Bab 1: Permainan
Sekumpulan penjelajah terdiri daripada
lima lelaki dewasa sedang menyusuri laluan curam di sebuah gua. Di belakang
mereka tergantung beg galas yang mampu memuatkan kanak-kanak berusia sepuluh
tahun.
“Hei,
mahu teruskan lagi? Sudah sejam kita berjalan, tetapi tiada penghujung. Hari semakin
gelap,” ujar Halim Unan yang berkaca mata dan berwajah skema. Nada suaranya
kedengaran resah.
“Jadi?”
soal Jal. Rambutnya panjang hingga bahu dan dia berjalan paling hadapan.
“Rasanya,
Halim takut....” Moktar mencelah. Dia terkenal dengan mulutnya yang seperti
tempayan pecah, tidak padan dengan tubuhnya yang hanya setinggi 160 sentimeter.
“Sekiranya
aku takut, aku tidak akan sertai ekspidisi ini.” Halim menafi.
Tidak
semena-mena, Zairi menyanyi dengan suara garau dan lantang. “Semarak impian,
segunung harap dipulang, usahlah diragukan keupayaan sendiri….” Bergema seluruh
gua itu oleh nyanyiannya.
“Apa
motif kau nyanyi lagu XPDC, Semangat Yang
Hilang?” tanya Maliq yang berjalan paling belakang.
Zairi
menjawab, “Tiada motif. Sekadar mahu beri peringatan kepada rakan yang semakin
hilang semangatnya.”
Halim
terdiam. Dia tahu kata-kata Zairi ditujukan kepadanya. Wajahnya mengetat.
“Kau
semakin lemah selepas berkahwin,” ujar Jal kepada Halim.
“Aku
bukan lemah. Cuma aku sentiasa fikirkan fasal isteri dan anak aku setiap kali
aku lakukan sesuatu. Bukan seperti kau semua, spesis forever alone yang boleh sesuka hati buat kerja gila tanpa ada
orang risau.” Tajam kata-kata Halim.
Jal,
Moktar, Zairi dan Maliq tersentap apabila status bujang mereka dipermainkan. Istilah
forever alone seumpama taboo kepada mereka!
“Kau
jangan berlagak!” sahut Maliq. “Aku akan cari isteri yang lebih cantik daripada
isteri kau. Sekurang-kurangnya, persis Rozita Che’ Wan semasa muda. Fuh!”
Halim
tersengih. “Apa-apa sahaja. Tetapi, aku mahu beri nasihat kepada kau semua. Janganlah
pilih isteri kerana kecantikan rupa semata-mata. Pilihlah kerana kecantikan
iman, hati dan pekerti. Tidak guna juga sekiranya wajah isteri seperti artis,
tetapi tidak pandai jaga suami.”
Moktar
mencelah, “Maliq ada hati mahu cari isteri seperti artis. Walhal, wajah sendiri
macam….”
Belum
sempat habis bercakap, Maliq memotong, “Terlajak perahu, boleh diundur.
Terlajak kata, buruk mulut tempayan kau nanti aku tumbuk.”
Moktar
mencebik kepada Maliq yang sedang menunjukkan buku lima.
Jal
yang sejak tadi membisu akhirnya bersuara, “Sekiranya perkahwinan menghalang
aku lakukan aktiviti lasak yang tidak boleh aku tinggalkan, aku rela membujang
seumur hidup.”
Halim
tersenyum dan berkata, “Ingat sedikit, kawan. Kita hanya manusia lemah. Sebagus
mana pun rancangan yang kau bikin, langsung tidak boleh lawan rancangan yang
Tuhan bikin. Sekiranya Dia mahu kau jatuh cinta pada hari ini, maka jatuh
cintalah kau!”
Tiba-tiba,
suara garau Zairi sekali lagi berkumandang, “Love hurts… Love scars… Love wounds... and marks....”
“Lagu
Love Hurts nyanyian Nazareth pula,”
ujar Maliq.
