Monday, 4 March 2013

Prabaca Istimewa: Misi Pertandingan Matematik (Bab 1)




Bab 1: Permainan

Sekumpulan penjelajah terdiri daripada lima lelaki dewasa sedang menyusuri laluan curam di sebuah gua. Di belakang mereka tergantung beg galas yang mampu memuatkan kanak-kanak berusia sepuluh tahun.
            “Hei, mahu teruskan lagi? Sudah sejam kita berjalan, tetapi tiada penghujung. Hari semakin gelap,” ujar Halim Unan yang berkaca mata dan berwajah skema. Nada suaranya kedengaran resah.
            “Jadi?” soal Jal. Rambutnya panjang hingga bahu dan dia berjalan paling hadapan.
            “Rasanya, Halim takut....” Moktar mencelah. Dia terkenal dengan mulutnya yang seperti tempayan pecah, tidak padan dengan tubuhnya yang hanya setinggi 160 sentimeter.
            “Sekiranya aku takut, aku tidak akan sertai ekspidisi ini.” Halim menafi.
            Tidak semena-mena, Zairi menyanyi dengan suara garau dan lantang. “Semarak impian, segunung harap dipulang, usahlah diragukan keupayaan sendiri….” Bergema seluruh gua itu oleh nyanyiannya.
            “Apa motif kau nyanyi lagu XPDC, Semangat Yang Hilang?” tanya Maliq yang berjalan paling belakang.
            Zairi menjawab, “Tiada motif. Sekadar mahu beri peringatan kepada rakan yang semakin hilang semangatnya.”
            Halim terdiam. Dia tahu kata-kata Zairi ditujukan kepadanya. Wajahnya mengetat.
            “Kau semakin lemah selepas berkahwin,” ujar Jal kepada Halim.
            “Aku bukan lemah. Cuma aku sentiasa fikirkan fasal isteri dan anak aku setiap kali aku lakukan sesuatu. Bukan seperti kau semua, spesis forever alone yang boleh sesuka hati buat kerja gila tanpa ada orang risau.” Tajam kata-kata Halim.
            Jal, Moktar, Zairi dan Maliq tersentap apabila status bujang mereka dipermainkan. Istilah forever alone seumpama taboo kepada mereka!
            “Kau jangan berlagak!” sahut Maliq. “Aku akan cari isteri yang lebih cantik daripada isteri kau. Sekurang-kurangnya, persis Rozita Che’ Wan semasa muda. Fuh!”
            Halim tersengih. “Apa-apa sahaja. Tetapi, aku mahu beri nasihat kepada kau semua. Janganlah pilih isteri kerana kecantikan rupa semata-mata. Pilihlah kerana kecantikan iman, hati dan pekerti. Tidak guna juga sekiranya wajah isteri seperti artis, tetapi tidak pandai jaga suami.”
            Moktar mencelah, “Maliq ada hati mahu cari isteri seperti artis. Walhal, wajah sendiri macam….”
            Belum sempat habis bercakap, Maliq memotong, “Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, buruk mulut tempayan kau nanti aku tumbuk.”
            Moktar mencebik kepada Maliq yang sedang menunjukkan buku lima.
            Jal yang sejak tadi membisu akhirnya bersuara, “Sekiranya perkahwinan menghalang aku lakukan aktiviti lasak yang tidak boleh aku tinggalkan, aku rela membujang seumur hidup.”
            Halim tersenyum dan berkata, “Ingat sedikit, kawan. Kita hanya manusia lemah. Sebagus mana pun rancangan yang kau bikin, langsung tidak boleh lawan rancangan yang Tuhan bikin. Sekiranya Dia mahu kau jatuh cinta pada hari ini, maka jatuh cintalah kau!”
            Tiba-tiba, suara garau Zairi sekali lagi berkumandang, “Love hurts… Love scars… Love wounds... and marks....”
            “Lagu Love Hurts nyanyian Nazareth pula,” ujar Maliq.
            Jal menoleh ke wajah Halim tanpa kakinya berhenti melangkah, “Sekiranya aku berkahwin, pasti isteri aku tidak benarkan aku bermain bungee jumping ataupun panjat gunung. Sekiranya dia benarkan pun, pasti aku sudah tiada masa. Sebab itulah aku tidak mahu berkahwin, kau tahu? Aku tidak mahu korbankan passion aku, jiwa aku! Sekiranya aku jatuh cinta pun, aku berharap wanita itu seperti aku juga. Adventurous dan berani! Boleh kami lakukan aktiviti ekstrim bersama-sama.”
            Halim tersengih. Dia gelihati mendengar kenyataan Jal. “Ya, ya. Aku faham perasaan kau, dan aku doakan….” Belum sempat kata-katanya dihabiskan, mata Halim membuntang lalu segera dia menjerit, “Jal, lihat hadapan!”
            Jal segera menoleh ke hadapan. Dia terkejut besar apabila mendapati di hadapannya ada jurang yang sangat dalam, dan di dasar jurang itu ada sungai yang mengalir deras. Dia sudah berhenti melangkah, namun dia hilang keseimbangan badan. Ketika dia hampir terjatuh ke dalam jurang, Halim sempat memegang beg galas dia dan menariknya.
            “Nasib baik aku perasan ada jurang di hadapan kau,” ujar Halim sambil bertinggung. Wajahnya pucat lesi dan dahinya dipenuhi peluh jantan.
            Jal terduduk. Perasaan gayat masih menyelubungi diri. Nafasnya laju dan bibirnya memutih. Perlahan-lahan dia mendongak. Maliq, Zairi dan Moktar sedang memandangnya dengan wajah risau. Tiba-tiba Jal tertawa kecil lalu berkata dengan angkuh, “Rilekslah, kawan-kawan. Jangan risau sangat. Bungee jumping lebih teruk daripada terjatuh ke dalam jurang itu.
            Maliq bersuara, “Bungee jumping ada tali keselamatan. Sekiranya kau terjatuh ke dalam jurang itu, aku yakin kau tidak selamat. Kau tahu betapa derasnya sungai yang mengalir di dasarnya?”
            Halim berdiri dan berkata, “Nampaknya pengembaraan kita berakhir di sini. Marilah kita pulang.”
            Maliq, Zairi dan Moktar mengangguk.
            “Nanti, nanti,” ujar Jal sambil bangun dan berdiri. “Sudah mahu pulang? Hei, cuba lihat. Kita boleh lompat jurang itu dan pergi ke seberang. Sudah alang-alang kita tiba di sini, kau semua mahu pulang? Rilekslah. Tadi aku hanya cuai. Janganlah disebabkan aku hampir terjatuh, kau semua terus mahu pulang ke rumah.”
            Moktar melemparkan pandangan ke arah jurang yang terletak beberapa meter dari mereka. Keningnya terangkat. “Kau mahu kita semua lompat jurang itu? Kau gila! Jaraknya lebih kurang lapan meter. Kurang satu meter sahaja daripada rekod lompat jauh Carl Lewis!”
            “Ya, aku memang gila.” Jal meletakkan beg galasnya ke bawah. Kemudian, dia berjalan menjauhi tebing jurang beberapa meter bagi mengambil momentum, dan bersedia berlari.
            Rakan-rakannya mulai risau melihat tingkah-laku Jal.
            Halim cuba memujuk, “Jal, walaupun kau tiada anak dan isteri, namun cuba fikirkan fasal ibu dan ayah kau. Kau tidak kasihan kepada mereka, sekiranya terjadi apa-apa kepada kau?”
            Jal membisu. Dia membidik jurang yang tidak jauh di hadapannya.
            Maliq pula cuba memujuk, “Hei, apa yang akan kami jawab kepada Dato’ Seri sekiranya berlaku sesuatu kepada kau?”
            Jal menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dia berkata dengan penuh yakin, “Jangan risaukan aku. Selepas aku tiba di seberang sana, campakkan beg kepada aku.”
            Jal berlari sekuat hati ke arah jurang. Bunyi tapak kakinya bergema di seluruh gua.
            “Jal! Jangan buat kerja gila!” teriak Moktar.
            Zairi bernyanyi dengan lantang, “I believe I can fly…. I believe I can touch the sky…. I think about it every night dan day…. Spread my wings and fly away….”
            Yargh! Jal menjerit sekuat hati dan melompat ke atas jurang. Sambil nyanyian Zairi berkumandang, Jal terapung di udara sambil menggerakkan tangan dan kakinya. Halim, Maliq dan Moktar memandang erat tubuh Jal yang semakin mengecil, diiringi doa dalam hati supaya lompatan Jal berjaya. Zairi pula sedang menutup mata sambil menyanyikan lagu I Believe I Can Fly dendangan R. Kelly dengan penuh penghayatan.
            “Alamak, tidak mungkin aku boleh sampai ke seberang!” teriak hati Jal dengan seribu penyesalan kerana bertindak tanpa pertimbangan rasional. Dia cuba berkuak seperti sedang berenang, dengan harapan supaya dia berjaya tiba di tebing. Namun, daya graviti terus menariknya ke bawah tanpa belas kasihan. Semakin lama, tebing yang menjadi sasarannya semakin jauh, jauh dan menjauh.
Jal terjunam ke dasar jurang dengan kelajuan hampir sepuluh meter per saat.
            Kecebur!
            Halim, Maliq, Zairi dan Moktar hanya mampu memandang susuk Jal dibawa arus sungai yang deras. Wajah masing-masing buntu dan muram.
            “Pasti kita akan dimarahi Dato’ Seri….” Maliq berkata lesu.
            Moktar menggeleng berkali-kali. “Kita sudah beri nasihat,  namun dia tidak mahu dengar. Dia sangka dia siapa? Carl Lewis? Usain Bolt? Sesuka hati sahaja mahu lompat jurang selebar ini. Dia sangka ini longkang? Aduh.... Dia anggap hidupnya adalah permainan.”
            Halim bersuara, “Sudah, sudah. Tidak elok bercakap fasal orang yang sudah tiada. Mari kita keluar dari gua ini dan laporkan kepada polis... dan keluarga Jal.”
            Sejurus itu, Halim berpaling dan beredar dari situ, sambil diekori oleh Maliq dan Moktar.
            “Hei, kau tidak mahu pulang?” Moktar memanggil Zairi yang masih tercegat memandang sungai di bawah kakinya.
            Zairi bergumam perlahan, “Kuasa lagu pun tidak mampu selamatkan kau….” Dia menggeleng kecil dan berpaling.
            Mereka berempat berjalan secara beriringan menghala ke pintu gua.


