapi ia sangat penting bagi sekumpulan pelajar, yang mungkin sedang bersengkang mata mengulangkaji pelajaran sekarang ini.

Jangan rendahkan cita-cita dan impian mereka.

Sekian sahaja, wassalam.

5 comments:

Anonymous said...

what about matrikulasi and asasi?
still tak dapat 4.00?

nak buat medic walaupun kat ipt macam UiTM pun tak dapat jugak?

Isha Nur Shisha said...

xkanlah disebabkan satu B je buat die xboleh langsung ambik medic? kesian die. takziah. :(((

Anonymous said...

actually nak wat medic kene dpt straight A plus or memadai straight A spm je???

production of Dimethyl Ether said...

pd peendapat sy, klau 1B tu yg nak dikesalkan, bagaimana pula dgn 9A yg dia dpt tu............rugi la kerana sebahagian kecil usaha tak berjaya, sebahagian besar usaha yg lain pula dianggap tak berguna & mahu dibuang

dulu sy dpt 10A dlm SPM & beria-ia mahu sambung pengajian ke Jerman, tp permohonan x berjaya.......lama sy berfikir kenapa sy x dpt......sy ni x cukup pandai ke?? org lain yg ada 8A pula dpt tempat......adil ke mcm tu?

tp itu dulu....skrg ni, bila dh masuk UTM baru sy nmpk di mana kelemahan diri yg mnjadi punca sebenar permohonan sy tak berjaya.......

setiap kegagalan tu ada sebabnya, walaupun mngkin kita rasa kita dah cuba yg terbaik.........cuma kesilapan tu mngkin tak dpt dikesan dgn serta-merta, perlukan suatu tempoh masa utk kita akhirnya menyedari kata mana kesilapan kita tu (which part we make mistakes)

Nazry Salam said...

Anonymous: Ya, semuanya sudah diusahakan. :)

Isha: Terima kasih. Tidak mengapa, perancangan Allah Taala itu lebih baik. :)

Anonymous: Sebolehnya A+ semua subjek.

Saudara Ameruddin: Terima kasih atas perkongsian ini. Sama-sama kita berusaha.