Bab 2: Perjuangan
Di pusat pentadbiran Putrajaya....
Beberapa
pegawai berjawatan tinggi dan berpakaian sut lengkap sedang duduk di sekeliling
meja berbentuk elips. Raut wajah mereka serius. Mereka semua memandang ke arah seorang
lelaki pertengahan abad, yang sedang berdiri tegak di tepi tingkap sambil
melihat ke luar.
“Apa
tujuan Dato’ adakan mesyuarat ini?” soal pegawai berkening tebal kepada lelaki
di tepi tingkap.
Dato’
Dr. Romzey berpaling dan menghadap para pegawai di meja. Dengan wajah muram dia
berkata, “Tujuan saya mengumpulkan tuan-tuan dan puan-puan semua, adalah kerana
saya mahu umumkan sesuatu.”
“Apa
dia, Dato’?” tanya pegawai wanita berkaca mata.
Dato’
Dr. Romzey mengeluh panjang. “Saya sudah dilucutkan daripada memegang jawatan pengerusi
ahli jawatankuasa Pertandingan Matematik Kebangsaan.”
Semua
pegawai terkejut besar. Ada yang terjatuhkan pen, ada yang tersedak dan ada
juga yang tertelan gula-gula getah yang dikunyah.
“Dato’,
tolong serius sedikit. Kami tahu Dato’ gemar berjenaka, tetapi ini bukan masa
yang sesuai untuk bergurau.” Seorang pegawai berwajah lonjong bersuara dengan
penuh bersungguh.
Dato’
Dr. Romzey menggeleng beberapa kali. “Saya tidak bergurau! Baru pagi tadi saya
terima panggilan telefon daripada menteri sendiri. Dia mahu saya berundur dan beri
peluang kepada muka baru.”
Pegawai
lelaki bertubuh kerdil bangun dan berkata lantang, “Tetapi, Dato’ adalah
pengasas pertandingan itu! Dato’ adalah orang paling komited setiap kali
pertandingan diadakan. Saya tidak boleh terima keputusan ini!”
“Kaki
ampu,” bisik pegawai di sebelahnya.
Dato’
memandang tajam pegawai bertubuh kerdil itu. “Sekiranya begitu, bolehkah kamu
bersemuka dengan menteri dan bantah keputusan dia secara terang-terangan? Demi
saya?”
Pegawai
bertubuh kerdil terdiam. Dia mati bicara lalu duduk semula. Dia merasakan semua
mata memandang ke arahnya pada saat ini. Kekesalan terbit dalam hatinya yang
juga kerdil.
Suasana
menjadi sunyi dan janggal seketika. Masing-masing tertunduk memandang meja yang
kosong dan sejuk. Hanya kedengaran bunyi pendingin hawa yang tidak henti-henti
menyalurkan angin nyaman ke dalam bilik, namun rasa nyaman itu langsung tidak
terjangkau ke dalam hati mereka.
Tiba-tiba,
pegawai lelaki berambut terbelah tengah bersuara, “Siapa pengganti Dato’?”
Dato’
Dr. Romzey terdiam seketika.
Pegawai
itu berkata lagi, dengan suaranya yang nyaring seperti bunyi siren bomba, “Maksud
saya... siapakah orang yang bakal menjadi pengerusi ahli jawatan kuasa bagi
Pertandingan Matematik Kebangsaan?”
“Saya
faham! Saya faham soalan kamu! Tidak perlu bertanya lagi dengan susunan ayat
yang berbeza!” balas Dato’ Dr. Romzey dengan nada marah.
Pegawai
itu tertunduk kesal. “Maafkan saya....”
Dato’
Dr. Romzey menghela nafas panjang. “Orang yang menggantikan saya adalah....”
“Saya!”
Semua
yang berada di dalam bilik menoleh ke muka pintu. Seorang lelaki berkaca mata
hitam, berambut panjang hingga bahu dan berkulit sawo matang sedang berdiri di
situ sambil tersenyum sinis.