Glup! Glup! Glup! "Tolong…." Glup!
            Jal tenggelam timbul dibawa arus deras. Nafasnya kian pendek dan tubuhnya semakin lemah dibaham air sungai yang sejuk seperti air batu. Dia cuba berenang ke tebing, namun pergerakannya dibatasi oleh air yang menderu.
            Sesekali kepala Jal terjunam ke dalam air. Dia mendapati sungai itu cetek sahaja, hanya sedalam lebih kurang satu meter setengah. Namun, air yang deras membuatkan dia tidak dapat berpijak pada dasar sungai.
            Tiba-tiba, dia ternampak tali yang tebal tergantung merentasi sungai itu. Sebaik sahaja tiba di hadapan tali itu, dia segera mencapainya menggunakan kedua-dua tangan. Dia cuba menstabilkan diri dan berpijak pada dasar sungai. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya berdiri sambil bergayut pada tali. Perlahan-lahan, dia berjalan menuju ke tebing.
            “Alhamdulillah…. Aku… aku selamat. Aku sangka aku akan mati tadi,” ujar Jal yang terbaring di atas tebing. Nafasnya tercungap-cungap dan badannya menggigil. Disebabkan tidak dapat menahan kesejukan, dia bangun lalu membuka baju, seluar dan kasutnya yang basah kuyup. Dia memerah pakaiannya hingga titisan air terakhir dan menghamparkannya di atas batu besar. Dalam keadaan berlengeng, dia duduk di celah batuan sambil memeluk lutut. Matanya tertancap pada tali yang menyelamatkannya tadi.
            “Nasib baik ada tali itu. Tetapi, itu tali apa?” Persoalan itu bermain dalam mindanya, namun akhirnya dia buntu.
            Tubuhnya yang letih dan bunyi deruan air sungai membuatkan matanya semakin lama semakin berat. Perlahan-lahan, kepalanya terlentok pada batu lalu dia terlena.