Jal
menoleh ke wajah Halim tanpa kakinya berhenti melangkah, “Sekiranya aku
berkahwin, pasti isteri aku tidak benarkan aku bermain bungee jumping ataupun panjat gunung. Sekiranya dia benarkan pun,
pasti aku sudah tiada masa. Sebab itulah aku tidak mahu berkahwin, kau tahu?
Aku tidak mahu korbankan passion aku,
jiwa aku! Sekiranya aku jatuh cinta pun, aku berharap wanita itu seperti aku
juga. Adventurous dan berani! Boleh
kami lakukan aktiviti ekstrim bersama-sama.”
Halim
tersengih. Dia gelihati mendengar kenyataan Jal. “Ya, ya. Aku faham perasaan
kau, dan aku doakan….” Belum sempat kata-katanya dihabiskan, mata Halim
membuntang lalu segera dia menjerit, “Jal, lihat hadapan!”
Jal
segera menoleh ke hadapan. Dia terkejut besar apabila mendapati di hadapannya
ada jurang yang sangat dalam, dan di dasar jurang itu ada sungai yang mengalir
deras. Dia sudah berhenti melangkah, namun dia hilang keseimbangan badan.
Ketika dia hampir terjatuh ke dalam jurang, Halim sempat memegang beg galas dia
dan menariknya.
“Nasib
baik aku perasan ada jurang di hadapan kau,” ujar Halim sambil bertinggung. Wajahnya
pucat lesi dan dahinya dipenuhi peluh jantan.
Jal
terduduk. Perasaan gayat masih menyelubungi diri. Nafasnya laju dan bibirnya memutih.
Perlahan-lahan dia mendongak. Maliq, Zairi dan Moktar sedang memandangnya
dengan wajah risau. Tiba-tiba Jal tertawa kecil lalu berkata dengan angkuh, “Rilekslah,
kawan-kawan. Jangan risau sangat. Bungee
jumping lebih teruk daripada terjatuh ke dalam jurang itu.
Maliq
bersuara, “Bungee jumping ada tali
keselamatan. Sekiranya kau terjatuh ke dalam jurang itu, aku yakin kau tidak
selamat. Kau tahu betapa derasnya sungai yang mengalir di dasarnya?”
Halim
berdiri dan berkata, “Nampaknya pengembaraan kita berakhir di sini. Marilah
kita pulang.”
Maliq,
Zairi dan Moktar mengangguk.
“Nanti,
nanti,” ujar Jal sambil bangun dan berdiri. “Sudah mahu pulang? Hei, cuba
lihat. Kita boleh lompat jurang itu dan pergi ke seberang. Sudah alang-alang
kita tiba di sini, kau semua mahu pulang? Rilekslah. Tadi aku hanya cuai.
Janganlah disebabkan aku hampir terjatuh, kau semua terus mahu pulang ke
rumah.”
Moktar
melemparkan pandangan ke arah jurang yang terletak beberapa meter dari mereka. Keningnya terangkat. “Kau mahu kita semua lompat jurang itu? Kau gila! Jaraknya
lebih kurang lapan meter. Kurang satu meter sahaja daripada rekod lompat jauh Carl
Lewis!”
“Ya,
aku memang gila.” Jal meletakkan beg galasnya ke bawah. Kemudian, dia berjalan
menjauhi tebing jurang beberapa meter bagi mengambil momentum, dan bersedia
berlari.
Rakan-rakannya
mulai risau melihat tingkah-laku Jal.
Halim
cuba memujuk, “Jal, walaupun kau tiada anak dan isteri, namun cuba fikirkan
fasal ibu dan ayah kau. Kau tidak kasihan kepada mereka, sekiranya terjadi
apa-apa kepada kau?”
Jal
membisu. Dia membidik jurang yang tidak jauh di hadapannya.
Maliq
pula cuba memujuk, “Hei, apa yang akan kami jawab kepada Dato’ Seri sekiranya
berlaku sesuatu kepada kau?”