“Fayzal?”
teriak pegawai berambut terbelah tengah, sambil menuding ke arah lelaki yang
dimaksudkannya.
Semua
pegawai yang duduk di sekeliling meja terkejut besar.
“Maksud
saya adalah Fayzal Taheer, anak menteri!” ujar pegawai berambut terbelah tengah
lagi.
Pegawai-pegawai
lain berkata dengan serentak, “Tahulah!”
Fayzal
Taheer membuka kaca mata hitam dan meletaknya di atas rambut. Dia berjalan
perlahan melintasi bilik itu dan berhenti di hadapan Dato’ Dr. Romzey. Dia tersenyum
dan berkata, “Dato’ Dr. Romzey.... Legenda matematik yang tersohor di seluruh
negara. Tiba masanya bagi kamu berundur dan beri peluang kepada orang muda
seperti saya, pegang jawatan kamu!”
Dato’
Dr. Romzey menjawab, “Silakan. Saya sudah pegang jawatan ini selama berpuluh
tahun. Sekiranya pengunduran saya mampu memajukan lagi Pertandingan Matematik
Kebangsaan, saya lebih daripada rela. Good
luck!” Dato’ Dr. Romzey menghulurkan salam kepada Fayzal.
Fayzal
tersenyum sinis. Tanpa mencapai huluran salam itu, dia duduk di atas kerusi
pengerusi mesyuarat. Sambil berputar di atas kerusi, dia berkata, “Luck? Maaf, saya tidak perlukan luck.”
Fayzal berhenti berputar. Dia meletakkan
tangan di atas meja dan menghadap semua pegawai. Dengan wajah serius dia
berkata, “Saya perlukan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada semua
ahli jawatan kuasa di sini!”
Semua pegawai
terdiam sambil memandang wajah ketua baru mereka.
Tanpa menoleh,
Fayzal Taheer berkata kepada Dato’ Dr. Romzey, “Mengapa kamu masih di situ?
Mahu saya tunjukkan jalan keluar?”
Dato’ Dr. Romzey
mendengus kecil. “Tidak perlu. Saya tahu pintu di mana. Saya sudah gunakan
bilik mesyuarat ini sejak kamu berada di dalam perut ibu kamu lagi.” Usai
bicara, dia segera melangkah keluar dari bilik.
Pegawai bertubuh
kerdil terlepas derai tawa, namun dengan cepat dia menekup mulut.
Fayzal Taheer menjeling
tajam ke arah pegawai itu. Perlahan-lahan pegawai itu menggelongsor ke bawah
hingga kepalanya tidak kelihatan.
Bam! Bunyi
pintu dihempas oleh Dato’ Dr. Romzey.
Fayzal
menghembus nafas dengan kuat. “Baiklah, sekarang mantan pengerusi sudah berhambus,
marilah kita mulakan mesyuarat kita. Pertama sekali, saya mahu lihat dokumen
sistem pertandingan yang sedia ada.”
Pegawai wanita
berwajah seperti Lisa Surihani menghulurkan sebuah buku kepada Fayzal Taheer.
“Oh, terima
kasih si manis!” ujar Fayzal Taheer sambil mencapai buku itu. Dia mengambil
masa beberapa minit meneliti kandungannya.
Usai puas
membelek buku itu, Fayzal Taheer mengeluarkan pemetik api daripada poket
seluarnya.
“Ini adalah kawasan
larangan merokok,” tegur pegawai berwajah lonjong.
“Saya tahulah.
Malah saya bukannya perokok. Saya tahu merokok membahayakan kesihatan,” jawab Fayzal
Taheer dengan nada dingin.
“Jadi encik
mahu buat apa dengan pemetik api itu?” soal pegawai berwajah lonjong lagi.
“Saya mahu
buat begini.” Fayzal Taheer menghidupkan api dan membakar buku pada tangannya.
Kemudian, dia biarkan buku itu hangus di atas meja.