Jal membuka matanya yang kelat. Telinganya terus sahaja menangkap bunyi deruan air sungai. Dia mengangkat kepala dan menoleh ke kiri dan kanan. “Rupa-rupanya aku bukan bermimpi,” ujarnya sambil menghela nafas panjang.
            Perlahan-lahan dia bangun. Wajahnya menyengir tatkala tubuhnya terasa sengal dan lenguh. Dia berjalan terhincut-hincut ke arah baju, seluar dan kasutnya yang sudah kering. Segera dia menyarung semula pakaiannya.
            “Sekarang, aku perlu cari jalan keluar….” Pantas Jal menyusun langkah dan menyusuri tebing mengikut arah arus sungai.
            Selepas hampir setengah jam berjalan, dia tidak menemui apa-apa. Di sebelah kirinya masih lagi sungai, dan di sebelah kanannya pula dinding batu. Perutnya sejak tadi berbunyi minta diisi sesuatu.
            Tiba-tiba dia ternampak sebuah pintu gua, saiznya hampir sama dengan pintu rumah. Dia menjengahkan kepalanya ke dalam gua itu. Matanya membulat. “Tempat apa ini?”
            Jal memasuki gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling. “Tempat ini seperti pernah didiami manusia. Ia… seperti markas rahsia.”
            Mata Jal tertangkap pada pintu kayu yang terletak di hujung gua. Dia berjalan hingga tiba di hadapan pintu itu. Pada pintu itu ada ukiran besar berbentuk ‘x’.
“Rasanya ukiran ini dihasilkan dengan pisau. Tetapi... apa maksud ‘x’? Adakah bermakna, dilarang masuk?” gumamnya sendirian.
            Jal cuba menolak pintu itu. Ia langsung tidak bergerak. Kemudian dia mengumpul kekuatan dan menolaknya dengan seluruh kudrat, hingga pintu itu mula bergerak sedikit demi sedikit. Akhirnya, ia terbuka.
            Jal masuk ke dalam bilik itu. Di dalamnya ada sebuah pelantar batu yang aneh dan juga sebuah lukisan lama yang tergantung pada dinding. Dia mendekati lukisan itu. Dahinya berkerut. “Lukisan apa ini? Anehnya….”
            Jal menghampiri pelantar batu yang besar berdekatan lukisan tadi. Di atas pelantar itu, ada sepuluh lubang berupa mangkuk kecil. Di tepi pelantar pula ada sebuah lubang besar, yang di dalamnya ada banyak batu kecil seperti guli. “Ini apa pula? Seperti congkak yang diperbuat daripada batu....”
            Jal mengambil beberapa biji batu kecil dan masukkannya ke dalam lubang pada pelantar. Dia melakukan perkara sama kepada lubang yang lain. Sebaik sahaja dia selesai memasukkan batu kecil ke dalam lubang terakhir, tiba-tiba dia terdengar bunyi dari siling.
            Tak!
            Dia mendongak. Matanya membuntang apabila melihat seekor ular jatuh dari siling dan menjunam ke arahnya. Jal segera mengelak. Ular itu jatuh terjelepuk di atas tanah. Sebaik sahaja ular itu terpandang Jal, ia menaikkan kepalanya tinggi-tinggi.
            “Ular... ular tedung selar! Panjangnya sekurang-kurangnya lima meter!” teriak Jal dalam hati. Peluh nipis membasahi dahinya. Kakinya lemah dan menggeletar. Dia segera mengingat semula fakta yang dibacanya dari ensiklopedia. “Ular tedung selar, mampu membesar hingga enam meter. Jarak serangannya adalah dua meter. Sekiranya aku dipatuk dan tidak dirawat... aku akan mati dalam masa setengah jam!”
            Huff! Huff! Ular itu masih membidik Jal sambil menghembus nafas.
            Jal menganggar jarak di antara dia dan ular itu. Dia mengetap bibir. Hatinya berdetik, “Tidak sampai dua meter. Aku berada dalam lingkungan jarak serangannya. Bila-bila masa sahaja ia boleh serang dan patuk aku.”
            Perlahan-lahan, Jal mengangkat kaki kanan.
Hisss! Tiba-tiba, ular itu berdesir lantang sambil menyeringai, menunjukkan taringnya yang tajam dan panjang.
Jal meletakkan kakinya semula. “Sekiranya aku bergerak ke belakang seinci pun, ia akan menyerang aku.”
Ular itu kembali tenang, namun ia masih memandang Jal.
Jal menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Hatinya berkata, “Baiklah.... Sekiranya itu yang kau mahu, mari kita berlawan mata!” Jal memandang tepat ke mata ular itu tanpa sedikit pun menggerakkan badan. Ular itu berbuat perkara sama.
Dua minit terasa sangat lama. Tubuh dan wajah Jal dibasahi peluh jantan. Di dalam bilik itu, hanya kedengaran bunyi nafas Jal dan ular itu. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah.
Seminit kemudian, tiba-tiba sahaja ular itu merendahkan badan dan menyusur ke arah pintu. Dengan ekor mata, Jal memerhatikan ia keluar dari bilik. Sebaik sahaja ular itu menghilang, Jal terus terduduk. “Bahayanya! Aduh.... Hampir-hampir jantung aku terkeluar!”
Jal mendongak. Ada garisan berbentuk segi empat pada siling. Dia meneka, “Rasanya ular tadi keluar dari situ.”. Kemudian, dia memandang pula ke arah pelantar. “Ada kaitankah dengan batu kecil yang aku masukkan tadi?”
Usai mengumpul semula kekuatan, Jal bangun dan berdiri. Tiba-tiba, dia terdengar satu suara. Segera dia berlari keluar dari gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling, bagi memastikan ular tadi tiada berdekatannya.
Jal keluar dari pintu gua dan tiba di hadapan sungai. Suara yang dia dengar tadi menjadi lebih jelas.
“Jal! Jal! Kau di mana?”
“Hei! Aku di bawah sini! Hei, dengar ataupun tidak!” Jal menyahut sekuat hati.
Setengah jam kemudian, tali lembut dijatuhkan berhampirannya. Jal menghela nafas lega. Dia tahu, dia sudah terselamat.


Jal menghempas tubuhnya ke atas katil. Nikmat. Tiada katil yang lebih selesa daripada katilnya sendiri. Matanya tertancap pada siling sambil mindanya memainkan semula rakaman memori bagi semua kejadian yang berlaku tadi. Dalam masa tidak sampai beberapa jam, dua kali nyawanya terancam. Namun kini, dia sedang berbaring di atas katilnya yang selesa. “Alhamdulillah, syukur. Aku masih lagi diberikan peluang bernafas.”
            Tiba-tiba, dia teringat sesuatu. Segera dia mencapai iPad dari bawah bantal dan membuka aplikasi pelayar Internet. Kemudian, dia masukkan kata kunci ke dalam kotak carian. Sebaik sahaja keputusan carian keluar, matanya membulat. Dia membaca beberapa artikel dengan penuh khusyuk.
“Adakah ini benar?” gumam Jal dengan wajah tidak percaya.
Selama beberapa jam, mata Jal tertancap pada iPad, dan sesekali tangannya pantas menekan papan kekunci maya.
            “Aku perlu beritahu papa fasal perkara ini sekarang juga!” ujar Jal sebelum dia capai kunci kereta dan meluru keluar dari rumah banglo lima tingkat miliknya.
Di pekarangan rumah, tersusun beberapa kereta sport. Jal menekan butang pada kunci kereta, serta-merta enjin sebuah Lamborghini dihidupkan. Dia masuk ke dalam kereta dan menanti pintu pagar automatik terbuka sepenuhnya. Kereta berwarna merah darah itu dipandu keluar dari pekarangan. Tidak sampai sesaat, ia menderu laju di atas jalan raya.