Jal
menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dia berkata dengan penuh
yakin, “Jangan risaukan aku. Selepas aku tiba di seberang sana, campakkan beg
kepada aku.”
Jal
berlari sekuat hati ke arah jurang. Bunyi tapak kakinya bergema di seluruh gua.
“Jal!
Jangan buat kerja gila!” teriak Moktar.
Zairi
bernyanyi dengan lantang, “I believe I
can fly…. I believe I can touch the sky…. I think about it every night dan
day…. Spread my wings and fly away….”
Yargh!
Jal menjerit sekuat hati dan melompat ke atas jurang. Sambil nyanyian Zairi
berkumandang, Jal terapung di udara sambil menggerakkan tangan dan kakinya.
Halim, Maliq dan Moktar memandang erat tubuh Jal yang semakin mengecil,
diiringi doa dalam hati supaya lompatan Jal berjaya. Zairi pula sedang menutup
mata sambil menyanyikan lagu I Believe I
Can Fly dendangan R. Kelly dengan penuh penghayatan.
“Alamak,
tidak mungkin aku boleh sampai ke seberang!” teriak hati Jal dengan seribu
penyesalan kerana bertindak tanpa pertimbangan rasional. Dia cuba berkuak
seperti sedang berenang, dengan harapan supaya dia berjaya tiba di tebing.
Namun, daya graviti terus menariknya ke bawah tanpa belas kasihan. Semakin
lama, tebing yang menjadi sasarannya semakin jauh, jauh dan menjauh.
Jal terjunam
ke dasar jurang dengan kelajuan hampir sepuluh meter per saat.
Kecebur!
Halim,
Maliq, Zairi dan Moktar hanya mampu memandang susuk Jal dibawa arus sungai yang
deras. Wajah masing-masing buntu dan muram.
“Pasti
kita akan dimarahi Dato’ Seri….” Maliq berkata lesu.
Moktar
menggeleng berkali-kali. “Kita sudah beri nasihat, namun dia tidak mahu dengar. Dia sangka dia
siapa? Carl Lewis? Usain Bolt? Sesuka hati sahaja mahu lompat jurang selebar ini.
Dia sangka ini longkang? Aduh.... Dia anggap hidupnya adalah permainan.”
Halim
bersuara, “Sudah, sudah. Tidak elok bercakap fasal orang yang sudah tiada. Mari
kita keluar dari gua ini dan laporkan kepada polis... dan keluarga Jal.”
Sejurus
itu, Halim berpaling dan beredar dari situ, sambil diekori oleh Maliq dan
Moktar.
“Hei,
kau tidak mahu pulang?” Moktar memanggil Zairi yang masih tercegat memandang
sungai di bawah kakinya.
Zairi
bergumam perlahan, “Kuasa lagu pun tidak mampu selamatkan kau….” Dia menggeleng
kecil dan berpaling.
Mereka
berempat berjalan secara beriringan menghala ke pintu gua.
Glup! Glup! Glup! "Tolong…." Glup!
Jal
tenggelam timbul dibawa arus deras. Nafasnya kian pendek dan tubuhnya semakin
lemah dibaham air sungai yang sejuk seperti air batu. Dia cuba berenang ke
tebing, namun pergerakannya dibatasi oleh air yang menderu.
Sesekali
kepala Jal terjunam ke dalam air. Dia mendapati sungai itu cetek sahaja, hanya
sedalam lebih kurang satu meter setengah. Namun, air yang deras membuatkan dia
tidak dapat berpijak pada dasar sungai.
Tiba-tiba,
dia ternampak tali yang tebal tergantung merentasi sungai itu. Sebaik sahaja
tiba di hadapan tali itu, dia segera mencapainya menggunakan kedua-dua tangan.
Dia cuba menstabilkan diri dan berpijak pada dasar sungai. Selepas beberapa
kali mencuba, akhirnya dia berjaya berdiri sambil bergayut pada tali.
Perlahan-lahan, dia berjalan menuju ke tebing.
“Alhamdulillah….