Semua pegawai
terlopong melihat buku itu terbakar hingga menjadi debu.
Fayzal Taheer bersuara,
“Saya tidak mahu gunakan sistem pertandingan yang lembik begini. Saya mahu wujudkan
sistem baru. Sistem yang lebih mencabar. Sistem yang lebih adventurous. Sistem yang lebih kejam!”
“Tetapi,
encik....” Pegawai berwajah seperti Lisa Surihani mencelah, “Ini sekadar
pertandingan. Encik perlu pertimbangkan keadaan para peserta. Mereka pelajar
sekolah....”
Fayzal Taheer tertawa
kecil. Dia bangun dari kerusi dan memandang ke luar tingkap. Dengan pandangan
tajam, dia berkata, “Ini bukan lagi pertandingan. Ini adalah perjuangan!”
Pada satu malam yang tidak gelap dan tidak terang....
Dua remaja
sedang berusaha memanjat pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perling. Seorang
tubuhnya besar seperti ahli bina badan, manakala seorang lagi kecil seperti
kanak-kanak. Lelaki bertubuh besar menggalas sebuah beg manakala lelaki bertubuh
kecil memakai beg pinggang.
Usai memanjat
dengan bersusah-payah, mereka berjalan pantas melintasi beberapa blok bangunan.
Tiba-tiba, lelaki kecil itu ternampak seorang pengawal keselamatan sedang
meronda.
“Hei,
sembunyikan diri!” bisik lelaki kecil kepada lelaki besar.
Mereka
berdua segera bersembunyi di belakang tembok. Selepas pengawal keselamatan itu
menghilang, mereka berdua meneruskan langkah. Beberapa minit kemudian, mereka
tiba di hadapan pintu sebuah bilik.
Lelaki
kecil berbisik, “Seperti yang saya jangka, mereka kunci pintu bilik ini
menggunakan mangga besi. Tidak mengapa. Nasib baiklah saya ada bawa peralatan.”
Lelaki kecil mengeluarkan sesuatu daripada beg pinggang.
Lelaki
besar berkerut lalu dia bersuara, “Gunting? Awak sangka awak mampu buka mangga besi
ini dengan gunting?”
“Ini
sahaja benda tajam yang ada di rumah saya. Tidak bolehkah?” jawab lelaki kecil.
Lelaki
besar menggeleng beberapa kali. “Mana boleh! Awak sangka mangga itu diperbuat
daripada kertas? Biar saya yang buka mangga itu.”
Lelaki besar
berdiri di hadapan pintu dan memegang mangga menggunakan kedua-dua belah
tangannya.
Lelaki
kecil itu terkejut. “Awak mahu buka mangga itu dengan tangan kosong?”
“Sekiranya Sakuragi Hanamichi boleh
lakukannya, mengapa tidak saya?” Usai bicara, lelaki besar menarik nafas
dalam-dalam dan menghembus perlahan. Matanya memandang tajam mangga pada
tangannya manakala wajahnya serius seperti sedang menjawab soalan ujian.
Lelaki
kecil membisu, memberi peluang kepada rakannya menumpukan perhatian.
“Hek!”
teriak lelaki besar. Prak! Mangga itu terkopak daripada pintu.
“Mari
kita masuk ke dalam,” ujar lelaki besar dengan tenang sambil menolak daun pintu
dan masuk ke dalam bilik.
Lelaki
kecil memandang mangga itu dengan wajah tidak percaya. “Bagaimana dia mampu
lakukan ini dengan tangan?”
Lelaki
besar memanggil dengan nada berbisik, “Hei, cepat sedikit! Bagaimana sekiranya
pengawal keselamatan datang semula?”
Lelaki
kecil segera masuk ke dalam bilik dan menutup pintu.