Ting! Tong!
“Siapa?” tanya satu suara garau daripada mesin interkom yang terletak di atas butang loceng rumah.
“Saya Jal. Saya mahu jumpa papa sebentar. Ada perkara penting.”
“Sebentar,” sahut suara itu.
Seketika kemudian, pintu pagar besi setinggi tiga meter terbuka. Sambil membimbit iPad, Jal melangkah pantas memasuki pekarangan rumah banglo tujuh tingkat milik keluarganya.
            Jal masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki berusia lima puluhan datang menghampiri Jal dengan wajah manis lalu berkata, “Sebentar lagi Dato’ Seri akan turun. Tuan muda duduk sebentar, ya. Saya akan hidangkan air minuman.”
            Jal mengangguk. Dia duduk bersandar di sofa, meregangkan otot dan sendinya yang masih terasa sengal dan pedih. Udara nyaman daripada pendingin hawa membuatkan dia terasa seperti mahu tidur. Namun, dia masih ada misi yang belum selesai.
            “Ada apa kamu datang malam buta begini? Bukankah papa suruh kamu berehat sahaja di rumah kamu?” ujar seorang lelaki berambut sedikit yang sedang menuruni tangga elips.
            Jal segera bangun dari sofa. “Maaf kerana mengganggu pada waktu begini. Saya ada perkara mahu bincangkan dengan papa.”
            “Apa hal yang penting sangat hingga tidak boleh tunggu esok?” tanya Dato’ Seri Wazir sebelum dia duduk di atas sofa.
            “Saya mahu tunjukkan penemuan saya kepada papa.” Jal segera duduk di sebelah ayahnya dan menunjukkan paparan pada iPad. “Saya terjumpa sesuatu.... Sesuatu yang pasti mampu menarik minat papa.”
            Dato’ Seri Wazir memandang skrin iPad dengan wajah tidak berminat. Namun seminit kemudian, wajahnya serta-merta berubah. Bibirnya yang hitam tersenyum, dan matanya yang kuyu bersinar galak. “Benarkah semua yang kamu tunjukkan ini?” Dato’ Seri Wazir mahu kepastian.
            Jal segera mengangguk. “Benar, papa!”
            Dato’ Seri Wazir tertawa kecil. “Bagus, bagus! Jangan biarkan ‘benda’ itu terlepas ke tangan orang lain. Pastikan ia jadi milik kita. Sekiranya kamu perlukan wang, cakap sahaja kepada papa. Lima juta, sepuluh juta? Papa akan berikan kepada kamu, asalkan kita dapat ‘benda’ itu.”
            “Baik, papa!” sahut Jal sambil tersenyum lebar. Hilang semua penat dan sengal pada tubuhnya. 

TAMAT BAB 1

Saturday, 16 February 2013

Entri 15: Berhutang Demi Berilmu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillah.

Pada masa kini, menyambung pengajian sejurus selepas tamat sekolah sudah menjadi satu trend. Fesyen. Ikut-ikutan. Malah, lebih ekstrim, kewajiban.

Selepas tamat sekolah, semua orang sibuk mengisi borang kemasukan ke IPT. Dalam borang itu, mereka senaraikan beberapa jurusan pilihan, mungkin berdasarkan cita-cita yang sudah dipendam sekian lama, mungkin juga ikut sedap rasa. Hentam sahaja, asalkan nama jurusan itu sedap disebut dan kedengaran canggih. Tidak kurang malahan ramai juga yang mengikut kawan.

"Hei, engkau pilih jurusan apa?"
"Fizik bahan di UTM Skudai."
"Okey, aku pun mahu pilih jurusan itu. Boleh kita belajar dalam satu kelas."
"Erk?"

Kemudian, tidak lama selepas borang dihantar, keputusan SPM diumumkan. Ada yang menangis gembira, ada juga yang menangis sedih, walaupun esoknya kehidupan mereka kembali normal seperti sediakala tanpa mengira mereka mendapat 13A ataupun tiada A.

Tidak lama selepas itu, masing-masing menerima surat tawaran daripada IPT. Bagi yang bertuah, mereka ditawarkan jurusan yang ditulis paling atas di borang IPT. Bagi mereka yang kurang bertuah, mereka ditawarkan jurusan bukan pilihan. Bagi mereka yang lebih kurang bertuah, langsung tiada surat tawaran tiba di rumah mereka.

Bagi mereka yang menerima tawaran, mereka membuat segala persiapan dan mendaftar di IPT apabila tiba harinya. Mereka masuk ke dalam asrama, bertemu rakan sebilik dan juga rakan-rakan seperjuangan, berkenalan dengan para senior, dan selepas tamat minggu orientasi, mereka mula masuk kelas.

Alhamdulillah, setakat ini semuanya nampak baik sahaja. Suci. Lancar.

Hinggalah pada satu ketika, apabila mereka-mereka yang suci ini diminta menandatangani satu perjanjian. Perjanjian hitam yang bakal mengikat sepasang tangan dan kaki mereka, sekiranya bernasib baik selama beberapa tahun, sekiranya tidak, selama-lamanya.

Perjanjian pinjaman pendidikan.

Ataupun lebih tepat, perjanjian perhutangan pendidikan.

Pinjaman ini membantu para pelajar membayar yuran dan membiayai kos sara hidup, pembelian buku dan sebagainya. Dengan adanya pinjaman ini, pelajar dapat mengharungi kehidupan di IPT dengan lebih selesa dan tanpa menyusahkan ibu bapa di kampung. Kononnya.

Tanpa para pelajar sedari, mereka telah menggari kedua-dua tangan mereka sendiri, dan meletakkan besi pemberat di kedua-dua kaki mereka.

Mereka telah berhutang pada usia seawal 18 tahun.

Ya, berhutang. Tiada istilah lebih tepat. Benda yang dipinjamkan, perlu dipulangkan. Contoh, apabila seseorang diberi pinjam RM35,000, maka dia perlu pulangkan semula RM35,000 juga, sekiranya sistem peminjaman tiada riba. Bermakna, apabila pelajar-pelajar yang menerima pinjaman berjaya menamatkan pengajian, mereka perlu bekerja dan bayar semula RM35,000.

Bukankah itu namanya berhutang?

Mari kita buat sedikit pengiraan.

Sekiranya RM200 dikeluarkan setiap bulan bagi membayar pinjaman secara ansuran, berapa lama masa diambil sebelum pinjaman berjumlah RM35,000 selesai dibayar?

14 tahun 7 bulan.

Sekiranya RM400? 7 tahun 4 bulan.

Sekiranya RM800? 3 tahun 8 bulan.

Sanggupkah seseorang yang baru mula bekerja, baru hendak mulakan hidup baru, membayar RM800 secara konsisten setiap bulan, selama hampir empat tahun? Jarang yang sanggup.

Rasanya, rata-rata lebih mampu dan mahu keluarkan RM400 sebulan, tetapi mereka perlu bekerja dan membayar secara konsisten selama hampir tujuh tahun setengah. Lebih lama daripada tempoh pengajian itu sendiri.

Perlu diingat. Pengiraan di atas tidak melibatkan faedah (riba). Sedangkan, kebanyakan sistem pinjaman moden, termasuk pinjaman pendidikan, memang ada faedah.

Keadaan sudah nampak sedikit buruk, bukan?

Ini belum lagi dicampurkan dengan kemungkinan-kemungkinan yang lain. Contohnya, pelajar gagal dalam pengajian pada semester akhir. Ijazah melepas, tetapi hutang tetap perlu dibayar.

Satu lagi kemungkinan, selagi hutang belum jelas, selagi itu pemberi pinjaman berhak menetapkan sebarang syarat ke atas peminjam. Contoh, peminjam yang disenaraihitam disebabkan rekod pembayaran yang buruk, tidak dibenarkan pergi ke luar negara. Itu baru satu syarat. Mungkin pada masa akan datang, banyak lagi syarat ditetapkan. Syarat yang lebih teruk. Mungkin.

Ini adalah sebuah kisah sadis yang menimpa ramai pelajar, lebih-lebih lagi Melayu, dan ianya berlaku setiap tahun.

Niat sudah cukup baik. Mahu melanjutkan pengajian. Mahu tuntut ilmu. Sekiranya niat kurang baik ataupun terpesong, sekurang-kurangnya tindakan menuntut ilmu itu pun sudah cukup murni. Mungkin niat boleh jadi lurus semasa dalam pengajian.

