Monday 20 May 2013

Dua Tahun

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jarang sekali saya menulis perihal peribadi. Namun hari ini saya terbuka hati bagi mencoret sedikit catatan peribadi di blog ini. Sebuah cerita.



Foto pertama




Foto di atas ini adalah permulaan kepada segala-galanya. Foto pertama saya dan Cik Isteri, Husna Adnan. Kami bertemu semasa event book signing pertama saya di sebuah pusat membeli-belah di Johor Bahru. Waktu itu, Cik Isteri bekerja sebagai editor PTS yang berdedikasi. (Memang dia sangat berdedikasi, sanggup membawa balik PC ofis untuk sambung buat kerja di rumah pada waktu malam!)

Sewaktu pertama kali melihat wajah dia, saya langsung tidak menyangka... dialah jawapan kepada satu soalan yang sudah sekian lama terlekat pada papan kenyataan minda saya.


"Siapa jodoh saya?"


Setahun setengah selepas saya bertemu dia, sebaik saya melafazkan "aku terima nikah....", jawapan itu menjadi jelas, nyata, dan terang. Dialah jodoh saya, yang Allah pinjamkan kepada saya. Nur Hidayahtul Husna binti Adnan. (Nama beliau panjang bukan? Saya berlatih lafaz nikah beratus kali bagi memastikan saya tidak tersasul menyebutnya.)

Cik Isteri adalah insan istimewa. Sekiranya saya diculik oleh alien, dia tidak akan menangis dan merintih, tetapi dia akan naik roket dan cari saya di angkasa. Kuat, gigih, dan berani.


Tiga sahabat baik




Tidak pernah puas bibir ini mengungkap lafaz "alhamdulillah". Sesungguhnya kisah ini hanya terjadi atas keizinan Allah yang maha penyayang dan yang tidak putus memberi rahmat.

Sebuah kisah cinta tidak lengkap tanpa ujian, begitu juga kisah kami. Antara dua keping foto di atas, terlipat kemas pelbagai kisah yang berintikan cabaran dan bersulamkan dugaan, namun bersimpulkan bahagia. Bahagia itu kian kuat menyimpul dengan kehadiran bidadari kecil yang berwajah bulat, Afia Zara.



Afia memakai baju abah yang bersaiz L



Afia seorang makhluk ajaib. Memang ajaib. Hanya mendengar dia buang angin pun, sudah cukup membuatkan kami suami isteri tersenyum lebar. Sungguh! Ajaib, bukan? Itu belum lagi mendengar dia tertawa riang, pasti tawanya berjangkit kepada kami. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kami berdua dalam mendidik si kecil bulat ini hingga menjadi seorang wanita Muslimah super!

Alhamdulillah, hari ini genap dua tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai suami. Memang tidak mudah, tetapi Allah sentiasa ada untuk membantu. Saya berharap, dan saya begitu berdoa, supaya Allah panjangkan usia perkahwinan kami di dunia, dan dilanjutkan pula hingga Syurga.



Kepada Cik Isteri, terima kasih....

Terima kasih kerana sudi berkahwin dengan saya.
Terima kasih kerana masih sudi bersama saya.
Terima kasih kerana melahirkan Afia.
Terima kasih kerana sentiasa menemani saya.
Terima kasih kerana terima kelemahan diri saya.
Terima kasih kerana sudi harungi ujian bersama saya.
Terima kasih kerana mencintai saya.
Terima kasih, terima kasih, dan terima kasih....

:) <3

Nazry dan Husna
20 Mei 2011 - Syurga


Saturday 11 May 2013

Button Badge Cool!



Assalamualaikum dan selamat sejahtera!

Button badge itu cool, bukan ? :) Ada beberapa orang bertuah sudah memiliki button badge Nazry Salam yang eksklusif, antaranya adalah para pembeli terawal novel terbaru saya, berjudul Lukisan Hati. Tahniah diucapkan! Bolehlah sambil baca buku sambil pakai button badge cool itu.

Buat pengetahuan semua, button badge Nazry Salam dihasilkan oleh Ifas-creative, iaitu sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai barang merchandise seperti booklet, kemeja-T, kain rentang, dan stamp. Servisnya terbaik! Harga juga berpatutan. 

Ini adalah harga bagi seunit button badge berdasarkan jumlah tempahan:

Kuantiti 1-100 = RM 2.30
Kuantiti 101 - 300 = RM 2.00
Kuantiti 301-500 = RM 1.80
Kuantiti 501- 1000 = RM 1.50
Kuantiti 1001 ke atas = RM 1.30


Ini pula page Facebook rasmi Ifas-creative:

facebook.com/IfasCreative



Alhamdulillah, saya menyukai kualiti button badge Nazry Salam! Saya tidak sabar memberikan semuanya kepada para pembaca yang bertuah supaya mereka dapat memakainya dan meningkatkan tahap cool masing-masing. Yeah!

Novel terbaru saya, Lukisan Hati, bergambar intim bersama button badge eksklusif Nazry Salam!


Longgokan buku hasil karya saya bersama button badge cool!


Afiq Salam bergambar bersama Adik Aliff Shamsul Akmal yang memakai button badge Nazry Salam


Saya dan Afiq Salam bergambar bersama Zulhairy


Bagi mereka yang mahu memiliki button badge Nazry Salam yang eksklusif, teruskan ikuti perkembangan page Facebook saya, ya. Insya-Allah, saya akan adakan lagi giveaway dan peraduan dengan button badge itu sebagai salah satu hadiahnya. Stay tuned! :)

Sekian sahaja. Teruskan menyokong!

Wassalam.