Bilik
itu hanya disinari oleh cahaya bulan yang menerobos masuk menerusi kaca
tingkap. Di dalam bilik itu, ada sepuluh meja panjang, dan di atas setiap meja
ada dua komputer peribadi. Di bahagian hadapan bilik, ada sebuah meja besar
berserta sebuah komputer peribadi dan papan putih. Manakala di belakang bilik,
ada sebuah rak besi tiga tingkat yang menempatkan enam suis rangkaian.
“Saya
tidak jumpa suis lampu,” ujar lelaki besar sambil melilaukan mata melihat
sekeliling bilik.
“Hei,
mana boleh buka lampu! Awak mahu kita ditangkap?” balas lelaki kecil. Dia keluarkan
lampu suluh LED daripada beg pinggang dan menghidupkannya. Bilik itu menjadi
lebih terang selepas dilimpahi cahaya putih.
“Oh...
Jadi, apa yang perlu kita lakukan sekarang?” soal lelaki besar sambil menggaru
kepala.
“Mari
kita pergi ke rak besi di belakang sana.”
Mereka
berdua berjalan pantas menuju ke bahagian belakang bilik.
“Keluarkan komputer,” arah lelaki kecil,
sebaik sahaja mereka tiba di hadapan tindanan suis rangkaian yang mengeluarkan
kelipan lampu kecil berwarna merah dan kuning, seperti UFO.
Lelaki
besar patuh, lalu dia mengeluarkan komputer Macbook Air tujuh belas inci daripada beg yang digalasnya. Lelaki kecil
mengambil komputer itu dan meletakkannya di atas salah sebuah suis rangkaian.
Sementara
menanti komputer itu dihidupkan, lelaki besar bertanya, “Saya masih tidak
faham. Mengapa awak tidak godam sahaja dari rumah? Mengapa perlu datang ke
sekolah malam-malam begini? Awak tahu hukuman yang menanti kita sekiranya kita
ditangkap?”
Lelaki
kecil menjawab sambil memandang skrin komputer, “Saya sudah cuba, namun tidak
berjaya. Sistem keselamatan rangkaian sekolah ini sangat hebat dan kebal.
Sebarang akses daripada alamat IP yang tidak dikenali akan disekat sepenuhnya.
Analoginya adalah seperti cuba menembusi Tembok Besar China menggunakan pen.
Namun, sekiranya saya hubungkan komputer saya kepada suis rangkaian, dengan
mudah sahaja saya boleh tukar configuration
rangkaian dan menyahaktif sistem keselamatan buat sementara waktu. Selepas itu
saya boleh akses sistem maklumat data tanpa sebarang sekatan. Sistem
keselamatan rangkaian sekolah ini memang hebat, namun bilik ini langsung tidak
dijaga. Ia seperti mengunci selipar menggunakan mangga besi bagi mengelakkan ia
dicuri.”
Lelaki
besar berkerut. Dia cuba memahami kata-kata rakannya. “Ada satu perkara sahaja
yang saya tidak faham. Mengapa perlu tembusi Tembok Besar China? Mengapa tidak
panjat sahaja tembok itu? Bukankah lebih mudah begitu?”
Lelaki
kecil menepuk dahi. “Tadi itu analogi sahaja. Saya mahu beri gambaran betapa
kukuhnya sistem keselamatan rangkaian sekolah ini. Itu sahaja.”
Lelaki
besar mengangguk dengan wajah serius. “Saya faham. Senang kata, sistem
keselamatan sekolah ini cool, bukan?
“Ya,
ya.... Cool.” Lelaki kecil sudah
malas hendak layan rakannya itu. Selepas sistem operasi komputer berjalan
sepenuhnya, dia berkata, “Tolong keluarkan kabel daripada beg. Berikan saya
hujung kabel itu, dan satu hujung lagi pasangkan kepada port konsol di belakang suis rangkaian.”
Lelaki
besar patuh. Dia memberikan hujung kabel kepada lelaki kecil. Lelaki kecil
segera memasukkan hujung kabel ke dalam port
pada komputernya. Kemudian, lelaki besar membawa hujung kabel yang satu lagi ke
belakang suis rangkaian.