Tetapi, adakah rasional berhutang demi melaksanakan niat itu? Ataupun lebih teruk, demi mengikut-ikut trend. Ataupun paling teruk, berhutang demi mengikut kawan.

Bagi mereka yang bertegas mahu membuat pinjaman pendidikan, dan bertekad untuk membayarnya selepas tamat pengajian dan mendapat pekerjaan, apa yang membuatkan mereka yakin, mereka dapat hidup hingga saat itu?

Andaikata mereka ditakdirkan 'pergi' semasa sedang mengikuti pengajian, ibu bapa mereka yang perlu menanggung kesemua hutang mereka. Itu juga satu kemungkinan yang perlu dipertimbangkan dalam-dalam.

Berhutang demi berilmu. Adakah masih rasional?

Ada orang kata, mereka terpaksa melakukannya. Di mana kebenaran kata-kata itu? Sedangkan tidak termaktub dalam mana-mana akta dan peraturan negara, yang semua lepasan sekolah wajib menyambung ke pengajian tinggi.

Ada orang kata, lebih mudah belajar semasa muda. Jadi, lebih elok sambung pengajian sejurus selepas tamat sekolah. Di mana pula kebenaran kata-kata itu, sedangkan manusia semakin pintar apabila mereka semakin berusia, kecuali apabila sudah tiba di peringkat nyanyuk. Lihat sahaja para saintis dan pemikir terkenal, penerima Hadiah Nobel, dan para cendekiawan, kebanyakan mereka sudah dipenuhi uban di kepala.

Ada caranya untuk elakkan tragedi ini. Ada beberapa cara yang akal cetek saya dapat fikirkan, iaitu:


  • Tangguhkan niat untuk menyambung pengajian. Selepas tamat SPM, bekerja dahulu bagi mengumpul wang. Sesudah berkecukupan, barulah fikirkan untuk pergi ke IPT.
  • Bagi mereka yang bergelar ibu bapa, bina sebuah pelan pendidikan untuk anak-anak. Buat sebuah akaun bank bagi setiap anak sejak mereka kecil, dan masukkan wang ke dalamnya. Sekiranya tidak sebulan sekali memasukkan wang, memadai dua hingga tiga bulan sekali. Sedikit demi sedikit, lama-lama cukup bagi membiayai kos pendidikan mereka.
  • Belajar sambil bekerja. Ikuti pengajian separuh masa (kelas hari Sabtu dan Ahad). Isi baki masa yang ada dengan bekerja.
Bagi mereka yang berjaya mendapat biasiswa, tahniah diucapkan. Ia lebih baik berbanding pinjaman. Akan tetapi, sungguhpun biasiswa tidak perlu dibayar semula, pelajar yang dibiayai selalunya diikat bekerja selama beberapa tahun berdasarkan perjanjian yang ditandatangani.

Tulisan saya ini dikhususkan kepada mereka yang berasakan diri tiada pilihan melainkan membuat pinjaman pendidikan. Percayalah, setiap orang ada pilihan!

Saya terpanggil untuk menulis entri ini atas rasa simpati kepada para siswazah yang sudah dibebani hutang sejak usia muda. Saya berharap, para lepasan sekolah dan ibu bapa dapat mengambil iktibar dan manfaat daripada karangan ini. Mohon maaf sekiranya ada kekurangan dan kesilapan. Sesungguhnya saya menulis berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pengetahuan yang begitu terhad.

Semoga kita semua diberkati dan dirahmati oleh Allah Taala, amin.

Wassalam.

Thursday, 24 January 2013

Entri 14: Gred tidak penting?

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap kali tiba musim peperiksaan, seringkali saya terdengar suara-suara sumbang berkata begini:

"Jangan risau. Gred tidak penting."
"Tidak perlu dikejar A. Yang penting ilmu."
"Tiada A pun boleh berjaya juga."
"Ah, peperiksaan tidak penting!"

Mereka yang sering luahkan kata-kata seperti di atas, kebanyakannya sudah tinggalkan status sebagai pelajar. Mereka mahu tunjukkan dengan kata-kata, yang mereka mampu berjaya walaupun kurang cemerlang di sekolah ataupun universiti. Mereka mahu nyatakan, walaupun mereka tidak mendapat banyak A dalam peperiksaan, mereka masih mampu bekerja dan mendapat wang setiap bulan.

Klise.

Saya ada sebuah cerita. Cerita ini adalah kisah benar. Ia sedikit tragis, tetapi melambangkan satu hakikat yang ramai orang menafi tetapi masih menjadi realiti.

Cerita ini berkenaan seseorang yang saya kenali sejak kecil. Kami rapat sekali. Dia seorang yang bertubuh kecil, tetapi berhati dan berjiwa besar. Dia mahu menjadi doktor. Dalam keluarga dia, tiada yang mahu dan mampu menjadi doktor, tetapi dia mahu dan yakin mampu. Saya sukakan cita-cita dia itu, dan saya menyokong sepenuh hati.

Dia begitu berkaliber. Sejak dia menyatakan hasrat menjadi doktor, dia menunjukkan kecenderungan dan usaha untuk menjadi doktor. Antara yang saya masih ingat, dia begitu gemar menonton rancangan MedikTV di TV3. Ia adalah rancangan yang memaparkan kisah berkenaan perubatan dan doktor.

Sesudah tamat PMR, dia sanggup berpisah daripada keluarga dan pergi ke sekolah berasrama penuh yang jauh dari rumah. Dalam keluarga dia, dialah anak pertama yang terpilih memasuki sekolah berasrama penuh. Dia juga yang pertama sanggup berjauhan daripada keluarga semasa di bangku sekolah. Dia melakukan semua itu demi mengejar cita-cita dia. Menjadi seorang doktor.

Selama dua tahun, dia belajar dengan penuh tekun demi mempersiapkan diri menghadapi SPM. Tekad dan usaha dia lebih kuat daripada yang lain, namun tidak kepintaran dia. Keputusan peperiksaan percubaan yang dia perolehi, tidak begitu memberangsangkan. Ramai rakan-rakan dia layak mendapat tempat untuk pergi ke luar negara bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, namun dia tidak layak ke mana-mana.

Maka, dia bergantung hanya kepada SPM yang akan bermula tidak lama lagi.

Masa pantas berlalu. Dia menjawab setiap kertas SPM dengan penuh yakin. Sesudah tamat peperiksaan, dia kembali ke rumah dan menanti keputusan dengan penuh debaran. Keputusan itu bakal menentukan jalan ke arah cita-cita dia. Sama ada masih bersambungan, ataupun terputus di tengah-tengah.

Sesungguhnya, Allah mempunyai rancangan untuk setiap hamba-Nya.

Keputusan SPM dia hanya 9A dan 1B.

Hanya.... Ya, hanya. Kerana matlamat dia adalah menjadi doktor. Satu B itu sukar diterima oleh mana-mana institusi yang menawarkan pengajian perubatan bertauliah. Mendapat 9A 1B terlalu rendah daripada jangkaan dia. Dia kecewa, tetapi tidak lama. Dia masih mahu mencuba nasib dan rezeki.

