Bab 1: Harmoni
Kring!
Norman membuka matanya separuh.
Dia mengambil jam loceng yang diletakkan di tepi telinga, dan melihat jarum jam
yang berpusing. Tepat jam enam pagi. Dia mematikan loceng dan bingkas dari
katil.
Sedikit
terhoyong-hayang, Norman berjalan ke tingkap bilik dan membuka pintu jendela
seluasnya. Angin nyaman menyerbu masuk ke dalam bilik. Cicipan burung dan
kokokan ayam jantan yang berselang-seli, menerpa gegendang telinganya. Pemandangan
yang hijau dan segar memenuhi pandangan matanya.
Norman
menggeliat. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sambil
tersenyum manis, dia berkata, “Alhamdulillah, satu lagi hari sibuk menanti….”
Selepas
mandi dan bersolat subuh, Norman mengenakan pakaian sekolah yang sudah siap
digosok malam tadi. Sambil memasang tali leher di hadapan cermin, dia bernyanyi
lagu nasyid kegemarannya. Usai lengkap berpakaian sekolah, dia menyisir rambut
dengan sikat rongak. Sesudah rapi, dia menyarung beg dan berjalan ke pintu.
Sebelum tiba di pintu, langkah Norman
terhenti. “Oh, hampir-hampir terlupa benda paling penting.” Dia berpusing dan
melangkah ke meja. Di atas meja, ada sebuah fail lutsinar bersaiz A4. Sambil
mengangkat fail itu, Norman berdesis, “Sekiranya fail ini tertinggal, tidak
dapatlah aku lukis komik di sekolah.” Dia memasukkan fail ke dalam beg dan
keluar dari bilik.
Norman pergi ke dapur. Di meja
dapur, ibu dan adik lelakinya sedang tekun menikmati sarapan.
“Assalamualaikum,” ucap Norman
sambil menyeret kerusi dari bawah meja. Bibirnya tidak lekang melakar senyuman.
Puan Haryani dan Solehin
menoleh serentak, lalu mereka membalas salam dengan serentak,
“Waalaikumussalam….”
Usai duduk, Norman melihat
juadah yang terhidang di atas meja. Matanya membulat manakala senyumannya
melebar. “Wah, keledek rebus! Kegemaran saya!”
Solehin menyahut dengan mulut
dipenuhi keledek rebus, “Kegemaran saya juga!” Kanak-kanak berusia enam tahun
itu mengangkat tinggi ibu jarinya.
Puan Haryani tersenyum lebar.
Dia memerhatikan anak-anaknya yang begitu berselera menikmati hasil air
tangannya. Selama seketika, suasana hening tanpa butir bicara, hinggalah Puan
Haryani berkata kepada Norman, “Ibu lihat, anak orang lain begitu liat bangun
pagi dan pergi sekolah. Tetapi, setiap hari kamu bangun sendiri, dan pergi
sekolah dengan gembira. Mengapa agaknya, ya?”
Norman tersengih dengan mulut
penuh. Barisan giginya diselaputi keledek rebus.
Solehin tertawa dengan kuat. “Gigi abang
berwarna oren!”
Usai menelan, Norman berkata
kepada Solehin dengan nada mengejek, “Hei, kamu cakap kepada orang, gigi kamu
juga warna oren!” Bicaranya diakhiri tawa kecil. Kemudian, dia memandang wajah
ibunya, dan bertanya, “Ibu mahu tahu sebabnya?”
“Sekiranya kamu sudi beritahu,”
balas Puan Haryani. Lembut sekali.
Usai jeda seketika, Norman
bersuara, “Di sekolah, saya ada dua tanggungjawab. Satu, sebagai pelajar biasa.
Satu lagi, sebagai pelukis komik dalam Kelab Penerbit Komik.”
“Kelab Penerbit Komik?” ulang
Puan Haryani. “Sekolah kamu ada kelab sebegitu?”
Suara Norman kembali
berkumandang, memenuhi setiap ceruk dapur, “Pada asalnya tiada. Saya dan
rakan-rakan yang tubuhkannya. Alhamdulillah, kelab kami itu mendapat sokongan
daripada pihak sekolah. Kini, majalah yang kelab kami terbitkan, iaitu Komika,
sudah menjadi majalah bulanan rasmi di sekolah.”
Puan Haryani mengangguk kecil.
“Ibu selalu nampak kamu melukis komik. Rupa-rupanya, kamu melukis untuk majalah
Komika itu, ya?”
“Ya, benar!” sahut Norman,
sebelum dia menyuap keledek rebus dan mengunyah dengan penuh berselera.
Solehin mencelah, “Adakah abang
dibayar?”
Norman mengangguk. Usai
menelan, dia berkata, “Sebahagian daripada hasil jualan Komika diagihkan kepada
ahli-ahli Kelab Penerbit Komik. Alhamdulillah, saya juga ada bahagiannya.”
Puan Haryani berkata, “Oh,
patutlah kamu sudah tidak ambil wang belanja yang ibu berikan. Malah, mampu
beli basikal baru dengan wang sendiri. Sudah ada sumber pendapatan
rupa-rupanya.”
Norman tersengih.
Puan Haryani menyambung bicara,
“Walau apa juga yang kamu lakukan, selagi tidak bertentangan dengan agama, ibu
restui kamu. Ibu gembira lihat kamu gembira. Cuma, ibu harap kamu tidak
ketinggalan dalam pelajaran. Tahun ini kamu sudah tingkatan lima. Hujung tahun
ini, ada peperiksaan besar menanti....”
Pantas Norman menggeleng. Dia
mengepalkan kedua-dua buku lima dan meletakkannya di atas meja. “Cuba ibu lihat
ini. Di sebelah kiri adalah pelajaran. Di sebelah kanan pula adalah komik.” Dia
mendekatkan kedua-dua buku limanya ke dada, dan berkata lagi, “Saya akan
bersikap adil dan menjaga kedua-duanya, sama rata! Jangan risau, ya!”
Senyuman lebar terukir pada
wajah Puan Haryani. “Ibu percaya kepada kamu….” Wanita itu melihat jam pada
dinding. “Eh? Sudah hampir pukul tujuh. Cepat habiskan makanan. Bekal kamu ibu
sudah siapkan, ada di tepi para.”
“Baik, ibu!” balas Norman. Selepas
menghabiskan hidangan, Norman bangun dan bersalam dengan ibunya. Dia keluar dari
rumah dan mendapatkan basikalnya yang dikunci pada pintu besi rumah.
“Bismillah.” Norman membuat
kayuhan pertama. Beberapa saat kemudian, dia meluncur laju di atas jalan raya
yang masih lengang dan sejuk.
No comments:
Post a Comment