“Sudah
pasang?” soal lelaki kecil.
“Sudah.”
Lelaki
kecil berkerut memandang skrin komputer. Dia bergumam perlahan, ”Mengapa tiada connection? Adakah pada suis rangkaian
ini terpasang sistem keselamatan dalaman? Seriuskah?”
Lelaki kecil
pergi ke belakang suis rangkaian dan melihat sambungan kabel. Matanya membulat.
“Hei, bukan begini sambungannya! Tempat yang awak masukkan itu adalah lubang
udara.” Lelaki kecil cabut hujung kabel daripada lubang udara dan masukkannya
ke dalam port yang sebenar.
“Oh,
salah, ya?” Lelaki besar menggosok belakang kepalanya sambil menjelir lidah.
Lelaki
kecil kembali ke hadapan komputer. “Okey, barulah ada connection. Baiklah, masa untuk bekerja.” Dia mula menekan papan
kekunci dengan kelajuan super pantas hingga jarinya sukar dilihat.
Setengah
jam berlalu dirasakan begitu lambat. Kedua-dua lelaki itu dibasahi peluh akibat
suhu bilik yang panas tanpa kipas apatah lagi pendingin hawa. Hanya kedengaran
bunyi papan kekunci ditekan pantas.
Lelaki
besar bersuara dengan wajah muram, “Hei, cepatlah sedikit. Saya sudah tidak
larat. Panas, lapar, letih. Semua ada!”
“Baiklah,
sudah siap! Saya sudah boleh akses sistem maklumat pelajar. Mari lihat!” ujar
lelaki kecil dengan nada dan wajah teruja.
Lelaki
besar mendekati rakannya dan mereka sama-sama melihat skrin komputer. Sesekali,
lelaki kecil menekan papan kekunci dan menggerakkan kursor.
Seketika
kemudian, mereka ternganga luas. “Hah?”
Jam menunjukkan tepat enam pagi. Sina
menggantung kain sejadah ke atas ampaian besi kecil. Dia menghampiri mejanya di
hadapan tingkap dan duduk di atas kerusi kayu yang keras. Matanya memandang suasana
luar yang gelap dan suram. Jalan raya masih lengang manakala kedai-kedai belum
dibuka.
Angin sejuk
berhembus masuk ke dalam biliknya, membuatkan rambutnya yang hitam pekat
terolang-aling. Kipas kecil yang diikat pada tingkap berputar pantas. Dia
memandang awan besar yang berarak perlahan di langit.
Sina
bangun dari kerusi. Dia yang sudah lengkap berpakaian sekolah, menggalas beg
dan berjalan menuruni tangga. Berkeriut tangga kayu itu setiap kali dia
melangkah.
“A...
Assalamualaikum, ibu,” ucap Sina kepada seorang wanita yang sedang menyapu
lantai.
Puan
Jasnita berhenti menyapu. Dia tersenyum sebaik sahaja melihat wajah anak
tunggalnya. “Waalaikumussalam. Apa khabar kamu pagi ini?”
Sina
membalas senyuman ibunya. “Alhamdulillah, saya seperti biasa. A... ada yang
boleh saya bantu sebelum saya ke sekolah?”
“Ya.
Tolong ambilkan stok makanan ringan dari stor dan letakkan di rak, ya.”
“Baik,
ibu.”
Sina
meletakkan begnya di atas kaunter dan mula laksanakan permintaan ibunya. Dia mengangkat
dua kotak besar dari stor dan meletakkannya di hadapan rak makanan ringan. Dia melihat
dengan teliti setiap bungkusan makanan ringan daripada kotak sebelum dia susun
di atas rak.
Puan Jasnita terperasan
hal itu. Dia bertanya kepada Sina dengan lembut, “Mengapa kamu meneliti setiap bungkusan
makanan ringan sebelum letak di atas rak?”