Dia hantar permohonan kepada JPA. Dia mahu cuba mengikuti kursus perubatan di luar negara. Cuba. Dan, dia dipanggil temuduga serta lawatan ke hospital. Calon-calon lain, kebanyakannya mendapat 10, 11A, hanya dia berkeputusan 9A 1B. Namun, semasa lawatan, dialah satu-satunya calon yang mengangkat tangan bagi menawarkan diri menjadi ketua calon. Dia punya kaliber itu. Akan tetapi, disebabkan gred dia tidak cukup bagus, permohonan JPA dia gagal.

Dia hantar pula permohonan ke IPT dalam negara. Dia tidak mendapat tempat dalam sebarang kursus perubatan. Hanya begitu sahaja, cita-cita dia bagi menjadi doktor, musnah. Hanya kerana 1B mencemari keputusan SPM dia.

Hanya kerana satu gred itu.

Gred tidak penting? A tidak penting? Fikir semula. Mungkin ia tidak penting bagi sesetengah orang, tetapi ia begitu penting kepada orang lain. Orang yang punya cita-cita dan impian tertentu.


Hingga sekarang, kadang-kala, apabila saya lihat wajah dia, saya terbayang dia memakai kot berwarna putih, mengorbankan kudrat dan masa demi berjasa kepada manusia yang memerlukan. Kemudiannya saya tersedar, ia hanya harapan saya. Harapan dia. Harapan ibu dia.

Banyak perkara boleh disalahkan dalam situasi sebegini. Sistem pendidikan lebih-lebih lagi. Namun, sekadar menyalahkan, di mana signifikannya? Di mana sumbangannya? Apa yang boleh didapati daripada perbuatan menyalahkan?

Sistem pendidikan sekarang, memang sifatnya mementingkan gred dan bilangan A. Lebih-lebih lagi kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang mahu menjadi jurutera ataupun doktor, melainkan belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan seberapa banyak A dalam peperiksaan.

Begitulah sistemnya. Terima, ataupun hanyut.

Akhir kata, walau apa jua yang dia lakukan, saya doakan dia yang terbaik. Sekurang-kurangnya dia sudah berusaha ke arah impian dan cita-cita dia. Saya berharap, kata-kata dan pemikiran klise itu terlontar jauh dari mata dan telinga saya. Ya, gred mungkin tidak penting bagi anda, tetapi ia sangat penting bagi sekumpulan pelajar, yang mungkin sedang bersengkang mata mengulangkaji pelajaran sekarang ini.

Jangan rendahkan cita-cita dan impian mereka.

Sekian sahaja, wassalam.

Tuesday, 18 December 2012

Entri 13: Komika #2 (Bahagian 1)


Bab 1: Harmoni
Kring!
Norman membuka matanya separuh. Dia mengambil jam loceng yang diletakkan di tepi telinga, dan melihat jarum jam yang berpusing. Tepat jam enam pagi. Dia mematikan loceng dan bingkas dari katil.
            Sedikit terhoyong-hayang, Norman berjalan ke tingkap bilik dan membuka pintu jendela seluasnya. Angin nyaman menyerbu masuk ke dalam bilik. Cicipan burung dan kokokan ayam jantan yang berselang-seli, menerpa gegendang telinganya. Pemandangan yang hijau dan segar memenuhi pandangan matanya.
            Norman menggeliat. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sambil tersenyum manis, dia berkata, “Alhamdulillah, satu lagi hari sibuk menanti….”
            Selepas mandi dan bersolat subuh, Norman mengenakan pakaian sekolah yang sudah siap digosok malam tadi. Sambil memasang tali leher di hadapan cermin, dia bernyanyi lagu nasyid kegemarannya. Usai lengkap berpakaian sekolah, dia menyisir rambut dengan sikat rongak. Sesudah rapi, dia menyarung beg dan berjalan ke pintu.
Sebelum tiba di pintu, langkah Norman terhenti. “Oh, hampir-hampir terlupa benda paling penting.” Dia berpusing dan melangkah ke meja. Di atas meja, ada sebuah fail lutsinar bersaiz A4. Sambil mengangkat fail itu, Norman berdesis, “Sekiranya fail ini tertinggal, tidak dapatlah aku lukis komik di sekolah.” Dia memasukkan fail ke dalam beg dan keluar dari bilik.
Norman pergi ke dapur. Di meja dapur, ibu dan adik lelakinya sedang tekun menikmati sarapan.
“Assalamualaikum,” ucap Norman sambil menyeret kerusi dari bawah meja. Bibirnya tidak lekang melakar senyuman.
Puan Haryani dan Solehin menoleh serentak, lalu mereka membalas salam dengan serentak, “Waalaikumussalam….”
Usai duduk, Norman melihat juadah yang terhidang di atas meja. Matanya membulat manakala senyumannya melebar. “Wah, keledek rebus! Kegemaran saya!”
Solehin menyahut dengan mulut dipenuhi keledek rebus, “Kegemaran saya juga!” Kanak-kanak berusia enam tahun itu mengangkat tinggi ibu jarinya.
Puan Haryani tersenyum lebar. Dia memerhatikan anak-anaknya yang begitu berselera menikmati hasil air tangannya. Selama seketika, suasana hening tanpa butir bicara, hinggalah Puan Haryani berkata kepada Norman, “Ibu lihat, anak orang lain begitu liat bangun pagi dan pergi sekolah. Tetapi, setiap hari kamu bangun sendiri, dan pergi sekolah dengan gembira. Mengapa agaknya, ya?”
Norman tersengih dengan mulut penuh. Barisan giginya diselaputi keledek rebus.
 Solehin tertawa dengan kuat. “Gigi abang berwarna oren!”
Usai menelan, Norman berkata kepada Solehin dengan nada mengejek, “Hei, kamu cakap kepada orang, gigi kamu juga warna oren!” Bicaranya diakhiri tawa kecil. Kemudian, dia memandang wajah ibunya, dan bertanya, “Ibu mahu tahu sebabnya?”
“Sekiranya kamu sudi beritahu,” balas Puan Haryani. Lembut sekali.
Usai jeda seketika, Norman bersuara, “Di sekolah, saya ada dua tanggungjawab. Satu, sebagai pelajar biasa. Satu lagi, sebagai pelukis komik dalam Kelab Penerbit Komik.”
“Kelab Penerbit Komik?” ulang Puan Haryani. “Sekolah kamu ada kelab sebegitu?”
Suara Norman kembali berkumandang, memenuhi setiap ceruk dapur, “Pada asalnya tiada. Saya dan rakan-rakan yang tubuhkannya. Alhamdulillah, kelab kami itu mendapat sokongan daripada pihak sekolah. Kini, majalah yang kelab kami terbitkan, iaitu Komika, sudah menjadi majalah bulanan rasmi di sekolah.”
Puan Haryani mengangguk kecil. “Ibu selalu nampak kamu melukis komik. Rupa-rupanya, kamu melukis untuk majalah Komika itu, ya?”
“Ya, benar!” sahut Norman, sebelum dia menyuap keledek rebus dan mengunyah dengan penuh berselera.
Solehin mencelah, “Adakah abang dibayar?”
Norman mengangguk. Usai menelan, dia berkata, “Sebahagian daripada hasil jualan Komika diagihkan kepada ahli-ahli Kelab Penerbit Komik. Alhamdulillah, saya juga ada bahagiannya.”
Puan Haryani berkata, “Oh, patutlah kamu sudah tidak ambil wang belanja yang ibu berikan. Malah, mampu beli basikal baru dengan wang sendiri. Sudah ada sumber pendapatan rupa-rupanya.”
Norman tersengih.
Puan Haryani menyambung bicara, “Walau apa juga yang kamu lakukan, selagi tidak bertentangan dengan agama, ibu restui kamu. Ibu gembira lihat kamu gembira. Cuma, ibu harap kamu tidak ketinggalan dalam pelajaran. Tahun ini kamu sudah tingkatan lima. Hujung tahun ini, ada peperiksaan besar menanti....”
Pantas Norman menggeleng. Dia mengepalkan kedua-dua buku lima dan meletakkannya di atas meja. “Cuba ibu lihat ini. Di sebelah kiri adalah pelajaran. Di sebelah kanan pula adalah komik.” Dia mendekatkan kedua-dua buku limanya ke dada, dan berkata lagi, “Saya akan bersikap adil dan menjaga kedua-duanya, sama rata! Jangan risau, ya!”
Senyuman lebar terukir pada wajah Puan Haryani. “Ibu percaya kepada kamu….” Wanita itu melihat jam pada dinding. “Eh? Sudah hampir pukul tujuh. Cepat habiskan makanan. Bekal kamu ibu sudah siapkan, ada di tepi para.”
“Baik, ibu!” balas Norman. Selepas menghabiskan hidangan, Norman bangun dan bersalam dengan ibunya. Dia keluar dari rumah dan mendapatkan basikalnya yang dikunci pada pintu besi rumah.
“Bismillah.” Norman membuat kayuhan pertama. Beberapa saat kemudian, dia meluncur laju di atas jalan raya yang masih lengang dan sejuk.
***
(Bersambung....)