Aku… aku selamat. Aku sangka aku akan mati tadi,” ujar Jal yang terbaring di
atas tebing. Nafasnya tercungap-cungap dan badannya menggigil. Disebabkan tidak
dapat menahan kesejukan, dia bangun lalu membuka baju, seluar dan kasutnya yang
basah kuyup. Dia memerah pakaiannya hingga titisan air terakhir dan menghamparkannya
di atas batu besar. Dalam keadaan berlengeng, dia duduk di celah batuan sambil
memeluk lutut. Matanya tertancap pada tali yang menyelamatkannya tadi.
“Nasib
baik ada tali itu. Tetapi, itu tali apa?” Persoalan itu bermain dalam mindanya,
namun akhirnya dia buntu.
Tubuhnya
yang letih dan bunyi deruan air sungai membuatkan matanya semakin lama semakin
berat. Perlahan-lahan, kepalanya terlentok pada batu lalu dia terlena.
Jal membuka matanya yang kelat.
Telinganya terus sahaja menangkap bunyi deruan air sungai. Dia mengangkat
kepala dan menoleh ke kiri dan kanan. “Rupa-rupanya aku bukan bermimpi,”
ujarnya sambil menghela nafas panjang.
Perlahan-lahan
dia bangun. Wajahnya menyengir tatkala tubuhnya terasa sengal dan lenguh. Dia
berjalan terhincut-hincut ke arah baju, seluar dan kasutnya yang sudah kering. Segera
dia menyarung semula pakaiannya.
“Sekarang,
aku perlu cari jalan keluar….” Pantas Jal menyusun langkah dan menyusuri tebing
mengikut arah arus sungai.
Selepas
hampir setengah jam berjalan, dia tidak menemui apa-apa. Di sebelah kirinya
masih lagi sungai, dan di sebelah kanannya pula dinding batu. Perutnya sejak
tadi berbunyi minta diisi sesuatu.
Tiba-tiba
dia ternampak sebuah pintu gua, saiznya hampir sama dengan pintu rumah. Dia
menjengahkan kepalanya ke dalam gua itu. Matanya membulat. “Tempat apa ini?”
Jal
memasuki gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling. “Tempat ini seperti
pernah didiami manusia. Ia… seperti markas rahsia.”
Mata
Jal tertangkap pada pintu kayu yang terletak di hujung gua. Dia berjalan hingga
tiba di hadapan pintu itu. Pada pintu itu ada ukiran besar berbentuk ‘x’.
“Rasanya
ukiran ini dihasilkan dengan pisau. Tetapi... apa maksud ‘x’? Adakah bermakna,
dilarang masuk?” gumamnya sendirian.
Jal
cuba menolak pintu itu. Ia langsung tidak bergerak. Kemudian dia mengumpul
kekuatan dan menolaknya dengan seluruh kudrat, hingga pintu itu mula bergerak
sedikit demi sedikit. Akhirnya, ia terbuka.
Jal
masuk ke dalam bilik itu. Di dalamnya ada sebuah pelantar batu yang aneh dan
juga sebuah lukisan lama yang tergantung pada dinding. Dia mendekati lukisan
itu. Dahinya berkerut. “Lukisan apa ini? Anehnya….”
Jal
menghampiri pelantar batu yang besar berdekatan lukisan tadi. Di atas pelantar
itu, ada sepuluh lubang berupa mangkuk kecil. Di tepi pelantar pula ada sebuah
lubang besar, yang di dalamnya ada banyak batu kecil seperti guli. “Ini apa
pula? Seperti congkak yang diperbuat daripada batu....”
Jal
mengambil beberapa biji batu kecil dan masukkannya ke dalam lubang pada
pelantar. Dia melakukan perkara sama kepada lubang yang lain. Sebaik sahaja dia
selesai memasukkan batu kecil ke dalam lubang terakhir, tiba-tiba dia terdengar
bunyi dari siling.
Tak!