Sina menjawab,
“Mu... mula-mula, saya lihat tarikh luput pada setiap bungkusan. Sekiranya ada
yang sudah melepasi tarikh luput, saya akan buang. Kemudian, saya susun setiap
bungkusan mengikut nombor pada kod bar.”
Puan Jasnita
mengangguk sambil tersenyum.
Ketika jam
hampir menunjukkan pukul tujuh pagi, Sina selesai menyiapkan kerja itu.
“Saya pergi dahulu,
ya,” ujar Sina sambil berjalan menghampiri Puan Jasnita yang sedang membuat
kira-kira di kaunter. Dia menggalas beg dan salam tangan ibunya.
“Hati-hati
berjalan.” Sempat Puan Jasnita berpesan.
Sina
mengangguk. Dia berjalan ke pintu dan mencapai payung yang tersandar di tepi
pintu lalu keluar dari kedai.
Puan Jasnita
berkerut. “Cuaca di luar nampak baik sahaja. Mengapa dia bawa payung?”
Sina,
pelajar sekolah berusia 16 tahun. Dia tinggal bersama ibunya di sebuah rumah
kedai murah di tengah-tengah Bandar Johor Bahru. Ayahnya meninggal dunia ketika
dia masih kecil. Kini, dia disara oleh ibunya, iaitu pemilik kedai runcit
kecilan yang tidak banyak barang jualan dan tidak ramai pelanggan.
Jalan
raya sudah dipenuhi kenderaan dan pejalan kaki. Kedai-kedai sudah dibuka dan
beroperasi sepenuhnya. Suasana yang sepi sebentar tadi kini menjadi
hiruk-pikuk.
“2078...
2079... 2080... 2081....”
Sambil
berpayung, Sina asyik mengira jumlah batu-batu kecil yang ditemuinya di
sepanjang jalan. Ramai orang memandang ke arahnya dengan perasaan aneh.
“Gila! Cuaca
baik begini pakai payung pula,” ujar salah seorang pejalan kaki yang berselisih
dengan Sina.
Sina terdengar
kata-kata itu, namun sedikit pun dia tidak kisah. Kakinya tidak henti melangkah
dan bibirnya tidak henti mengira.
Zap!
Petir berdentum di langit. Serta-merta hujan turun mencurah. Semua pejalan kaki
berlari mencari tempat berteduh. Laluan yang sesak sebentar tadi, kini hanya
dilalui oleh Sina yang berjalan dengan tenang sambil bibirnya terkumat-kamit
menyebut nombor.
Di dalam kelas, Sina duduk dalam barisan
paling belakang. Semasa waktu pertukaran kelas, para pelajar sibuk berbual-bual
bersama rakan masing-masing. Hanya Sina duduk sendirian di mejanya sambil
memandang ke luar tingkap. Dia asyik mengira jumlah daun pada sebatang pokok di
luar kelas.
Tiba-tiba,
seorang guru wanita melangkah masuk ke dalam kelas. Suasana hingar-bingar
bertukar sunyi. Guru muda itu bersuara, “Hebat transformasi kamu, ya. Dari luar
tadi, cikgu dengar seperti pasar. Apabila cikgu masuk ke dalam, terus bertukar
menjadi seperti perpustakaan.”
Beberapa
pelajar tertawa kecil.
Selepas
meletakkan beg dan buku di meja, guru itu berkata lagi, “Assalamualaikum,
kelas. Nama cikgu Mona Liza, panggil sahaja Cikgu Mona. Insya-Allah, mulai hari
ini cikgu akan mengajar kamu mata pelajaran matematik, menggantikan Cikgu Nasya
yang bakal bersalin.”
Seorang
pelajar lelaki yang duduk di hadapan Sina, berkata sesuatu kepada rakan
semejanya. Sina memasang telinga.
“Alamak, rupa-rupanya Cikgu Mona yang jadi
cikgu pengganti. Aduh, mimpi ngeri!” ujar pelajar itu dengan nada berbisik.