Friday, 21 September 2012

Entri 12: Kisah Seorang 'Mediocre'

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pada saat entri ini ditulis, tinggal 45 hari sahaja lagi sebelum menjelangnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM. Ujian paling penting bagi semua pelajar sekolah. Ujian yang sedikit-sebanyak menentukan hala tuju pelajar selepas tamatnya alam persekolahan.

11 tahun lalu, saya berada di dalam kasut para pelajar yang bakal menghadapi SPM tahun ini. Izinkan saya berkongsi pengalaman yang saya lalui pada waktu lebih sedekad lalu. Pengalaman yang saya rasakan dapat berikan setitis inspirasi dan motivasi kepada yang membaca.

Semoga bermanfaat.

Dahulu, saya tidak tergolong dalam pelajar cemerlang. Sewaktu saya tingkatan 4 dan 5, saya menganggap diri saya sebagai pelajar yang hanya suam-suam kuku. Malah, pernah sekali guru bahasa Inggeris menggelar saya mediocre.

Sebabnya?

Saya tidak belajar. Saya lebih tumpukan perhatian saya ke arah perkara-perkara lain; game, komik, tarian breakdance dan lain-lain. Akibatnya, saya menjadi pelajar sederhana, seperti yang dikatakan guru bahasa Inggeris saya. Sekiranya saya tidak hadir ke sekolah pun, tentu guru-guru dan rakan-rakan tidak perasan.

Saya berperlakuan begitu hinggalah selepas tamat peperiksaan percubaan. Dalam peperiksaan percubaan saya, saya hanya mendapat sedikit A, beberapa C dan 2 E! Kedua-dua subjek yang saya dapat E itu, markahnya hanya 40. Cukup-cukup makan untuk lulus.

Pada waktu itu, lebih kurang sebulan lagi peperiksaan SPM akan bermula. Keputusan yang teruk itu telah memberikan impak kepada saya. Saya rasa seolah-olah pipi saya ditampar bertubi-tubi sambil dijeritkan ke telinga saya, "Bangun! Bangun! Jangan tidur lagi!"

Tiba-tiba sahaja mata dan minda saya terbuka luas. Hati saya pula berteriak, "SPM lebih kurang sebulan sahaja lagi! Apa yang aku sedang lakukan?!"

Sejak itu, saya mula belajar.

Ya, saya hanya mula belajar selepas peperiksaan percubaan. Pada waktu itu jugalah, barulah hati saya terbuka bagi membeli buku-buku rujukan. Hinggakan pak cik saya berseloroh kepada saya, "SPM sudah benar-benar hampir, baru kamu mahu beli buku?" Saya sekadar tersenyum. :)

Saya tidak mempedulikan kata-kata sesiapa. Keazaman sudah tertaut kukuh dalam jiwa saya. Saya sudah bertekad, saya mahu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun masa yang tinggal sangat sedikit. Saya tidak melepaskan sebarang harapan.

Tempoh masa yang sedikit antara percubaan dan SPM sebenar, saya isikan dengan waktu belajar yang berkualiti:

  • Saya menghafal (secara harfiah) buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5.
  • Saya buat nota yang berwarna-warni untuk subjek Kimia.
  • Saya menghabiskan beberapa buah buku latihan Matematik Tambahan.
  • Saya berguru dengan seorang pakar Fizik, pada waktu rehat setiap hari.
  • Buku rujukan yang baru saya beli, sudah menjadi lunyai disebabkan saya membeleknya setiap masa.
  • Saya tumpukan perhatian kepada subjek-subjek yang saya lemah. Subjek yang saya mahir, saya tinggalkan dahulu.
Dugaannya sangat besar, tetapi saya berjaya mengatasinya. Pada masa seluruh ahli keluarga sedang menonton televisyen dengan gembira, saya duduk bersendirian di balkoni sambil menghafal nota. Namun, saya abaikan perasaan terpinggir. Saya tahu, sebulan terakhir ini sangat penting kepada diri saya.

Sejak peperiksaan percubaan, saya belajar dengan sepenuh tumpuan secara konsisten setiap hari hinggalah tibanya hari pertama SPM.

Alhamdulillah, buat kali pertamanya, saya berasa begitu yakin menjawab soalan. Selepas menjawab paper terakhir, saya keluar dari dewan dengan perasaan yakin dan puas.

Beberapa bulan kemudian, keputusan SPM keluar. Saya masih ingat, sayalah orang pertama di dalam kelas itu yang mengambil slip keputusan. Dan, guru yang memberikan slip keputusan adalah guru sama yang menggelar saya mediocre.

Saya mendapat 9A dan 1B.

Kedua-dua subjek yang saya dapat E dalam percubaan, saya dapat A dalam SPM. Dengan keputusan itu, saya menjadi pelajar terbaik jurusan Awam dan menerima Anugerah Sime Darby bagi subjek Matematik Tambahan.

Syukur, syukur.

Adik-adik yang dihormati, tiada istilah terlambat. Pelajar yang mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan percubaan SPM tidak sepatutnya mengalah terlalu awal. Selagi ada masa, selagi itulah ada peluang untuk mengubah keputusan, daripada G kepada A. Daripada gagal kepada cemerlang.

Teruskan berusaha hingga detik terakhir sebelum peperiksaan bermula. Pada masa kita menyerah kalah, pada saat itu sebenarnya kita sudah kalah.

