Tuesday 18 December 2012

Entri 13: Komika #2 (Bahagian 1)


Bab 1: Harmoni
Kring!
Norman membuka matanya separuh. Dia mengambil jam loceng yang diletakkan di tepi telinga, dan melihat jarum jam yang berpusing. Tepat jam enam pagi. Dia mematikan loceng dan bingkas dari katil.
            Sedikit terhoyong-hayang, Norman berjalan ke tingkap bilik dan membuka pintu jendela seluasnya. Angin nyaman menyerbu masuk ke dalam bilik. Cicipan burung dan kokokan ayam jantan yang berselang-seli, menerpa gegendang telinganya. Pemandangan yang hijau dan segar memenuhi pandangan matanya.
            Norman menggeliat. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sambil tersenyum manis, dia berkata, “Alhamdulillah, satu lagi hari sibuk menanti….”
            Selepas mandi dan bersolat subuh, Norman mengenakan pakaian sekolah yang sudah siap digosok malam tadi. Sambil memasang tali leher di hadapan cermin, dia bernyanyi lagu nasyid kegemarannya. Usai lengkap berpakaian sekolah, dia menyisir rambut dengan sikat rongak. Sesudah rapi, dia menyarung beg dan berjalan ke pintu.
Sebelum tiba di pintu, langkah Norman terhenti. “Oh, hampir-hampir terlupa benda paling penting.” Dia berpusing dan melangkah ke meja. Di atas meja, ada sebuah fail lutsinar bersaiz A4. Sambil mengangkat fail itu, Norman berdesis, “Sekiranya fail ini tertinggal, tidak dapatlah aku lukis komik di sekolah.” Dia memasukkan fail ke dalam beg dan keluar dari bilik.
Norman pergi ke dapur. Di meja dapur, ibu dan adik lelakinya sedang tekun menikmati sarapan.
“Assalamualaikum,” ucap Norman sambil menyeret kerusi dari bawah meja. Bibirnya tidak lekang melakar senyuman.
Puan Haryani dan Solehin menoleh serentak, lalu mereka membalas salam dengan serentak, “Waalaikumussalam….”
Usai duduk, Norman melihat juadah yang terhidang di atas meja. Matanya membulat manakala senyumannya melebar. “Wah, keledek rebus! Kegemaran saya!”
Solehin menyahut dengan mulut dipenuhi keledek rebus, “Kegemaran saya juga!” Kanak-kanak berusia enam tahun itu mengangkat tinggi ibu jarinya.
Puan Haryani tersenyum lebar. Dia memerhatikan anak-anaknya yang begitu berselera menikmati hasil air tangannya. Selama seketika, suasana hening tanpa butir bicara, hinggalah Puan Haryani berkata kepada Norman, “Ibu lihat, anak orang lain begitu liat bangun pagi dan pergi sekolah. Tetapi, setiap hari kamu bangun sendiri, dan pergi sekolah dengan gembira. Mengapa agaknya, ya?”
Norman tersengih dengan mulut penuh. Barisan giginya diselaputi keledek rebus.
 Solehin tertawa dengan kuat. “Gigi abang berwarna oren!”
Usai menelan, Norman berkata kepada Solehin dengan nada mengejek, “Hei, kamu cakap kepada orang, gigi kamu juga warna oren!” Bicaranya diakhiri tawa kecil. Kemudian, dia memandang wajah ibunya, dan bertanya, “Ibu mahu tahu sebabnya?”
“Sekiranya kamu sudi beritahu,” balas Puan Haryani. Lembut sekali.
Usai jeda seketika, Norman bersuara, “Di sekolah, saya ada dua tanggungjawab. Satu, sebagai pelajar biasa. Satu lagi, sebagai pelukis komik dalam Kelab Penerbit Komik.”
“Kelab Penerbit Komik?” ulang Puan Haryani. “Sekolah kamu ada kelab sebegitu?”
Suara Norman kembali berkumandang, memenuhi setiap ceruk dapur, “Pada asalnya tiada. Saya dan rakan-rakan yang tubuhkannya. Alhamdulillah, kelab kami itu mendapat sokongan daripada pihak sekolah. Kini, majalah yang kelab kami terbitkan, iaitu Komika, sudah menjadi majalah bulanan rasmi di sekolah.”
Puan Haryani mengangguk kecil. “Ibu selalu nampak kamu melukis komik. Rupa-rupanya, kamu melukis untuk majalah Komika itu, ya?”
“Ya, benar!” sahut Norman, sebelum dia menyuap keledek rebus dan mengunyah dengan penuh berselera.
Solehin mencelah, “Adakah abang dibayar?”
Norman mengangguk. Usai menelan, dia berkata, “Sebahagian daripada hasil jualan Komika diagihkan kepada ahli-ahli Kelab Penerbit Komik. Alhamdulillah, saya juga ada bahagiannya.”
Puan Haryani berkata, “Oh, patutlah kamu sudah tidak ambil wang belanja yang ibu berikan. Malah, mampu beli basikal baru dengan wang sendiri. Sudah ada sumber pendapatan rupa-rupanya.”
Norman tersengih.
Puan Haryani menyambung bicara, “Walau apa juga yang kamu lakukan, selagi tidak bertentangan dengan agama, ibu restui kamu. Ibu gembira lihat kamu gembira. Cuma, ibu harap kamu tidak ketinggalan dalam pelajaran. Tahun ini kamu sudah tingkatan lima. Hujung tahun ini, ada peperiksaan besar menanti....”
Pantas Norman menggeleng. Dia mengepalkan kedua-dua buku lima dan meletakkannya di atas meja. “Cuba ibu lihat ini. Di sebelah kiri adalah pelajaran. Di sebelah kanan pula adalah komik.” Dia mendekatkan kedua-dua buku limanya ke dada, dan berkata lagi, “Saya akan bersikap adil dan menjaga kedua-duanya, sama rata! Jangan risau, ya!”
Senyuman lebar terukir pada wajah Puan Haryani. “Ibu percaya kepada kamu….” Wanita itu melihat jam pada dinding. “Eh? Sudah hampir pukul tujuh. Cepat habiskan makanan. Bekal kamu ibu sudah siapkan, ada di tepi para.”
“Baik, ibu!” balas Norman. Selepas menghabiskan hidangan, Norman bangun dan bersalam dengan ibunya. Dia keluar dari rumah dan mendapatkan basikalnya yang dikunci pada pintu besi rumah.
“Bismillah.” Norman membuat kayuhan pertama. Beberapa saat kemudian, dia meluncur laju di atas jalan raya yang masih lengang dan sejuk.
***
(Bersambung....)