Dia
mendongak. Matanya membuntang apabila melihat seekor ular jatuh dari siling dan
menjunam ke arahnya. Jal segera mengelak. Ular itu jatuh terjelepuk di atas
tanah. Sebaik sahaja ular itu terpandang Jal, ia menaikkan kepalanya
tinggi-tinggi.
“Ular...
ular tedung selar! Panjangnya sekurang-kurangnya lima meter!” teriak Jal dalam
hati. Peluh nipis membasahi dahinya. Kakinya lemah dan menggeletar. Dia segera
mengingat semula fakta yang dibacanya dari ensiklopedia. “Ular tedung selar,
mampu membesar hingga enam meter. Jarak serangannya adalah dua meter. Sekiranya
aku dipatuk dan tidak dirawat... aku akan mati dalam masa setengah jam!”
Huff!
Huff! Ular itu masih membidik Jal sambil menghembus nafas.
Jal
menganggar jarak di antara dia dan ular itu. Dia mengetap bibir. Hatinya
berdetik, “Tidak sampai dua meter. Aku berada dalam lingkungan jarak serangannya.
Bila-bila masa sahaja ia boleh serang dan patuk aku.”
Perlahan-lahan,
Jal mengangkat kaki kanan.
Hisss!
Tiba-tiba, ular itu berdesir lantang sambil menyeringai, menunjukkan taringnya
yang tajam dan panjang.
Jal meletakkan
kakinya semula. “Sekiranya aku bergerak ke belakang seinci pun, ia akan
menyerang aku.”
Ular itu
kembali tenang, namun ia masih memandang Jal.
Jal menarik
nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Hatinya berkata,
“Baiklah.... Sekiranya itu yang kau mahu, mari kita berlawan mata!” Jal
memandang tepat ke mata ular itu tanpa sedikit pun menggerakkan badan. Ular itu
berbuat perkara sama.
Dua minit
terasa sangat lama. Tubuh dan wajah Jal dibasahi peluh jantan. Di dalam bilik
itu, hanya kedengaran bunyi nafas Jal dan ular itu. Masing-masing tidak mahu
mengaku kalah.
Seminit
kemudian, tiba-tiba sahaja ular itu merendahkan badan dan menyusur ke arah
pintu. Dengan ekor mata, Jal memerhatikan ia keluar dari bilik. Sebaik sahaja
ular itu menghilang, Jal terus terduduk. “Bahayanya! Aduh.... Hampir-hampir
jantung aku terkeluar!”
Jal mendongak.
Ada garisan berbentuk segi empat pada siling. Dia meneka, “Rasanya ular tadi
keluar dari situ.”. Kemudian, dia memandang pula ke arah pelantar. “Ada
kaitankah dengan batu kecil yang aku masukkan tadi?”
Usai mengumpul
semula kekuatan, Jal bangun dan berdiri. Tiba-tiba, dia terdengar satu suara.
Segera dia berlari keluar dari gua itu sambil matanya memerhatikan sekeliling,
bagi memastikan ular tadi tiada berdekatannya.
Jal keluar
dari pintu gua dan tiba di hadapan sungai. Suara yang dia dengar tadi menjadi
lebih jelas.
“Jal! Jal! Kau
di mana?”
“Hei! Aku di
bawah sini! Hei, dengar ataupun tidak!” Jal menyahut sekuat hati.
Setengah jam
kemudian, tali lembut dijatuhkan berhampirannya. Jal menghela nafas lega. Dia
tahu, dia sudah terselamat.
Jal menghempas tubuhnya ke atas katil.
Nikmat. Tiada katil yang lebih selesa daripada katilnya sendiri. Matanya tertancap
pada siling sambil mindanya memainkan semula rakaman memori bagi semua kejadian
yang berlaku tadi. Dalam masa tidak sampai beberapa jam, dua kali nyawanya
terancam. Namun kini, dia sedang berbaring di atas katilnya yang selesa. “Alhamdulillah,
syukur. Aku masih lagi diberikan peluang bernafas.”