“Mengapa?”
soal rakannya.
“Cikgu
Mona adalah guru baru di sekolah ini. Kau tahu? Dia graduan Universiti Oxford
dalam jurusan matematik! Diulangi, Universiti Oxford! Bukan calang-calang,
tahu? Kawan saya dari kelas sebelah cakap, cikgu ini sangat tegas dan gemar
memberi soalan sukar kepada pelajar. Pernah satu ketika, satu kelas didenda
berdiri di atas kerusi kerana gagal menjawab soalan,” jelas pelajar itu panjang
lebar, siap dengan gaya tangan dan mimik muka.
Rakannya mendengar dengan mulut
terlopong.
Suara
Cikgu Mona yang lembut berkumandang di seluruh kelas, “Baiklah, sekarang cikgu
mahu uji pengetahuan kamu semua dalam matematik. Cikgu akan beri satu soalan,
dan sekiranya tiada siapa mampu menjawabnya, kamu semua perlu berdiri di atas
kerusi.”
Para
pelajar terkejut mendengarnya. Mereka hairan melihat guru itu, yang baru hari
pertama mengajar sudah mahu mendenda.
Cikgu
Mona menulis soalan pada papan hitam. “Antara semua angka ini, nombor manakah
yang boleh dibahagi dengan lima? 24, 21, 35, 59 ataupun 78?”
Seorang pelajar lelaki mengangkat
tangan lalu menjawab dengan yakin, “35, cikgu.”
Cikgu Mona tersenyum. “Siapa
lagi yang menjawab 35? Sila angkat tangan.”
Semua pelajar di dalam kelas
itu mengangkat tangan mereka tinggi-tinggi. Mereka begitu yakin mereka memilih
jawapan yang betul.
Cikgu Mona terperasan ada
seorang pelajar tidak mengangkat tangan, lalu dia berkata kepada pelajar itu, “Jawapan
kamu bukan 35? Jadi, apa jawapan kamu?”
Dengan rasa malu-malu, Sina
berdiri dan menjawab, “Se... semua nombor itu boleh dibahagikan dengan lima. 24
dibahagi lima menjadi empat perpuluhan lapan. 21 dibahagi lima menjadi empat
perpuluhan dua. 35 dibahagi lima menjadi tujuh. 59 dibahagi lima menjadi 11.8.
78 dibahagi lima menjadi 15.6. Maksud pembahagian adalah satu nombor dibahagi
kepada satu nombor dan menghasilkan nombor yang baru. Tidak tertulis dalam
mana-mana buku matematik, hasil pembahagian perlu dalam bentuk angka genap.”
Cikgu
Mona terdiam mendengar jawapan itu. Keningnya terangkat tinggi. Seketika
kemudian, dia tersenyum dan berkata, “Ya, tepat sekali jawapan kamu. Semua
nombor boleh dibahagi dengan lima.”
Pelajar-pelajar
yang lain ternganga. Mereka tidak sangka jawapan dalam fikiran mereka sama
sekali tidak tepat. Malah, mereka langsung tidak terfikir jawapan yang keluar
dari mulut Sina.
“Boleh
saya tahu nama kamu?” tanya Cikgu Mona.
“Na...
nama saya... Sina Rahman bin Abdul Latif,” jawab Sina tanpa memandang wajah
Cikgu Mona.
“Baiklah
Sina, kamu boleh duduk,” ujar Cikgu Mona sambil tersenyum lebar. Kemudian, dia
memandang pelajar yang lain. “Disebabkan ada pelajar yang berjaya menjawab
soalan saya dengan tepat, maka kamu semua terlepas daripada didenda berdiri di
atas kerusi.”
Seluruh
kelas bersorak riang.
“Sekarang
kita akan mulakan sesi pembelajaran. Sila keluarkan buku nota dan buku teks masing-masing,”
arah Cikgu Mona.
TAMAT BAB 2
No comments:
Post a Comment