Selamat berusaha kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan. Semoga usaha kita semua diredai oleh Allah Yang Maha Mengasihani.

Wassalam.

Monday, 20 August 2012

Entri 11: Sedikit Kemaskini

Assalamualaikum.

Hadoi! Lamanya tidak menjenguk blog ini. Maaf kepada para followers yang menanti entri baru sejak Disember tahun lalu tetapi hanya kunjung tiba pada hari ini.

Namun, saya senyap bukannya tidak berisi, ya. Alhamdulillah, sejak entri terakhir di blog ini, saya sudah menerbitkan 2 novel grafik dan 3 novel. Satu lagi novel akan terbit dalam masa terdekat ini.

Mahu tahu apa karya-karya itu? Teruskan membaca!


1. Ali & Tuah: Sarang Empat Penjahat (Novel grafik bersama Afiq)



2. Komika: Ada Apa Dengan Komik? (Novel)



3. Misi 10A Plus (Novel grafik bersama Afiq)



4. Misi 8A The Novel (Novel ringan)



5. Kelab Pelajar Super (Novel) 


Insya-Allah, matlamat saya pada tahun 2012 ini adalah menerbitkan 10 buah buku. Doakan supaya saya berjaya mencapainya, ya!

Sekian sahaja. Terima kasih banyak diucapkan. Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Wassalam.

Wednesday, 21 December 2011

Entri 10: Syarat Pengetua


“Apa syaratnya, tuan pengetua? Kami rela lakukan apa sahaja asalkan kelab melukis tidak dibubarkan!” ujar Ikbal dengan penuh bersemangat. Perlakuannya kini semakin berubah. Kelihatan dia semakin sayangkan kelab berbanding dahulu, lebih-lebih lagi selepas pengetua mengeluarkan arahan bagi membubarkan kelab melukis.
            Ahli-ahli kelab yang lain mengangguk-angguk. Nizam juga tidak ketinggalan mengiakan bicara Ikbal.
            “Saya ada tiga syarat. Syarat pertama, kamu semua perlu naikkan bilangan ahli kepada tiga puluh orang,” ujar Encik Daud Kasmuni tenang sambil mengurut-urut misainya yang tebal.
            Ikbal terkejut besar. Begitu juga Wan Amran dan Hanan. Dengan pantas, Ikbal merapatkan bibirnya ke telinga Nizam. “Mustahil syarat ini. Sejak kelab melukis ditubuhkan, tidak pernah sekali pun bilangan ahli melebihi sepuluh orang.”
            Nizam memandang sekilas wajah Ikbal seraya berkata, “Tidak mengapa, kita dengar dahulu syarat-syarat pengetua. Kemudian, kita lihat apa yang mampu kita lakukan.”
            Ikbal terdiam sebelum mengangguk perlahan.
            Selesai menyusun ayat, Encik Daud Kasmuni kembali menyambung bicara. “Syarat yang kedua, kamu semua perlu dapatkan seorang guru penasihat yang bertauliah.”
            Sekali lagi Ikbal berbisik kepada Nizam, “Ini pun mustahil! Sudah sepuluh tahun kelab ini tiada guru penasihat. Tiada seorang pun yang sudi.”
            “Tidak mengapa. Pasti ada jalan. Dengar dahulu kata-kata pengetua hingga habis.” Nizam membalas. Sekali lagi, Ikbal mengangguk patuh. Dia semakin bimbang mendengar syarat-syarat yang dikemukakan oleh Encik Daud Kasmuni. Seolah-olah mustahil mencapainya, biarpun mereka berusaha seribu tahun.
            “Dan syarat yang terakhir, kamu semua perlu kumpulkan wang simpanan kelab sebanyak seribu ringgit.”
            “Hah?” Bergema bilik itu dengan jeritan nyaring Ikbal yang terkeluar secara tidak sengaja. Dia begitu terkejut hingga tidak dapat mengawal suaranya. Semua ahli kelab menundukkan kepala masing-masing, malu dengan perlakuan spontan timbalan presiden mereka. Encik Daud Kasmuni pula hanya memandang ke wajah Ikbal tanpa perasaan.
            “Ma... maaf ya. Terkeluar pula suara jantan saya,” ujar Ikbal sambil tangannya berpura-pura menggaru kepalanya. Wajahnya kemerahan menahan malu.
            Encik Daud Kasmuni bersuara, “Tidak mengapa. Saya tahu, syarat-syarat yang saya kenakan ini begitu sukar hingga kamu semua terkejut. Namun, saya terpaksa buat begini kerana saya juga sukar menarik balik keputusan saya.”
            Nizam mencelah, “Berapa lama tempoh yang kami ada bagi mencapai syarat-syarat itu?”
            Encik Daud Kasmuni terdiam seketika, mempertimbangkan soalan yang diajukan Nizam. Selepas beberapa detik berfikir dan menyusun ayat, Encik Daud Kasmuni kembali bersuara. “Saya beri kamu masa hingga bulan Mei.”
            Wan Amran menyampuk, “Oh, Mei tahun hadapan ya! Banyak lagi masa, insya-Allah kami usahakan.”
            “Bukan, Mei tahun ini,” ujar tuan pengetua dengan ringkas. Kata-kata yang tenang itu disambut dengan perasaan cemas ahli-ahli kelab melukis. Ikbal hampir pengsan mendengarnya. Segera Wan Amran menenangkan dia semula.
           Nizam melangkah ke hadapan dan merayu, “Tuan pengetua, tidak bolehkah tuan beri kami tempoh yang lebih lama? Sekarang sudah akhir bulan Januari. Bermakna, kami hanya ada lebih kurang tiga bulan bagi laksanakan semua syarat itu."
            Selepas menghela nafas panjang, Encik Daud Kasmuni membalas, “Maaf, tidak boleh. Sekiranya diikutkan, saya tidak boleh menarik balik keputusan membubarkan kelab melukis, kerana ianya tidak adil bagi kelab lain yang juga akan dibubarkan. Namun, saya tetap beri kamu peluang kerana kamu gigih dan sanggup datang ke sini bertemu saya. Tetapi, itu sahaja. Saya tidak boleh memberi lebih daripada itu. Take it, or leave it.” Kedengaran tegas nada suara tuan pengetua. Nizam terpaksa akur. Dia tidak berani merayu lagi, bimbang sekiranya Encik Daud Kasmuni berubah fikiran dan terus menarik balik peluang yang sudah diberikan.
            “Baiklah tuan pengetua, kami akan cuba penuhi syarat-syarat yang tuan berikan. Insya-Allah, kami akan kembali semula ke sini. Tetapi pada masa itu, bilik ini sudah tidak lagi dapat memuatkan semua ahli kelab melukis. Terima kasih atas peluang yang diberikan,” ujar Nizam dengan lembut.
            Encik Daud Kasmuni tergelak besar. “Hah, semangat seperti inilah yang saya mahu lihat! Bagus, saya akan memerhatikan kamu semua. Semoga berjaya!”
            “Terima kasih!” balas Nizam dengan penuh semangat.
            Selepas itu mereka bersurai, serentak dengan terhentinya hujan di langit.

[Bab 3, Kelab Da Vinci, 2010]