Tiba-tiba,
dia teringat sesuatu. Segera dia mencapai iPad dari bawah bantal dan membuka
aplikasi pelayar Internet. Kemudian, dia masukkan kata kunci ke dalam kotak
carian. Sebaik sahaja keputusan carian keluar, matanya membulat. Dia membaca
beberapa artikel dengan penuh khusyuk.
“Adakah ini
benar?” gumam Jal dengan wajah tidak percaya.
Selama
beberapa jam, mata Jal tertancap pada iPad, dan sesekali tangannya pantas
menekan papan kekunci maya.
“Aku
perlu beritahu papa fasal perkara ini sekarang juga!” ujar Jal sebelum dia
capai kunci kereta dan meluru keluar dari rumah banglo lima tingkat miliknya.
Di pekarangan
rumah, tersusun beberapa kereta sport.
Jal menekan butang pada kunci kereta, serta-merta enjin sebuah Lamborghini
dihidupkan. Dia masuk ke dalam kereta dan menanti pintu pagar automatik terbuka
sepenuhnya. Kereta berwarna merah darah itu dipandu keluar dari pekarangan.
Tidak sampai sesaat, ia menderu laju di atas jalan raya.
Ting! Tong!
“Siapa?” tanya
satu suara garau daripada mesin interkom yang terletak di atas butang loceng
rumah.
“Saya Jal.
Saya mahu jumpa papa sebentar. Ada perkara penting.”
“Sebentar,”
sahut suara itu.
Seketika
kemudian, pintu pagar besi setinggi tiga meter terbuka. Sambil membimbit iPad, Jal
melangkah pantas memasuki pekarangan rumah banglo tujuh tingkat milik keluarganya.
Jal
masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki berusia lima puluhan datang menghampiri
Jal dengan wajah manis lalu berkata, “Sebentar lagi Dato’ Seri akan turun. Tuan
muda duduk sebentar, ya. Saya akan hidangkan air minuman.”
Jal
mengangguk. Dia duduk bersandar di sofa, meregangkan otot dan sendinya yang
masih terasa sengal dan pedih. Udara nyaman daripada pendingin hawa membuatkan
dia terasa seperti mahu tidur. Namun, dia masih ada misi yang belum selesai.
“Ada
apa kamu datang malam buta begini? Bukankah papa suruh kamu berehat sahaja di
rumah kamu?” ujar seorang lelaki berambut sedikit yang sedang menuruni tangga
elips.
Jal
segera bangun dari sofa. “Maaf kerana mengganggu pada waktu begini. Saya ada
perkara mahu bincangkan dengan papa.”
“Apa
hal yang penting sangat hingga tidak boleh tunggu esok?” tanya Dato’ Seri Wazir
sebelum dia duduk di atas sofa.
“Saya
mahu tunjukkan penemuan saya kepada papa.” Jal segera duduk di sebelah ayahnya dan
menunjukkan paparan pada iPad. “Saya terjumpa sesuatu.... Sesuatu yang pasti
mampu menarik minat papa.”
Dato’
Seri Wazir memandang skrin iPad dengan wajah tidak berminat. Namun seminit
kemudian, wajahnya serta-merta berubah. Bibirnya yang hitam tersenyum, dan
matanya yang kuyu bersinar galak. “Benarkah semua yang kamu tunjukkan ini?”
Dato’ Seri Wazir mahu kepastian.
Jal
segera mengangguk. “Benar, papa!”
Dato’
Seri Wazir tertawa kecil. “Bagus, bagus! Jangan biarkan ‘benda’ itu terlepas ke
tangan orang lain. Pastikan ia jadi milik kita. Sekiranya kamu perlukan wang,
cakap sahaja kepada papa. Lima juta, sepuluh juta? Papa akan berikan kepada
kamu, asalkan kita dapat ‘benda’ itu.”
“Baik,
papa!” sahut Jal sambil tersenyum lebar. Hilang semua penat dan sengal pada
tubuhnya.
TAMAT BAB 1
No comments:
Post a Comment